31 October 2010

CABARAN YANG PERLU DIHADAPI UMAT ISLAM

Salah satu senjata yang digunakan pihak barat untuk menyerang serta memburukkan nama Islam ialah dengan menyebarkan perbuatan yang dilihat kejam oleh golongan mereka yang mengakui Islam dan bertindak atas nama Islam.

Antara perbuatan yang dilihat kejam dan bertentangan dengan naluri kemanusiaan pihak barat adalah seperti hukum potong tangan, hukum rejam sampai mati, hukum bunuh dan sebagainya.

Fahaman seperti larangan menonton TV, mendengar musik dan lagu, melarang wanita keluar rumah, memaksa wanita memakai hijab (burqa), dan lain-lain seumpamanya sering juga dijadikan alat serangan keatas Islam.

Di mana saja muncul organisasi yang berjuang atas nama Islam yang cuba mempraktiskan amalan atau fahaman di atas akan mendapat liputan yang menyeluruh untuk disebarkan di seluruh muka bumi bagi menjatuhkan nama Islam itu sendiri.

Aktiviti sebaran serta sekatan pihak barat dijalankan oleh badan-badan atau organisasi antarabangsa seperti PBB, para aktivis kemanusiaan yang disokong oleh individu seperti wartawan bebas, pejuang hak asasi manusia dan lain-lain seumpamanya.

Contoh yang lalu kita dapat melihat sendiri apa yang berlaku pada Taliban di Afganistan dan kini pihak barat memberikan tumpuan pada apa yang berlaku di Somalia.

Di Somalia aktivis yang dilabel sebagai sama dengan Taliban dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Al-Qaeda dipanggil Al-Shabaab (bermakna Pemuda dalam bahasa Arab). Al-Shabaab merupakan pemberontak yang sedang berjuang menjatuhkan kerajaan Somalia yang disokong pihak antara bangsa.

Amat malang bagi umat Islam sekali lagi apabila segala aktiviti Al-Shabaab seperti hukum tembak mati kepada kanak-kanak serta pemuda yang dituduh menjadi pengintip dan juga hukum potong tangan dan kaki kepada kanak-kanak yang di tuduh mencuri di sebarkan di seluruh dunia.

Al-Shabaab juga dikatakan memberikan fatwa haram pemakaian gigi palsu emas atau perak dan menjalankan rondaan sekeliling bandar dan kampung bagi mencabut mereka yang didapati memakainya.

Sebagai umat Islam kita tidak sepatutnya mempertikaikan hukum hudud yang cuba di laksanakan oleh mana-mana pemerintah Islam, tetapi malang sekali apabila pihak musuh dapat membuktikan betapa perlaksanaan hukum tersebut amat pincang sekali yang sekali gus menimbulkan persoalan adakah pihak tersebut bersedia untuk melaksanakannya.

Dalam kes-kes yang berlaku seringkali kita dengar pihak tertuduh tidak diberikan ruang secukupnya untuk membuktikan dia tidak bersalah dan segala haknya untuk bersuara dinafikan sama sekali. Islam menjamin keadilan kepada manusia, apabila kita mahu melaksanakan keadilan dengan mengunakan jalan yang tidak adil maka ai lari dari matlamat asal sejak dari awal lagi.

Melihat apa yang berlaku di Afganistan dan juga kini di Somalia, saya terfikirkan betapa hebatnya kekangan kita manusia akhir zaman untuk mencari jalan yang lurus. Jika di zaman Rasulullah masih ada maka apa saja kemushkilan kita dapat merujuk kembali kepada Rasul dan kita dengar dan terus taat.

Tetapi kini zaman kita dihentami dengan jutaan maklumat dan fahaman yang bergerak sepantas cahaya melalui teknologi semasa seringkali menjadikan fikiran kita sesak dan lemas, mana satukah kebenaran dan mana satukah jalan yang lurus.

Pesanan yang kita dapat apabila menghadapi masalah sebegitu adalah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Apabila kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah maka timbul pula masalah interpretasi maksud ayat atau maksud hadith. Jika semua orang diizinkan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah dan melakukan interpretasinya sendiri sudah tentu akan lebih bercelaru lagi pemahaman umat Islam dan akan lebih banyak pertelingkahan yang mana masing-masing mengatakan dia yang betul.

Mungkin jalan terbaik yang perlu kita lihat ialah bagaimana jalan yang diambil oleh Rasul dalam menyebarkan Islam kepada umatnya yang bermula di Mekah kemudiannya berhijrah ke Madinah.

Perkara utama sekali yang disebarkan dan berterusan sehingga wafatnya Rasulullah ialah mengajak manusia untuk "Memperhambakan diri hanya kepada Allah dan menerima Muhammad itu sebagai Rasul Allah".

Ketika itu kaum musyrik mendakwa mereka menganut ajaran Haniff yang diterima melalui nenek moyang mereka iaitu agama Nabi Ibrahim, tetapi dalam masa yang sama terdapat 360 berhala di sekeliling kaabah.

Pada masa kita ini kita mengaku mengikut ajaran Nabi Muhammad tetapi secara tidak kita sedari kita memperhambakan diri kita kepada harta, pangkat dan nafsu, walaupun kita tidak lah sampai mengadakan berhala namun pengabdian diri kepada harta, pangkat dan nafsu kini sama sahaja dengan umat kaum musyrik di Mekah ketika itu.

Kita khuatir kebenaran yang terserlah didepan mata akan dikaburi oleh hati kita yang gelap akibat mengejar harta, pangkat dan kepuasan nafsu. Marilah kita kembali mengabdikan diri kita hanya kepada Allah, ikhlaskan kehidupan kita hanya untuk Allah dan mohon pertolonganNya agar kita dimasukkan ke dalam golongan yang selamat.

No comments:

Post a Comment