24 June 2011

PELUK ISLAM TIDAK PERLU TUKAR NAMA

Nama asalnya Ravi A/L Chandran. Ditukar kepada Saiful Islam Bin Abdullah, Saiful pergi ke rumah bapanya lalu menunjukkan kad yang membuktikan ia telah masuk Islam, ayahnya menerima keputusan itu dengan baik, tetapi, ayahnya berkata kepada Saiful, aku tidak pernah menghalang kamu untuk menerima Islam, tetapi, apabila kamu menerima Islam, kamu buang namaku, adakah Islam sebegitu kejam membuang ibu bapa ?
Penukaran nasab seseorang yang menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara Malaysia. Dan tidak berlaku di negara-negara besar seperti Indonesia dan Arab Saudi.
Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan anggotanya esemuannya pasti ber "bin" yang sama "Abdullah".

Tidak Berlaku Pada Zaman Sahabat
Pada zaman Nabi S.A.W jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabat akan ber "bin" kan "Abdullah". Maka tidak adalah lagi disebut Umar bin al-Khattab, sebaliknya Umar bin Abdullah, tidaklah Uthman Bin Affan sebaliknya Uthman Bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi Ali Bin Abi Talib, sebaliknya Ali bin Abdullah. Hal ini kerana kesemua bapa-bapa mereka tidak menganut Islam. Adakah Rasulullah S.A.W menyuruh mereka-mereka ini menukar nama bapa mereka kepada Abdullah ? tidak sama sekali.
Orang Arab amat menjaga salasilah keterunan mereka sehingga ke beberapa peringkat. Merujuk dalam kitab "Riyadh as-salihin, karangan Imam An-Nawawi, menyebutkan : "Amir al-Mukminin Umar Al-Khattab bin Nufail Bin Abd al-Uzza.
Abd al-Uzza bermaksud " hamba sembahan berhala". Jika dilihat nama datuk Nabi....bin Kilab. Kilab bermaksud anjing. Adakah Islam mengubah nama-nama ini kepada 'Abdullah" ? tidak sama sekali.

Patung Al-Uzza di Kuil Manatu, Petra Dalil-dalilnya :
Firman Allah S.W.T :Maksudnya :
"Panggilan anak-anak angkat itu ( dengan ber "bin" kan ) kepada bapa-bapa mereke sendiri, cara itulah yang lebih adil disisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama dan sebagai maula-maula kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani
( Surah AL-AHZAB : 5 )

Al-Imam At-Tabari dalam tafsirnya mengatakan, ayat di atas, adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan sesorang kepada bukan bapanya. Islam amat menjaga keterunan.Sabda Rasulullah S.A.W :Maksudnya : "Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, sedangkan dia tahu itu bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya."
( Riwayat Al-Bukhari )

Sabda Rasulullah S.A.W :Maksudnya :
" Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya"
( Riwayat Al-Bukhari )

Dr Wahbah Az-Zuhaili

Kata Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam karyanya al-fiqh al-islami wa adillatuhu :
"Keadilan hak menuntut dan mewajibkan agar dinasabkan anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan bapa rekaan. Islam agama hak dan keadilan, sesiapa yang ada bapa yang dketahui, maka nasabkan kepada bapanya. Ini semua demi mencegah perubahan hakikat sebenar.
"Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih sinis dalam tafsirnya Aisar at-Tafasir menyebut : "Wajib mem "bin" kan anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya seekor keldai.
"Nabi Muhammad S.A.W hanya mengubah nama individu yang menganut Islam jika namanya mengandungi makna yang buruk, tetapi tidak menukar nama bapanya.
Umpamanya baginda mengubah sahabat Abd asy-Syams bin Sokhr kepada Abd Rahman bin Sokhr. Hal ini kerana Abd asy-Syams bermaksud hamba matahari. Namun nama Sokhr yang bermaksud batu tetap dikekalkan.
Ini jelas Islam tidak pernah melarang umatnya mengekalkan nama asal bapa dan ibu asal.

1 comment:

  1. Penjelasan yang baik. Saya cadangan jawatankuasa membentangkan kepada JAIS atau Jabatan Mufti supaya diketengahkan kepada Jabatan Pendaftaran. Pada pandangan saya Jabatan Agama Islam itu sendiri perlu faham dan peka sebab di situlah orang memeluk agama Islam dengan "rasmi"nya.

    ReplyDelete