13 October 2010
JUTAAN UMAT ISLAM BERHIMPUN DI SANA
Lebih 2 juta umat Islam membanjiri Kota Mekah setiap tahun untuk mengerjakan ibadah Haji (gambar dari udara menunjukkan pemandangan ketika haji di Masjidil Haram).
Ketika ini para jemaah Haji dari Malaysia dan seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Ke Mekah untuk mengerjakan Haji dan Umrah. Ke Madinah untuk menziarahi kekasih Allah dan kekasih umat, Junjungan Besar Baginda saw. Ibadah Haji merupakan Perhimpunan Agung Tahunan bagi umat Islam, sepertimana mesyuarat agung tahunan bagi sesebuah organisasi. Rasulullah saw mengerjakan Haji buat pertama kali dan juga kali terakhirnya pada Tahun 9 Hijrah. Oleh itu dinamakan juga sebagai Haji Perpisahan, iaituh perhimpunan besar terakhir Baginda saw bersama rakyat jelata.
Apabila Nabi saw mengumumkan bahawa Baginda akan berangkat mengerjakan ibadah Haji, maka berkumpullah sekalian para sahabat untuk sama-sama mengerjakan Haji di bawah bimbingan dan pimpinan Rasulullah saw. Memandangkan ini adalah Haji pertama yang dilakukan oleh Baginda maka semua perbuatan, perkataan dan persetujuannya adalah menjadi sunnah ikutan dalam ibadat yang besar itu.
Jabir bin Abdullah ra menceritakan, “Bahawa manusia yang berkumpul seramai jauh mata memandang, baik yang berkenderaan mahupun yang berjalan kaki sehingga sampai di Zul Hulaifah, Nabi saw berada di hadapanku dan turun Al-Quran kepada Baginda. Baginda mengetahui tafsirnya dan apa yang dilakukannya. Kami contohi dan ikuti dengan sebaik-baiknya. Baginda saw mengumandangkan Talbiah: Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika La Syarikalaka Labbaik. Innal Hamda Wannikmata, Lakawalmulk La syarikalak!”. Begitulah berkumandangnya Talbiah sehingga mereka tiba di Makkah Al-Mukarramah dan menyempurnakan Rukun-rukun dan Wajib-wajib Haji dengan sempurnanya.
Semoga Allah swt memberikan kemampuan kepada kita untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah di masa yang terdekat dan mengurniakan kita Haji yang mabrur. Amin.
No comments:
Post a Comment