20 July 2010

MEMORI RAMADHAN



Di sini ingin ku kongsi memori hidupku.

Aku bukan seperti kalian dilahirkan sebagai seorang Islam,

Aku dilahirkan dari keluarga yang bukan Islam,

Ini takdir ku….aku tidak pernah menyalahkan Tuhan,

Aku mula mempelajari Islam kerana ada kepentingan,

Aku belajar Islam tanpa ada niat untuk memeluknya,

Apa yang aku inginkan telah aku perolehi,

Sungguh aku ini mementingkan diri sendiri,

Tatkala bergembira di dalam dimensi sendiri,

Pintu hatiku di ketuk oleh sinar kebenaran,

Sinar kebenaran itu adalah hidayah Allah, ISLAM,
Malam itu aku pergi bertemu seorang ustaz,

Takut-takut hidayah ditarik balik,

Memori 17 Ramadhan masih segar di ingatan,

Malam itu aku diajar mengucap kalimah tauhid,

Malam itu juga aku mengisytiharkan keIslaman diriku,

Dengan rela hati tanpa sebarang paksaan,

Berita gembira ini ingin ku kongsi bersama keluarga tersayang,

Pulang ke rumah ku khabarkan segalanya,

Kerana ku ingin mengajak mereka ikut bersama ku di jalan yang benar ini,

“dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.

(Surah asy Syu’ara’; ayat 214)

Tetapi apa yang ku dapat adalah,

Aku diikat, disebat, dan di campak ke dalam longkang,

Perit sahabatku, siksa sahabatku , sakit duhai sahabatku.

Suatu hari aku berjaya dibebaskan oleh seseorang,

Aku keluar pergi berjumpa dengan ustaz tadi,

Lantas ku tanyakan satu soalan,

Patukah aku tinggalkan keluargaku?

Lantas ustaz tersebut menyarankanku supaya terus bersama keluargaku,

Aku disuruh masak berasingan tetapi makan semeja dengan mereka,

Sekali lagi aku diuji, apabila aku tiba dimeja makan,

ku hadiahkan kuntuman senyuman,

Yang lahir dari hati yang merindukan kasih sayang keluarga,

Apa yang ku dapat hanyalah jelingan tajam,

Semua keluargaku makan di tempat yang berasingan dariku,

Pilu hatiku, jijikkah mereka melihatku?

Ku lalui kehidupan penuh penderitaan ini selama dua tahun,

Selama dua tahun jua aku menderita,

Tanpa kasih sayang keluarga,

Layanan keluarga amat menyedihkan, hati ini pedih bagai dirobek-robek,

Tatkala diri memandang wajah tua ayah bonda,

Kerinduan mencucuk bagai sembilu tajam,

Hanya sabar yang mampu ku lakukan,

Syukurlah mereka masih menerimaku tinggal disini,

Mujur Allah sentiasa disisi, dan ustaz selalu menasihati,

Lalu kugagahkan diri,

Dalam bulan ramadhan juga,

Barlaku suatu peristiwa, di mana bapaku,

yang berusia 80 tahun bakal dijemput Ilahi,

Adat keluargaku, bila seseorang sedang nazak,

dia bakal ditinggalkan,

Tetapi aku sebagai seorang Muslim, sebagai anak,

Mana mungkin tergamak hatiku melihat

Bapaku menghadapi sakaratul maut seorang diri,

Aku menunggu dan terus menunggu,

Setiap kali bapaku menggerakkan tubuhnya,

Kubisikkan kalimah “lailahaillallah”,

Tatkala nyawanya hampir tercabut dari jasadnya,

Dapat kulihat bapaku mengangguk,

dengan anggukan itu maka keluarlah rohnya,

Luluh hatiku melihat jenazah bapaku,

Tiada lagi insan bernama bapa,

Yang selalu bersamaku suatu masa dahulu,

Oleh kerana tiada bukti bapaku meninggal secara Islam,

Jadi jasadnya dikebumikan mengikut adat keluargaku.

Aku terpaksa mengikut adat keluargaku jika aku ingin melihat jenazah bapaku,

Iaitu dengan memakai pakaian serba hitam,

Banyak orang Islam mengutuk ku habis habisan,

Kerana ku berpakaian sedemikian,

Orang dari keturunan ku juga mengutuk ku habis habisan,

Kerana aku memeluk Islam,

Aku buntu kerana dikutuk oleh dua belah pihak,

Aku kuatkan semangat demi Islam,

Sampai dikuburan, bapa aku dikebumikan,

Malam itu kami pulang dalam keadaan kepenatan,

Hiba dihati masih terasa, malam itu ibu bermimpi,

Bapaku duduk di satu taman yang cukup cantik,

Taman yang tak pernah ada di dalam dunia ini,

Bila ibu tersedar, ibu terus mendapatkanku,

Sebab aku sahaja yang menjaga bapaku ketika beliau sakit.

Lalu ibuku bertanya, apa yang telah,

Aku lakukan kepada bapaku sehinggakan bapa begitu gembira,

Sambil itu ibu menceritakan mimpinya tersebut,

Lama kutenung wajah tua ibuku, sungguh aku rindukan ibu,

Kuhentikan lamunan tersebut,

Lantas ku khabarkan yang sebenarnya kepada bonda,

“Ibu sebelum bapa pergi, saya telah bisikkan kalimah lailahaillallah

Saya yakin bapa mati dalam Islam, ibu “

Dengan senyum yang penuh kegembiraan,

Ibuku luahkan hasrat ingin mengikuti ayahku,

Dengan hidayah Allah, ibuku juga Islam,

Beliau memelukku dengan penuh kasih sayang,

Allah, itulah pelukan yang kurindu,

Dua tahun ku nantikan pelukkan itu,

Seluruh keluargaku memeluk Islam,

Aku bahagia, aku sangat bersyukur,

Di situ juga aku sujud tanda kesyukuran pada Allah,

Mujurlah aku tersedar, jika tidak aku bakal mati sebagai “non-muslim”.

Tidak dapat menghidu bau syurga, nauzubillah,

Di sini aku ingin tinggalkan satu persoalan,

Sahabat-sahabat yang dilahirkan sebagai Muslim,

Bebas menganut agama Islam,

Tidak dihina, disiksa jika menganut Islam,

Pernahkah anda bersyukur? Cuba renungkan.

1 comment: