15 June 2011

BERSIH & ISLAM

Penulis masih ingat sewaktu kecil, semasa menghadiri kelas fardhu ain di madrasah sebelah petang, ustaz akan mengajar kelas yang penulis paling suka iaitu kelas Fekah. Kebiasaannya penulis akan lebih memberi tumpuan tentang fekah yang disampaikan ustaz daripada ilmu-ilmu lain. Di antara tajuk yang paling awal diajar di dalam ilmu ini oleh ustaz ialah tentang Thaharah.

Thaharah adalah bab tentang penyucian diri. Bermula dari asas pengenalan tentang jenis-jenis air kepada mengambil wuduk sebelum solat sehinggalah merangkumi kepada penyucian hadas kecil dan hadas besar. Pendekata, bab Thaharah ini adalah bab yang sangat penting kerana ia adalah asas utama kepada ibadah kita dengan Allah.

Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bertanya pada sahabatnya:

"Adakah kamu percaya bahawa kotoran melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di depan rumahnya?".

Jawab para sahabat: "Tidak, kotoran tidak akan melekat pada tubuhnya".

Sabda rasulullah: "Begitulah umpama kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah, ia menghapuskan segala dosa"

Wuduk adalah asas kepada penyucian diri manusia sebelum dia berjumpa Allah lima kali sehari sebelum solat. Ia adalah lambang kebersihan fizikal dan penyucian rohani. Tanpa wuduk maka seseorang itu tidak boleh melaksanakan solat. Maka wuduk itu adalah wajib sebagaimana wajibnya solat. Cuba bayangkan, tiang kepada agama tidak boleh dilaksanakan tanpa hadirnya pembersihan diri. Ini menunjukkan peri pentingnya kebersihan di dalam melaksanakan ibadah di dalam Islam.


BANGSA MELAYU ADALAH PEMBERSIH

Pernah suatu waktu dahulu penulis duduk bersama seorang rakan doktor berketurunan india serani di sebuah restoran untuk makan tengahari. Doktor ini menceritakan detik indah beliau sewaktu bersekolah rendah dahulu bersama-sama kawan yang terdiri daripada keturunan melayu dan cina. Hubungan persahabatan yang terjalin sangat rapat dengan masing-masing mengayuh basikal ke sekolah bersama-sama, singgah untuk terjun ke sungai selepas pulang dari sekolah dan kadangkala bertandang ke rumah kawan-kawan masing-masing pada waktu petang.

Rumah kawan beliau yang berketurunan melayu hanyalah sebuah pondok kayu yang sederhana binanya. Walaupun berdinding kayu dan beratap nipah, namun salah satu yang beliau perkara yang masih kekal dalam ingatan beliau adalah kebersihannya. Beliau menyatakan bahawa orang melayu adalah orang yang pembersih. Halamannya bersih, berandanya bersih, di dalam rumahnya bersih dan tandasnya bersih.

Kenapa kehidupan di alam masyarakat melayu khususnya tidak lari daripada tuntutan menjaga kebersihan? Ini adalah kerana masyarakat melayu adalah umumnya beragama Islam dan tuntutan Islam terhadap kebersihan adalah yang paling tinggi.


KEBERSIHAN DI DALAM SELURUH ASPEK KEHIDUPAN

Kebersihan tidak hanya dijaga sewaktu mendirikan solat atau mana-mana ibadah khusus yang lain. Ia meliputi segenap ruang kehidupan. Kebersihan perlu dititik beratkan sewaktu menyediakan, memasak dan menghidangkan makanan kepada ahli keluarga kita sehari-hari. Makanan yang bersih dan halal bukan sahaja memberikan tenaga untuk menjalankan kerja sehari-harian dan sumber protein untuk tumbesaran tubuh, malah ia mampu menghindarkan diri daripada terkena jangkitan penyakit bawaan makanan.

Allah berfirman :
“Hai orang-orang yang beriman , makanlah barang yang baik yang telah kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah SWT dan hanya kepada dia yang disembah.” (Al-Baqarah:172)

Makanan yang baik terdiri daripada makanan yang seimbang secara gizinya dan tentulah daripada makanan yang bersih sumbernya dan bersih cara penyediannya. Makanan yang bersumberkan yang haram, kotor dan tercemar tidak boleh dikategorikan sebagai makanan yang baik. Di dalam surah ini, Allah mengaitkan orang yang memakan makanan yang baik dengan orang-orang yang beriman. Menjaga makanan daripada sumber yang halal dan bersih sehari-hari adalah cara yang baik untuk menjaga iman.

Kebersihan juga perlu dititik beratkan di dalam persekitaran rumah. Rumah dan persekitaran yang bersih boleh mengelakkan daripada malapetaka yang lebih besar seperti penyakit bawaan vektor seperti nyamuk, tikus, lipas dan lalat. Sampah perlu dilupuskan dengan sebaik-baiknya dan longkang perlu dibersihkan supaya tidak tersumbat. Jangan biarkan air bertakung di kawasan rumah bagi mencegah penyakit denggi.

Memang di kawasan luar rumah, udara kita dipenuhi dengan asap-asap karbon monoksida dari ekzos-ekzos kereta, habuk-habuk dan bahan-bahan buangan perindustrian. Namun begitu, ramai ibu bapa yang terlupa untuk memastikan anak-anak mendapat udara yang bersih di dalam rumah. Asap rokok yang mempunyai pelbagai bahan kimia dan racun yang merbahaya merupakan udara kotor yang memberi pelbagai implikasi kepada kesihatan diri dan anak-anak. Perokok perlu memberhentikan tabiat buruk mereka atau sekurang-kurangnya tidak merokok di dalam atau di persekitaran rumah. Udara tanpa asap rokok boleh mengurangkan lebih banyak penyakit seperti asthma, kanser dan masalah paru-paru yang lain.


KEKOTORAN MENYUMBANG KEPADA PENYAKIT

Sewaktu bertugas di sebuah klinik, seorang warga Bangladesh telah membawa anaknya berjumpa penulis. Pada awalnya, penulis menyangka anaknya yang berumur 4 tahun itu mengalami demam kerana wajahnya kelihatan sugul dan letih. Setelah berkenalan sebeberapa ringkas, si bapa menceritakan sewaktu anaknya membuang air besar, bapanya diberitahu oleh anaknya bahawa terdapat beberapa ekor “ular” keluar bersama najisnya.

Ketika menyaksikan apa yang dikatakan “ular” itu, bagai tidak percaya, si bapa melihat beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) ekor cacing membentuk gumbalan sebesar sebiji bola golf keluar dari punggung anaknya. Peristiwa ini berlaku kira-kira 4 tahun lalu.

Penulis memeriksa lubang dubur kanak-kanak itu (tentulah dengan berbekalkan sedikit keberanian!). Kelihatan ketika itu beberapa ekor cacing halus sedang menggeliut mesra sambil menguit-nguit. Apa yang berlaku selepas itu tidak perlulah penulis ceritakan lebih lanjut kerana ia boleh membangkitkan nostalgia kurang enak di zaman muda.

Kecacingan adalah perkara yang lumrah di kalangan kanak-kanak, tetapi lebih cenderung terjadi kepada mereka yang kurang menjaga kebersihan diri. Keadaan sanitasi yang tidak sempurna, hidup di kawasan perumahan yang sempit dan keadaan persekitaran yang kotor, merupakan faktor penting ke arah masalah kecacingan.

Salah satu cara cacing boleh berjangkit ialah melalui makanan yang tercemar dengan telur cacing yang masuk ke dalam tubuh akibat tangan yang tidak dibasuh setelah ke tandas. Makanan yang tidak dibasuh bersih dan daging-daging yang tidak dimasak secukupnya juga boleh menyumbang ke arah masalah ini. Cacing pita sebagai contoh mudah membiak di dalam perut manusia akibat memakan daging yang masih belum sempurna dimasak.

Salah satu cacing yang berbahaya kerana ia boleh menghisap darah manusia dikenali sebagai cacing kerawit. Cacing ini mempunyai taring halus yang boleh melekat di dalam usus dan hidup secara sembunyi. Larva cacing kerawit boleh masuk ke dalam darah melalui kulit tapak kaki kanak-kanak yang terdedah yang tidak memakai kasut atau selipar semasa bermain di luar rumah.

Di antara langkah-langkah untuk mencegah masalah ini ialah dengan cara mengamalkan kebersihan yang dituntut oleh Islam. Kita perlu mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan diri dengan mengamalkan budaya membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas. Kuku perlu dipotong pendek agar tidak menjadi pusat pengumpulan kuman dan telur cacing. Kasut atau alas kaki perlu dipakai ketika keluar rumah. Setelah pulang dari bermain di luar, anak-anak perlu dimandikan untuk membersihkan badan mereka. Bersihkan sayur-sayuran sebelum makan dan masak daging dengan sempurna sebelum makan agar makanan yang kita makanan betul-betul terhindar daripada kuman.


KEBERSIHAN MENUNTUT PERUBAHAN SIKAP

Penulis pernah berkunjung ke beberapa buah negara Islam seperti Pakistan dan negara timur tengah yang lain. Apa yang menyedihkan ialah negara-negara islam ini tidak menjaga kebersihan yang dituntut oleh Islam. Tandas awamnya tidak diselenggarakan dengan baik dengan kotoran yang bersepah-sepah di atas lantai tandas. Jalan-jalan awamnya penuh dengan sampah di kiri dan kanan jalan raya. Sikap penduduk mereka yang kencing merata tempat dan di dinding-dinding kawasan awam serta suka membuang sampah merata-rata tidak langsung mencerminkan bahawa Islam itu agama yang menuntut kebersihan

Berbeza pula dengan sikap bukan islam seperti di Jepun dan di barat. Mereka mengamalkan kebersihan secara tuntas di dalam kehidupan seharian. Menurut seorang sahabat yang pernah ke Jepun, tidak banyak disediakan tong-tong sampah di tempat-tempat awam. Sekiranya mereka ingin membuang sampah, mereka akan menyimpan sampah itu di dalam poket masing-masing sebelum membuangnya setibanya di rumah. Sikap menyantuni kebersihan sebagai amalan hidup di negara bukan islam sangatlah mengagumkan walaupun mereka tidak mengamalkan islam.

Tidak perlu pergi jauh, di Malaysia sendiri terdapat masjid-masjid yang tandasnya sangat kotor dan tidak diselia dengan sebaiknya. Sedangkan masjid adalah tempat berkumpulnya orang-orang yang beriman dan kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Tidak menjadi salah jika dikatakan bahawa sekiranya kebesihan sesebuah tandas itu dipertandingkan, sewajibnya tandas-tandas di masjidlah akan berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga.

Sikap umat islam tentang kebersihan perlu berubah. Perubahan ini perlu dimulakan dengan menanam pemahaman yang lebih tuntas di dalam individu, keluarga dan masyarakat bahawa setiap orang islam perlu bersih di dalam segenap aspek kehidupan. Islam memandang kebersihan dan kesucian itu melebihi dari kebersihan secara fizikal. Islam meletakkan kebersihan dari sudut yang lebih meluas termasuk kebersihan diri, spiritual, nafsu, akal, ideologi dan harta. Semua aspek ini yang membentuk diri kita sbagai muslim.

Kebersihan melahirkan muslim yang kuat fizikal, kuat jiwa dan tahan lasak di dalam menghadapi penyakit. Fizikal dan jiwa yang kuat akhirnya akan direfleks oleh penghasilan ibadah yang lebih berkualiti. Justeru, terpulanglah kepada kita untuk menjadikan kebersihan dan kesucian diri kita sebagai aspek ibadah di dalam kehidupan kita sehari-hari.
Anda mungkin juga meminati:


Oleh : Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin, M.B.B.S (IIUM)

No comments:

Post a Comment