04 October 2010
WAJIBNYA SATU KALI SEUMUR HIDUP
HAJI WAJIB SEKALI SEUMUR HIDUP
IBADAT haji boleh dikerjakan berulang kali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun menurut ulama, ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang maksudnya :
"Telah berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam khutbah Baginda : "Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu Wataala telah mewajibkan kepada kamu ibadat haji, oleh kerana itu kamu kerjakanlah haji," seorang lelaki bertanya : "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?" Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali, selepas itu baru Baginda menjawab dan bersabda : "Jika aku katakan "ya", nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya." - (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, ulama sepakat mengatakan bahawa ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup dan jika dikerjakan berulang kali maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sebagai sunat.
Ulama juga sepakat bahawa ibadat haji itu tidak wajib dikerjakan dengan bersegera. Walau bagaimanapun sunat tidak melambatkan ibadat tersebut bagi orang-orang yang mempunyai kemampuan dan telah cukup syarat-syarat yang diwajibkan kepada mereka. Bersegera dalam membuat amal kebajikan itu suatu perkara yang dituntut sebagaimana Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya :
"Oleh itu berlumba-lumbalah (bersegera) kamu membuat amal kebajikan (beriman dan beramal salih). - (Surah Al-Maaidah : 48).
HAJI merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam sebagaimana yang telah difardukan melalui Al-Quran, Al-Sunnah dan ijmak ulama.
Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.’’ (Surah Ali Imran ayat 97).
Mengenai kewajipan ibadat haji ini Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskan dalam sabda Baginda yang maksudnya:
"Agama Islam itu dibina atas lima perkara bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan mengerjakan haji.’’ (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah tersebut maka ulama sepakat mengenai kewajipan ibadat haji ditunaikan sekali dalam seumur hidup bagi orang-orang yang mampu. Ulama juga sepakat mengenai kufurnya orang-orang yang ingkar akan kewajipannya.
No comments:
Post a Comment