09 May 2011
Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin
Sabtu 7 mei hingga subuh 8 mei 2011
Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin
Sedutan tulisan yang menarik tentang aktiviti di Masjid AsSalam Bukit sentosa.
Mudahan ramai dari kita dan kariah yang boleh menulis sebaik ini dan boleh disumbangkan kepada assalambs@gmail.com untuk di ketengahkan bagi tatapan pembaca blog masjid. wallahualam.
..... Kami memilih meja yang terletak di bahagian tengah. Saya mengeluarkan
sekeping risalah kecil yang di ambil dari Masjid Muadz Bin Jabal tadi dan
bertanya kepada Rosli, "Hang kenal tak Ustaz ni?" Poster kecil yang
difotostat itu ialah perihal sebuah wacana ilmu bersama ulamak masyhur
nusantara Al Fadhil Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjarin Al Makiki 6 Mei 2011 Jumaat lepas solat maghrib di Masjid Muadz Bin Jabal. Air muka Rosli terus berubah. Ada nur kasih bercahaya di matanya. Dia menjadi bersemangat.
Katanya, "Ya aku mengenali tokoh ulamak hebat ini." "Dia selalu mengajar kitab di Masjid USJ Taipan", katanya. "Aku adalah salah seorang anak muridnya." Rosli memberitahu bahawa Syeikh Nuruddin adalah ahli ilmu dan pakar hadis yang tersohor. Berasal dari Banjar Masin Indonesia dari keluarga Ulamak besar. Menuntut ilmu di Mekah selama 8 tahun dan di Mesir selama 7 tahun dengan memperoleh BA Kuliah Syariah dan Diploma am "Dirasyat Ulya". Semasa di Mesir beliau telah mengadakan halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh Fi al-Din" untuk pelajar Nusantara.
Pengajian ini telah berjalan mencecah 20 tahun sehingga beliau digelar sebagai "Al-Azhar al-Thani". Pada tahun 2004 beliau menubuhkan pondok yang diberi nama Ma'ahad Az-Zain Al-Makki Al-A'li Littafaqquh Fiddein, Bogor Jawa Barat. Dan kini
dalam rangka menubuhkan sebuah lagi pondok di Bukit Pinang, Kedah yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah.
Syeikh Nuruddin juga telah mengarang dan mentahqiq lebih dari 50 buah kitab.
Hebat tokoh ini.
Saya agak terkedu sekaligus bersyukur kerana Syeikh Nuruddin akan berkunjung ke Masjid di khariah saya pada hari minggu ini dalam majlis Qiamullail Perdana dan Majlis Tafaqquh Fiddin.
***
Alhamdulillah saya dan isteri telah menyertai Qiamullail pada pagi tadi bermula 4 pagi dengan ibadah solat sunat tahajjud berjamaah 8 rakaat dan solat sunat taubah berjamaah 2 rakaat, disudahi dengan solat sunat witir.
Solat ini bimbingan imam jemputan dari rombongan Sheikh Nuruddin. Ruang solat masjid dipenuhi oleh para jemaah dari jauh dan dekat yang pada congakan saya sekitar 600 orang. Sungguh shahdu melihat saf yang memenuhi ruang masjid umpama solat Jumaat pula, tapi pada kesamaran cahaya lampu yang dipasang terhad. Bertahajjud bersujud di hadapan Allah, berzikir, dan berdoa memohon keredhaan dan keampunan-Nya.
Azan subuh dilaungkan oleh Muazzin tepat jam 5:43 pagi. Selesai solat subuh berjamaah, Nazir masjid Ustaz Abu Bakar Yan pun memulakan majlis dengan
mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekelian dan mengingatkan agar semua
menghormati adab2 dalam majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin yang memang
terkenal sebagai seorang guru yang begitu mengambil kira tentang adab tertib
dalam setiap majlis ilmunya.
Syeikh Nuruddin menyentuh persoalan kepentingan bermazhab dengan umpama
seorang yang ingin menuju satu destinasi contohnya untuk ke Kelantan dari KL
tetapi tidak begitu tahu selok belok jalannya atau tiada kereta sendiri,
maka elok benar ia menaiki bas ekspres kerana di sana dia tidak perlu risau
pasal selok belok jalannya atau masalah tiada keretanya, malah dia boleh
duduk dengan selesa di seat yang tersedia malah dapat tidur dengan lena. Dia
sebenarnya bertaklik kepada pemandu bas itu untuk membawanya ke destinasi
yang dituju. Maka begitulah kita ini bertaklik dengan Imam Shafie sebagai
pemandu yang akan membawa kita ke destinasi yang dituju.
Satu analogi lagi ialah kita teringin untuk makan nasi kerabu. Maka kita
bertaklik dengan Makcik pembuat nasi kerabu kerana kepakaranya yang memang
terbukti. Maka hasilnya kita dapat menikmati nasi kerabu yang kita idamkan
tadi. Tapi kita tidak boleh campur adukkan kepakaran tukang2 pembuat nasi
dagang, nasi lemak, atau nasi padang jika tujuan kita untuk menikmati nasi
kerabu, kerana ia akan jadi caca merba pula. Maknanya dalam bermazhab pula
tidak boleh untuk kita mencampur adukkan sesuatu fatwa itu mengikut mazhab
yang berbeza-beza. Kita pengikut mazhab Shafie bertaklik dengan Imam Shafie
mengikut segala kefahamannya yang berpandukan Al-Qur'an, Hadith dan ijmak
ulamak.
Ibarat orang yang menolak fahaman bermazhab pula ialah umpama seseorang yang
hendak makan nasi beryani kambing contohnya. Di depannya tersedia beras,
tomato, bawang, daging kambing, santan, rempah-ratus, maka silakan untuk
memasaknya menjadi nasi beryani kambing. Payah bukan atau mungkin agak
mustahil pada si jahil. Alangkan mudahnya jika kita beli saja kat gerai
depan pagar masjid Muadz Bin Jabal pada setiap tengahari Jumaat untuk satu
hidangan nasi beryani yang kita idamkan itu? Tidak dinafikan segala
persoalan dan panduan sudah terangkum dalam Al-Qur'an, namun di sana kita
masih memerlukan hadith dan ijmak ulamak untuk menfsirkan secara yang jelas
untuk mudah di ikuti. Justru dituntut sangat2 untuk kita menuntut ilmu,
mencintai majlis2 ilmu, menadah kitab dan ajaran ulamak2 muktabar.
Pada persoalan perpaduan ummah pula, Syeikh Nuruddin menyeru para tok2 guru
dan alim ulamak supaya memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di
negara ini dengan mencari titik2 persamaan dan bukannya menumpukan kepada
perkara2 perbezaan yang sebenarnya tidak banyak pun. Kita ini umat Islam
yang mengucap dua kalimah syahadah yang sama, bersolat mengadap kiblat yang
sama, berpuasa, berzakat dan berkunjung ke tanah haram untuk ibadah haji.
Ideologi dan aqidah yang sama. Perbezaan adalah lebih kepada perkara cabang,
maka di sana formula untuk bersatu padu mengukuhkan saf Islam mestilah
diutamakan untuk menghadapai musuh2 Islam.
Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki
berakhir pada sekitar pukul 8:30 pagi. Pihak masjid menyediakan hidangan
nasi dan gulai kawah untuk semua jamaah yang hadir. Alhamdulillah.
Posted by School Of Tots
No comments:
Post a Comment