01 July 2011
BILAL SAHABAT NABI
Kisah Bilal
BILAL bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dan beliau biasa dipanggil dengan gelaran Muadzzin Ar-Rasul. Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis, dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Umaiyah bin Khalaf .
Saidina Bilal telah dilahirkan di Al-Sarah sekitar 43 tahun sebelum peristiwa hijrah. Bapanya bernama Rabah dan ibunya pula bernama Hamamah. Ibunya adalah seorang amah iaitu hamba perempuan yang berkulit hitam. Oleh yang demikian Bilal juga dipanggil oleh sebahagian masyarakatnya dengan panggilan Ibnu Al-Sauda’ yang bererti Anak Si Hitam.
Beliau membesar di Ummul Qura (Makkah) dan menjadi hamba kepada salah seorang pembesar yang kafir. Sebaik sahaja terpancarnya sinar Islam di Makkah yang dibawa oleh Rasul yang agung dengan kalimah tauhid, Saidina Bilal adalah diantara orang yang terawal mengucap dua kalimah syahadah. Pada masa itu, yang terawal menerima Islam hanyalah Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid, Abu Bakar Al-Siddiq, Ali Bin Abi Talib, Ammar Bin Yasir beserta ibunya iaitu Sumaiyah, Sohaib Al-Rumi, dan Al-Miqdad Bin Al-Aswad.
Apabila beliau mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w, lalu beliau menemui Rasulullah s.a.w dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.Bukan sedikit kesakitan yang telah beliau alami, dan lebih ‘istimewa’ lagi ialah cubaan yang beliau terima tidak pernah dilalui oleh orang lain. Ketabahan beliau dan beberapa orang lagi dari golongan mustadh’afin (golongan lemah) tidak dapat ditandingi. Para pembesar Quraisy yang menyeksa mereka sebenarnya ingin memberikan ‘pengajaran’ kepada orang lain agar jangan sekali-kali mengambil risiko untuk mendekati Rasulullah SAW.
Apabila matahari mencacak di langit, batu-batu di padang pasir juga telah membahang, dilucutkan pakaian yang menutupi tubuh mereka, kemudian dipakaikan pula dengan baju yang diperbuat daripada besi, lalu mereka dijemur di tengah-tengah terik mentari. Belakang tubuh mereka disebat dengan cemeti, dan disuruh pula agar mencemuh dan mengutuk Muhammad.
Sebahagian daripada golongan yang lemah dan tidak berdaya ini tidak mampu menanggung azab yang semakin berganda, menyebabkan mereka terpaksa juga mengutuk Nabi dalam keadaan kesal dan hati mereka masih lagi bergantung harap kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi Saidina Bilal tetap tidak berganjak. Jiwanya sudah diserahkan bulat-bulat kepada Allah azza wajalla.
Orang yang bertanggungjawab menyeksa Bilal ini ialah Umaiyah Bin Khalaf bersama konco-konconya. Setiap sebatan mereka disambut oleh Bilal dengan kalimah “Ahad, Ahad” yang bermaksud “Esa, Esa”. Batu besar yang diletakkan di atas dada beliau juga diterima dengan kalimah “Ahad, Ahad”. Semakin dahsyat seksaan yang ‘dihadiahkan’, kalimah yang sama akan terpacul dari mulut beliau, “Ahad, Ahad”. Mereka memaksanya agar menyebut perkataan “Al-Laata dan Al-‘Uzza”, namun “Allah dan RasulNya” pula yang terbit dari bibirnya.
Sekiranya Umaiyah Bin Khalaf berasa jemu dan letih mengazab Bilal, maka leher Bilal akan dijerut dengan tali yang besar lalu diserahkan kepada golongan yang terencat akal dan kanak-kanak kemudian disuruh agar menarik beliau berarak keliling Makkah.
Tidak sanggup melihat penderitaan ini, Saidina Abu Bakar telah membuat penawaran untuk membeli Bilal. Umaiyah Bin Khalaf pula telah mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi, harapannya agar Abu Bakar tidak jadi membelinya, namun sangkaan Umaiyah ternyata meleset.
Sebaik sahaja Allah SWT mengizinkan NabiNya untuk pergi berhijrah ke Madinah, Saidina Bilal turut menyertai hijrah ini walaupun hatinya sangat cinta dan sayangkan bumi Makkah yang mempunyai jutaan memori yang sukar dilupakan. Di Yathrib, beliau selamat daripada sebarang kejahatan Quraisy dan dapat meluangkan sepenuh masa untuk bersama-sama dengan kekasihnya Muhammad SAW. Ke mana jua Nabi bergerak, akan kelihatanlah susuk tubuh Bilal di samping baginda. Tatkala Nabi SAW mendirikan masjidnya di Madinah dan disyariatkan azan, Bilal adalah orang yang pertama melaungkan azan dalam sejarah Islam.
Al-Najashi iaitu Raja Habsyah telah menghadiahkan kepada Rasulullah SAW tiga batang anak panah. Sebatang daripadanya disimpan oleh Rasulullah SAW sendiri, dan bakinya diberikan kepada Saidina Ali Bin Abi Talib dan Umar Al-Khattab. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW telah memberikan anak panah itu kepada Saidina Bilal. Semenjak pemberian tersebut, Bilal terus menyimpan anak panah itu sepanjang hayatnya. Beliau akan membawanya ketika solat dua hari raya, solat isitisqa’ dan memacakkannya di hadapan beliau sekiranya mendirikan solat di luar masjid untuk dijadikan sebagai sutrah iaitu penghadang
Saidina Bilal turut terlibat dalam peperangan Badar dan telah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah SWT mengotakan janjiNya dan menolong para tenteraNya. Beliau telah menyaksikan sendiri individu-individu yang terlibat dalam penyeksaan ke atas dirinya seperti Abu Jahal, Umaiyah Bin Khalaf dan lain-lain lagi putus nyawa mereka dengan pedang tentera muslimin.
Ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW telah mengajak tiga orang sahabat baginda untuk memasuki Ka’bah yang terdiri daripada Uthman Bin Tolhah selaku pemegang kunci-kunci Ka’bah yang mulia, Usamah Bin Zaid iaitu orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW, dan Bilal Bin Rabah selaku tukang azan baginda SAW. Rasulullah SAW telah memerintahkan Bilal agar menaiki Ka’bah dan melaungkan azan sebagai simbol kemenangan.
Bilal terus konsisten menjadi tukang azan sepanjang hayat Rasulullah SAW. Bahkan baginda sendiri sering merindui suaranya yang pernah merasai penderitaan yang dahsyat sambil melaungkan kalimah “Ahad, Ahad”. Setelah Rasulullah SAW ‘berpindah’ kepada Temannya Yang Maha Tinggi, dan tibanya waktu solat, Bilal pun berdiri untuk melaungkan azan sedangkan ketika itu jasad Nabi SAW masih lagi berbalut dan belum dikebumikan. Apabila sampai pada ungkapan أشهد أن محمدا رسول الله , suaranya tersekat-sekat, sebak di dadanya berombak-ombak menyebabkan semua umat Islam yang ada ketika itu turut menitiskan air mata dan mereka tenggelam dalam kesedihan yang amat sangat.
Beliau hanya melaungkan azan selama tiga hari sahaja selepas itu kerana setiap kali tiba pada kalimah أشهد أن محمدا رسول الله beliau akan menangis dan terus menangis. Oleh sebab itu, beliau telah meminta kebenaran daripada Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq agar tidak lagi melaungkan azan kerana tidak sanggup lagi menahan kesedihan. Sekaligus memohon keizinan untuk menyertai jihad di jalan Allah dan melazimi perjuangan menentang musuh-musuh Allah di bumi Syam. Pada mulanya, Abu Bakar keberatan untuk memberikan keizinan tersebut kerana Bilal akan meninggalkan bumi Madinah, akan tetapi selepas mendengar kata-kata Bilal yang berbunyi, “Sekiranya dahulu tuan membeli saya untuk kepentingan diri tuan, maka tahanlah saya. Tetapi jika tuan telah membebaskan saya dahulu kerana Allah, maka biarkanlah saya menuju kepadaNya”, barulah diizinkannya.
Setelah Bilal meninggalkan Madinah, beliau telah menetap di Daraiya berhampiran dengan Damsyiq. Semenjak itu, beliau tidak lagi melaungkan azan sehinggalah kedatangan Saidina Umar Al-Khattab ke bumi Syam dan bertemu dengan beliau sejak sekian lama tidak bersua. Umar sangat merindui sahabat nabi ini, sehinggakan apabila disebut nama Abu Bakar di hadapannya, maka beliau akan berkata, “Abu Bakar adalah tuan kita, dan dia juga telah memerdekakan tuan kita” yang dimaksudkan dengan ‘tuan kita’ yang kedua ialah Bilal Bin Rabah.
Di Syam, para sahabat telah memujuk agar Bilal mengumandangkan azan di hadapan Umar. Maka apabila Bilal mula melaungkan azan, bercucuranlah air mata Umar dan hal yang sama juga berlaku kepada para sahabat sehingga basah lencun janggut mereka dengan air mata. Sesungguhnya Saidina Bilal telah membangkitkan kembali kerinduan mereka terhadap kenangan-kenangan indah di Madinah Al-Munawwarah bersama dengan Rasulullah SAW.
Beliau meriwayatkan 44 hadis daripada Rasulullah s.a.w. Di antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kalian menunaikan solat malam (tahajjud), kerana solat malam adalah tradisi (kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kalian, dan sesungguhnya solat malam adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, dapat mencegah dari perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Bilal bin Rabah menolak untuk menjadi muazzin bagi seseorang selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.
‘Penyeru Langit’ ini terus bermukim di Damsyiq sehinggalah penghujung hayatnya. Pada saat-saat terakhir beliau, acapkali isteri yang berada di sampingnya berteriak, “Aduhai, alangkah sedihnya!!”, beliau pun segera membuka matanya dan berkata, “Oh, alangkah gembiranya”. Kemudian perkataan-perkataan terakhir yang terpacul dari mulutnya dan diulang berkali-kali ialah, “Esok, aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya, esok aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya”
Bilal bin Rabah dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah, dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan di Halb.
Demikianlah kisah hidup seorang sahabat Nabi SAW yang hebat peribadinya. Kasih dan cintanya kepada Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya. Sungguhpun di awal diari kehidupannya bersama Islam melalui pelbagai onak duri yang tidak terperi, namun di akhir hayatnya kegembiraan dan kebahagiaan pula yang dinikmati. Tidakkah kita cemburu dengan beliau?
No comments:
Post a Comment