01 August 2009

BAGUSNYA USAHA KLINIK SOLAT DI UNITED KINGDOM


Beberapa hari ini, sejak dua minggu, setiap hari Isnin-Khamis, mulai jam 10.00 pagi-11.30 pagi, aku dengan beberapa teman, sempena cuti sekolah di UK ini, membuka 'klinik solat', memberi bimbingan anak-anak Melayu di Hull ini terutama yang bersekolah rendah. Kelas diadakan di rumahku.

Sekadar memberi ulasan ringkas, hasil pengamatan aku memerhatikan anak-anak yang semuanya bersih, seperti kain putih dan terpulanglah kepada para ibu bapa mendidik anak-anak untuk mencorakkannya.

Masih kedapatan anak-anak yang sukar menyebut dan belum dilatih menyebut nama Allah dengan betul, membaca bismillah, al fatihah, as syahadah, selawat ke atas junjungan Rasullullah s.a.w., memberi salam dengan sempurna bahkan zikir atau istighfar dengan tepat.

Ada anak-anak lidahnya keluh, apabila ketika menyebut perkataan di dalam bahasa Arab, namun terasa mudah menyebut perkataan Inggeris.

Aku menginsafi betapa, anak-anak kita di mana kita berada didikan dan latihan agama yang sempurna wajar diberikan. Kita semestinya mendedahkan dan melatih anak-anak kepada pendidikan Islam terutama membaca dan menghafaz Al-Quran dan mendidirikan solat sejak kecil dan dalam lingkungan umur 7 ke 10 tahun hendaklah dipantau secara kemas dan penuh disiplin.

Sejak beberapa hari yang berlalu, aku berusaha melatih mereka menghafaz doa iftitah, qunut, dan tahiyyat secara membaca beramai-ramai dan meminta seorang-orang mencuba serta membentuk beberapa kumpulan dan meminta ketua kumpulan (yang mahir) membantu menyebut dan melatih hafalan.

Walaupun, aku rasa tidak mudah untuk memberi kefahaman kepada anak-anak yang berumur di antara 5-12 tahun, namun aku seronak melihat perkembangan mereka sehari ke sehari terkial-kial mencuba menghafal. Untuk memudahkan mereka menghafal, aku kadang-kadang menasyidkannya. Aku juga terasa teruja, apabila perlu "mengajar" mereka dengan berbahasa Inggeris, kerana terdapat seorang anak, yang bapanya sudah 13 tahun tinggal di UK, sukar memahami bahasa Melayu. Inilah kali pertama aku mengajar agama di dalam bahasa Inggeris.

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua teman AJK Melayu Hull, terutama adik Hasan Zaidi yang turut membantu aku mengendalikan program ini, yang aku anggap sebagai latihan pemantapan ibadat dan diucapkan selamat jalan kepada Hasan, balik ke Malaysia , setelah tamat program ijazahnya, pada pagi esok, 31 Julai, pukul 1.25 pagi, melalui London Stansted Airport.

No comments:

Post a Comment