19 March 2011

MULIAKAN TETAMU

Imam Bukhri dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: "Pernah datang seorang lelaki kepada Nabi, lalu berkata: Sesungguhnya aku sangat lapar. Baginda pun menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada salah seorang isteri Baginda, namun isteri Baginda berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air. Baginda pula lalu menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada isteri Baginda yang lain, namun isteri Baginda ini juga mengatakan hal yang sama, sehingga semua isteri Baginda juga mengatakan hal yang sama, iaitu: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.

Nabi lalu berkata kepada sahabat: Adakah daripada kamu yang mahu menjamu orang ini malam ini? Seorang daripada kalangan Ansar berkata: Saya, wahai Rasulullah. Seterusnya, orang itu pun membawa orang tadi ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia berkata kepada isterinya: Muliakanlah tetamu Rasulullah ini.

Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa dia berkata kepada isterinya: Adakah engkau mempunyai makanan? Isterinya menjawab: Tidak, kecuali hanya sebatas yang cukup untuk makan anak-anak kita.

Dia berkata: Lakukanlah sesuatu yang boleh membuat mereka lupa makan. Jika mereka teringat minta makan, maka dodoikanlah mereka. Seterusnya, jika tetamu kita sudah siap untuk bersantap apa yang kita hidangkan, padamkanlah lampunya dan tunjukkanlah tanda bahawa kita seakan-akan juga ikut makan.

Akhirnya, mereka duduk bersama di ruang makan dan tetamu itu pun menyantap makanan, sementara tuan rumah melalui malam harinya dengan perut kosong. Pagi harinya, orang Ansar tadi melaporkan apa yang diperbuatnya semalam kepada Nabi dan Baginda berkata: Sesungguhnya Allah merasa gembira terhadap apa yang kamu lakukan terhadap tetamu kamu malam tadi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber: Buku Ringkasan Riyadhus Solihi

No comments:

Post a Comment