09 July 2010

PENGALAMAN KENDALI MASJID DAN BUKAN ISLAM

Masjid dan Non-Muslim

Di suatu pagi yang hening sedangku bersarapan bersama seorang kawan di surau,
“Assalamualaikum” , sapaan abang zul(bukan nama sebenar) lengkap berjubah.
“Waalaikumussalam, hmm,,bang jemput makan “, kawanku membalas.
“Takpe-takpe, sila makan, Haji ada kat dalam?,” merujuk kepada pemimpin masyarakat kawasan tersebut.
“Ada-ada,,,,masuklah” berlalu masuk ke dalam masjid abang zul bersama seorang budak belasan tahun.
“ Eh, sapa yang bersama dia tu, macam ‘chinese look’ je”, tanyaku kehairanan.
“Ntahlah, gi lah ko tanye die”, jawab kawanku.
Bergegas aku masuk ke dalam surau untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi.
“Sape ni bang”, tanye ku pada abang zul.
“Haa, nilah saudara baru kita, Ahmad, baru pagi tadi masuk Islam” jawab abang zul dengan muka yang berseri.
“ Alhamdulillah, saya Abu Hanifah”, perkenalan pertama aku bersama saudara baru bernama Ahmad.

Langsung abang zul menceritakan bagaimana Ahmad yang hanya berumur belasan tahun menerima hidayah. Ahmad ni keturunan cina, dan 2 tahun lepas, kedua-dua ibu bapa dia meninggal dunia. Jadi, atuk dia bawa dia ke Terengganu tinggal bersama. Tapi, atas ketentuan tuhan, atuk nye baru je meninggal , jadi, ahmad boleh dikatakan sebatang kara. Namun, atas perasaan belas dan sayang, abang zul mengambilnya sebagai anak angkat. Malam sebelum tu, abang zul membawa ahmad yang belum Islam tidur di kawasan surau. Esoknya, di waktu subuh untuk bersiap bersolat subuh, ahmad telah menyatakan hasrat ingin memeluk Islam kepada Abang Zul. Subhanallah, berita gembira ini hanyalah dari ketentuan Allah, yang mungkin menjadikan rumahNYA asbab hidayah kepada manusia.

Lantas aku berfikir panjang, Allah boleh menjadikan bangunan batu sebagai asbab hidayah jika orang Islam tidak melakukan dakwah. Namun, kini, ada satu isu yang hangat dibincangkan tahun lepas tentang orang bukan Islam dan masjid. Mereka ni boleh masuk ke masjid @ surau? Persoalan yang banyak bermain di kalangan masyarakat sehingga tercetusnya pergaduhan terutama sekali antara ahli politik. Kisahnya bermula apabila salah seorang ADUN di selangor yang memasuki masjid dan memberi ucapan untuk sesuatu program.

Reaksi pertamaku apabila sahaja mendapat berita ini adalah ’apa salahnya?’. Mungkin ramai yang membuat muka bengis atas reaksi ini..hoo. Bagaimana aku boleh begitu pasti dengan kata-kata aku tadi. Ini kerana dari sirah nabi S.A.W yang telah tunjukkan kepada kita 1400 tahun dulu bagaimana kita berurusan dengan perkara ini. Mentaliti kita kini merasakan untuk maju dalam agama kita perlu pandang ke hadapan sepertimana kita hendak maju dalam urusan dunia. Namun, hakikatnya, untuk maju dalam agama , peningkatan iman, kita perlu pandang kebelakang iaitu pandang kepada zaman Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat yang mana zaman itu adalah zaman agama yang paling maju. Zaman yang mana Allah turunkan wahyu sehingga turunnya firman Allah yang menyatakan Umat Islam ini adalah umat yang terbaik yang diturunkan kepada manusia. Itulah zaman yang perlu kita jadikan rujukan. Sedihnya, agama semakin mundur hari ini dan umat asyik bersalah fahaman setiap masa.

Ustaz Zaharuddin telah menulis beberapa titipan sirah dalam entri beliau iaitu Rasulullah pernah diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat

"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu), yang mana ertinya :

Rasulullah S.A.W menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )


Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Jadi, bagaimana anda menilai tindakan Nabi S.A.W ini? Adakah bercanggah dengan agama? Dan siapa kita untuk berkata tentang perkara ini. Jelas terbukti sebahagian umat kini buta sejarah, buta sirah, buta penilaian dan buta penafsiran. Adapun, dari kisah tadi dapat kita lihat Nabi S.A.W menggunakan masjid sebagai suatu hubungan diplomasi dengan bukan Islam. Bukannya dengan membuta tuli melarang dan menghalang bukan Islam mendekati rumah Allah. Selain itu, Ustaz Zaharudin juga menulis,

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :

1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.



Adapun beberapa perbahasan Ulama’ tentang larangan terhadap Non-muslim memasuki masjid adalah terhadap Masjidilharam tidak termasuk masjid2 atau surau-surau biasa. Sedangkan lagi Masjid Nabawi bertetamukan Non-muslim , inikan pula masjid atau surau di Malaysia yang jauh dari tanah arab.

Bercerita tentang non-muslim dan masjid ini, semasa aku makan tengahari bersama seorang AJK masjid pada hari jumaat, AJK masjid memulakan bicara ,

”Masjid ni kalau hari jumaat penuhlah orang berniaga di luar tu”,

”erk,,diorang berniaga kt mana?” tanyaku,

”tu kat tempat parking tu. Tapi kan, hari tu ada orang bangsa cina ni nk mintak berniaga kt kawasan masjid, tapi masa tu dia datang masjid ni pakai seluar pendek. Jadi, abang pun mintalah dia balik tukar seluar panjang untuk menghormati masjid. Dalam perjalanan pulang tu, adalah beberapa orang orang Islam ni hina die depan orang ramai sebab pakai seluar pendek.Malulah cina tu kan, ” luahan kesal AJK tersebut,

”Dia datang pulak tak selepas tu?” Tanyaku ingin tahu

” tak pernah datang sampi sekarang. Tulah, kalau ikutkan boleh je bagi dia berniaga kat luar masa hari jumaat, manalah tau, bila die dapat dengar khutbah jumaat nanti dia dapat hidayah ke.” tinggi harapan AJK tersebut.


Aku mengeluh dan berasa malu dengan perkara yang memalukan orang Islam ini. Sebahagian dari kita hanya ingat Masjid atau surau hanya untuk orang Islam sahaja dan diharamkan non-muslim. Jadi, sampai bila mereka dapat mengenal Islam kalau ini sikapnya?? Di luar negara, masjid dijadikan tempat rujukan Islam terutama mereka yang baru ingin memeluk Islam lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 september. Jadi, di sana tersedia imam-imam dan pegawai-pegawai masjid yang sedia menerangkan tentang Islam kepada mereka yang ingin tahu dan teringin untuk memeluk Islam. Malangnya, sebahagian masjid atau surau di Malaysia tidak mesra ’Non-Muslim’ seterusnya dianggap sebagai ’Islam territory’ sahaja.

Mengapa aku menulis isu ini sekarang dan bukannya tahun lepas semasa isu ini tengah hangat didebatkan. Ini kerana isu non-muslim dan masjid ini tidak pernah hilang ditelan waktu sebenarnya. Sehingga sekarang masih ada yang melarang non-muslim mendekati Masjid atau surau. Wahai saudara seIslamku, mengapa engkau menghalang hamba Allah yang ingin mengenal Allah dengan lebih dekat lagi. Mengenai Ahmad yang baru memeluk Islam itu , khabarnya dia akan masuk ke Madrasah untuk menjadi Hafiz. Subhanallah, mereka yang baru memeluk Islam ini lebih faham erti dan nilai Islam berbanding mereka yang mewarisi Islam.


Ikhlas Dariku,


14 JUNE 2010
PUTRAJAYA ( 9.15 p.m)
*Adakah anda sependapat dengan saya? Berikan pendapat bernas anda dalam ruangan ulasan & pandangan. Syukran.

No comments:

Post a Comment