08 August 2011

ZAKAT FITRAH ADALAH KEWAJIPAN KITA

Dalam Bulan Ramadhan yang mulia dan berkat ini kita perlu memperingati sesama umat Islam supaya menunaikan kewajipan yang difardhukan kepada setiap muslim yang berkemampuan iaitu untuk menunaikan zakat Fitrah.
Zakat Fitrah Satu Kewajipan Yang diSyariatkan Kepada Umat Islam

Berdasarkan istilah, zakat fitrah ialah sedekah yang wajib dikeluarkan oleh umat Islam pada bulan Ramadhan sebelum solat Aidulfitri dan ianya dilakukan untuk bertujuan memberi bantuan dan kesenangan kepada golongan fakir miskin khususnya untuk mereka dapat bersenang-senang di hari raya dan bergembira seperti umat Islam yang lain serta membersihkan amal ibadah golongan yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dan menunaikan kewajipan mereka (lihat Al-Mughni oleh Imam Ibn Qudahmah m/s 56 Jilid 3).

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra dengan berkata : “Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan orang yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dengan memberikan makan kepada fakir miskin dan barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).


Kewajipan Zakat Fitrah
Kewajipan Zakat Fitrah merupakan ijmak ulama ummah bahawa ianya satu kewajipan berdasarkan sunnah rasulullah sekalipun ianya tiada dalil dalam Al-Qur’an selain hanya dari sunnah rasulullah namun ianya disepakati dan tiadalah yang menyalahinya dari kalangan ahlul ilmi seperti yang disebut oleh Imam Ibn Qudamah yang menaqalkan dari Imam Abi Bakr Muhammad Ibn Munzir Al-Naisaburi pengarang kitab Al-Ijmak (lihat Al-Ijmak oleh beliau m/s 55).

Sekalipun wujud pernyataan Imam Ibn Abd Bar bahawa sebahagian dari golongan yang terkemudian dari mazhab Malik dan Daud yang mengatakan ianya sunat yang sangat dituntut namun pendapat ini jelas salah dan terkeluar dari hujah jumhur dan ijmak muslimin termasuk pendapat golongan anti-hadith yang tidak menerima pensyariatan sunnah rasulullah dan mereka itu (anti-hadith) kafir bukanlah lagi muslim.

Kewajipan Zakat Fitrah ialah dituntut kepada setiap muslim berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata : “Rasulullah telah memfardhukan (mewajibkan) zakat Fitrah segantang tamar atau dari gandum ke atas hamba ataupun yang merdeka, lelaki dan perempuan yang kecil (muda) atau yang tua dari umat Islam dan mengarahkan supaya ditunaikan kewajipan ini sebelum keluarnya orang ramai ke solat (Solat Aidhul Fitri)” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari no. 1503 dan Muslim no. 984 dan lain-lain).

Perintah rasulullah dalam hadith di atas jelas menjadi hujah kewajipan dan tuntutan kepada Umat Islam untuk menunaikannya sebagai mentaati perintah Allah swt yang menyebut :

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (An-Nisa : 80).

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)

Dalam riwayat Abu Hurairah ra baginda rasulullah juga pernah bersabda dengan pesannya :
“Setiap Umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang engkar, maka sahabat bertanya, siapakah yang engkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang engkar.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).

Demikianlah apabila dilihat kepada kata-kata Said ibn Musaiyib dan Umar ibn Abd Aziz ra pada firman Allah : “Sungguh telah berbahagialah mereka yang menyucikan diri” (Al-A’la : 14) iaitu yang dimaksudkan menyucikan diri ialah yang menunaikan zakat fitrah.

Disepakati oleh Ijmak ulama bahawa Zakat Fitrah ini wajib ke atas semua umat Islam yang mampu menunaikannya tanpa memudharatkan kehidupan keluarganya dalam menunaikannya dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk menunaikan sesiapa yang dibawah tangungannya yang tidak mempunyai kemampuan misalnya kanak-kanak yang menjadi kewajipan bapa dan walinya menunaikan zakat itu bagi pihak mereka (lihat dalam Al-Iqna’ dan Al-Ijmak oleh Ibn Munzir m/s 55).

Adapun bagi wanita yang belum bernikah maka menjadi kewajipan untuk mereka menunaikan zakat Fitrah bagi diri mereka sendiri dan sekiranya mereka dibawah tangunggan wali mereka maka walilah yang menjadi penanggung dan sekiranya yang sudah bernikah maka suaminya yang menjadi pembayar zakat dan dipertangungjawabkan.

No comments:

Post a Comment