20 January 2011

MOTIVASI MUSLIM CEMERLANG BERSAMA
Melahirkan Pemuda Beriman
Posted by syahirah at Thursday, January 20, 2011 0 comments

Oleh: aburidhwan

Dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan di Darun Nadwah, Mekah, sekumpulan manusia berkumpul dan berfikir apa yang patut mereka lakukan untuk menjatuhkan Muhammad. Pelbagai idea dan pandangan telah diutarakan, namun semuanya dirasakan tidak efektif, kecuali ada satu pandangan yang menarik perhatian mereka:

“Aku punya satu cadangan. Kita pilih tiga puluh pemuda yang kuat-kuat dari seluruh kabilah suku Quraisy. Kita berikan mereka setiap seorang sebilah pedang yang tajam. Kemudian suruh mereka menebas Muhammad serentak. Dengan begitu, darah Muhammad tumpah di tangan kabilah-kabilah ini.”

Itulah pandangan populis dari Abu Jahal, gengster besar yang menentang dakwah Rasulullah SAW.

Apa yang boleh kita belajar dari situasi ini?

Al Haq vs Al Bathil
Pertama, pakatan jahiliah dan penentang kebenaran, mereka bersekongkol dan bersatu hati untuk melemahkan kebenaran hatta sedia untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun, asalkan kemenangan berpihak kepada mereka. Ini yang kita perlu sedar. Sejarah ini akan terus berulang dan berulang. Menariknya mereka akan mengadakan ‘musyawarah’ dan bersungguh-sungguh memberikan buah fikiran untuk mencari jalan terbaik memenangkan kebatilan yang mereka yakini. Mereka serius terlibat untuk memberi dokongan dan sokongan. Dan mereka bersatu mencari jalan untuk melemahkan Islam.

Tahukah anda bahawa Yahudi Israel telah memulakan perancangan menubuhkan Negara haram mereka sejak tahun 1897 dalam Kongres Pertama Zionis di Switzerland . Pada tahun 1917, melalui Perisytiharan Balfour kerajaan Britain berjanji untuk menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin. Pada tahun 1936, Suruhanjaya Peel mencadangkan Palestin dibahagikan kepada negara untuk orang Yahudi dan negara untuk orang Arab. Negara-negara Arab dan rakyat Palestin tidak bersetuju dan menentang usaha jahat barat dan Yahudi, Namun saat itu negara Arab dan umat Islam tidak punyai kekuatan akibat perpecahan.

Hasilnya adalah Resolusi 181 yang membahagikan Palestin di antara orang Yahudi dan Arab. Yahudi menerima 56% kawasan mandat British yang diduduki oleh ramai orang Yahudi sementara Jerusalem akan ditadbir oleh PBB. Pelan ini diterima oleh majoriti masyarakat Yahudi tetapi ditolak oleh masyarakat Arab.

Pada 29 November 1947, pelan ini diundi dalam Perhimpunan Agung PBB. Keputusannya 33 menyokong, 13 menentang dan 10 berkecuali.

Demikianlah kebatilan dibela dan diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh oleh para pendukungnya, Oleh kerana itulah Ali bin Abi Thalib ra pernah menyatakan :

“Al-haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh Al-bathil yang terurus dengan baik”.

Pemuda: Kekuatan Islam atau Agen Bathil?
Keduanya, pro jahiliyah juga menjadikan pemuda sebagai agen pelaksana perancangan jahat mereka. Jahiliyah sedia menghimpun para pemuda mereka yang terbaik untuk mendokong cita-cita mereka menumbangkan al Haq.

Tahukah kita bahawa gerombolan pemuda dan pemudi Yahudi datang dari barat, timur, utara dan selatan, meninggalkan tanah tumpah darah mereka semata untuk mendirikan negara haram Israel di atas puing-puing bangunan dan darah para syuhada Palestin yang berserakan. Bahkan mereka tidak puas dengan Israel yang kecil itu. Mereka menyeru kepada penubuhan “Israel Raya” iaitu menguasai seluruh daerah sepanjang Sungai Eufrat ke sungai Nil. Anak-anak mereka semenjak kecil diwajibkan mempelajari dan menguasai kitab Thalmud, sumber rujukan mereka yang antara kandungannya mendidik anak –anak dan pemuda mereka bahawa bangsa mereka adalah bangsa terbaik dan bangsa lain adalah binatang dan tunggangan untuk mereka.

Bagaimana pula dengan remaja dan pemuda kita saat ini? 24 jam yang kamu miliki, apa yang kamu isi dengannya? Sedang menelaah ilmu dan mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin masa depan Islam yang berintegriti dan berketerampilan, atau sedang menghabiskan masa dengan sia-sia?

Bagaimana pula pemuda dan pemudi kita dengan Al Quran? Di hati atau dalam almari? Menjadi cara hidup atau sekadar penghias dinding rumah untuk menghalau syaitan dan hantu? AL Quran diamali atau diketepi?

Sesungguhnya, musuh Islam sedar bahawa Islam juga diperkuatkan oleh para pemuda. Justeru mereka juga telah mengadakan konspirasi dan perancangan terperinci untuk merosakan potensi dan kekuatan para pemuda Islam agar pemuda dan pemudi Islam tidak mampu bersaing dan sekualiti dengan pemuda dan pemudi mereka.

Mereka telah berjaya mempengaruhi para pemuda pemudi Islam dengan pelbagai cara dan pendekatan agar jauh dari sumber kekuatan Islam yang sebenar. Dalam satu khutbah yang disampaikan oleh Dr. Yusof al-Qaradhawi, beliau menyebut:

“Demi Allah, saya terpukul menyaksikan fenomena menyedihkan yang berlaku di kalangan pemuda, baik di kalangan Arab mahupun kaum muslimin. Pemuda Islam menghadapi fenomena lemahnya akhlak dan sukakan kemungkaran. Para pemuda Islam tidak memiliki impian dan cita-cita besar untuk menegakkan risalah dalam hidup mereka. Andai mereka ada cita-cita mulia ini, pastilah mereka tidak akan memikirkan perkara-perkara yang telah menyisihkan jatidiri mereka sebagai muslim.”

Keluhan ulama tersohor ini ada benarnya. Hari ini yang menjadi agen cara hidup barat dan bukan Islam bukan diterajui oleh pemuda barat, tetapi dipimpin dan dibarisi oleh anak muda Islam sendiri. Pemuda barat kini telah menjadi idol dan pujaan anak muda Islam. Anak muda Islam menjadi pengikut setia mereka dan bersedia mempertahankan pegangan dan kefahaman mereka yang semakin jauh dari kebenaran.

Apakah kita ketiadaan pemuda pemudi Islam yang boleh diharapkan? Yakinlah, Islam tidak akan pernah kehilangan pemuda rabbani yang mulia yang sedia mempertahankan kalimah thoiyyibah. Malahan Islam pernah melahirkan pemuda contoh yang luarbiasa untuk kita jadikan teladan dalam kehidupan kita. Saidina Ali bin Abi Talib, pemuda luarbiasa yang semenjak kecil telah bergabung dengan dakwah Rasulullah SAW. Islam dihiasi dengan kewibawaan Mu’sab Bin Umair, pemuda yang pernah diusir dan diharamkan menyentuh kekayaan keluarganya sendiri, yang akhirnya menjadi murabbi dan da’i “special” dikirimkan oleh Rasulullah SAW meneruskan misi dakwah ke Madinah sehingga mencetuskan fenomena baru di Madinah. Dan ramai lagi para pemuda yang bergabung dengan pasukan dakwah Rasulullah SAW. Mereka bersungguh dan serius berhimpun di sekeliling Rasulullah SAW, menanti arahan dengan penuh siap siaga, memimpin umat mendepani dakwah dan berjihad mempertahankan kalimah Allah!

Andai sahaja pemuda pemudi Islam kita ini berfikir dan bertindak seperti Usamah bin Zaid, seusia 18 tahun memimpin pasukan jihad yang dibelakangnya dibarisi oleh sahabat-sahabat terkemuka, atau berfikir dan memiliki kualiti diri seperti Muhammad Bin Al-Qasim Ats-Tsaqafi yang memimpin pasukan Islam untuk membuka India saat beliau berusia 17 tahun, apakah ianya mustahil untuk dilahirkan kembali?

Melahirkan Pemuda Beriman!

Sekarang kita sudah fahami bahawa kunci kebangkian ummah adalah pada tangan pemuda yang beriman untuk bertembung dengan pemuda kebatilan. Solusi terbaik adalah kembali melahirkan pemuda rabbaniyah. Al-Quran telah mengambarkan pemuda beriman yang aktif dalam dakwah Islam pada kisah Ashhabul Kahfi.

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk; dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”. (Surah al-Kahfi 18: 13 – 14)

Dari ayat yang mulia ini dapat kita fahami bahawa para pemuda yang beriman memiliki tiga karakter utama yang mendasar, iaitu:

1. Iman kepada RABB mereka (Allah)

Mereka merupakan pemuda-pemuda yang meyakini Allah, Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Akhir dan Qadha dan Qadar. Nilai keimanan pemuda jauh lebih tinggi dari nilai keimanan orang yang sudah tua. Sebab para pemuda beriman di tengah-tengah gejolak nafsu muda yang masih berkobar, sementara orang-orang yang sudah tua melakukan ketaatan tanpa halangan kerana sudah mendekati akhir hayat.

Para pemuda dakwah sentiasa meningkatkan dan mempertahankan iman yang menyala dalam hati mereka. Mereka tidak rela sedikitpun iman itu berubah atau berkurang. Mereka berupaya menghidupkan api iman ini di tengah-tengah masyarakat. Sesungguhnya mereka menyedari bahawa manusia tanpa iman tiada nilainya di sisi Allah SWT.

2. Tetap istiqamah mengikuti petunjuk Allah SWT

Maknanya para pemuda yang tahu arah perjalanan dan sentiasa berjuang menegakkan kebenaran dengan petunjuk bimbingan Allah SWT. Mereka selalu berpegang teguh kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah sebagai hidayah Allah yang diyakini akan menyelesaikan segal persoalan dengan adil dan bijaksana. Mereka ingin masyarakat diatur oleh Pencipta alam semesta dan tidak diatur oleh mereka sendiri atau dikendalikan oleh hawa nafsu segolongan manusia tertentu.

3. Bersikap Furqan

Para pemuda dakwah mampu membezakan mana yang haq (benar) dan mana yang batil (salah). Mereka mengerti betul, mana yang membawa keimanan dan Islam dan mana yang membawa kekufuran dan kesesatan. Setelah itu, mereka menolak segala hal yang membawa kepada kekufuran dan menerima keimanan dengan penerimaan yang total. Sikap furqan merupakan pancaran keimanan dan kefahaman terhadap TauhiduLLAH yang diajarkan Islam.

Mereka meyakini bahawa Allah SWT adalah satu-satunya sumber hidup yang harus ditaati dan sumber ilmu agar diri tidak merasa sombong serta dijadikan tujuan akhir. Beserta itu, mereka menolak hak Allah ini diberikan pada selain Allah.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.” (Surah al-Anfaal 8: 29)

Selain itu, beberapa karakter yang lain juga menjadikan para pemuda mampu untuk mengembang tugas dakwah. Di antaranya:

4. Bersikap kritis menghadapi masyarakat

Para pemuda beriman yang memikul beban dakwah memahami masyarakat yang menjadi medan dakwahnya. Mereka tahu bagaimana menghadapi situasi itu secara benar dan kritis. Kekritisan mereka tidak menjadikan mereka anarkis atau membuat mereka ekstrim. Mereka memahami jalan menuju perubahan umat dan bekerja untuk itu secara hati-hati dan teliti.

5. Berbeza dalam prinsip dan sikap hidup, tetapi bergabung di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat

Para pemuda beriman yang mencintai dakwah menyedari kekeliruan yang ada pada masyarakat dan sanggup untuk menghindarkan diri mereka dari kekeliruan tersebut. Sementara mereka tetap hidup dan bercampur di tengah-tengah masyarakat itu dengan prinsip dan akhlak yang berbeza. Mereka tidak tertipu dengan realiti masyarakat yang berbuat kedustaan terhadap agama Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?” (Surah al-Kahfi 18: 15)

No comments:

Post a Comment