07 September 2011

HINDARI PENYAKIT DI BULAN SYAWAL

Penyakit-Penyakit dalam bulan Syawal
Bulan Ramadhan adalah satu rahmat kepada semua yang berpuasa dan turut menjadi bonus kepada petugas perubatan yang bekerja di klinik atau di hospital kerajaan.

Pengalaman bekerja di bidang ini mendapati bahawa di bulan Ramadhan, bilangan pesakit yang berkunjung ke klinik-klinik dan yang dimasukkan ke hospital biasanya akan berkurangan.

Beberapa kajian saintifik mendapati bahawa puasa adalah sebahagian daripada pencegahan dan rawatan kepada pembunuh utama rakyat Malaysia iaitu 'Sindrom Metabolik'.

Penyakit Sindrom Metabolik ini merangkumi beberapa penyakit termasuklah darah tinggi, kencing manis, hypercholesterolaemia (kandungan lemak yang tinggi) dan kegemukan (obesiti).

Puasa Ramadhan juga dapat meningkatkan kesihatan seseorang dengan berlakunya proses detoksifikasi atau pembuangan toksin yang berkesan dari tubuh badan selain daripada ratusan kebaikan yang lain dari sudut kesihatan fizikal, emosi dan spiritual.

Namun situasi mesra kesihatan di bulan Ramadhan ini berubah sebaik sahaja menjelang Syawal. Apa tidaknya, setelah sebulan berpuasa dan berdisiplin dengan tabiat pemakanan yang sihat kini bertukar wajah menjadi pesta makanan yang menyajikan pelbagai jenis juadah yang lazat dan menggiurkan.

Kegilaan menjamu selera menjadi lebih parah dengan budaya rumah terbuka yang biasanya berlanjutan selama sebulan atau mungkin lebih. Walaupun tujuan asal rumah terbuka dan amalan ziarah menziarahi adalah sangat baik dan terpuji iaitu untuk merapatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

Penyakit-penyakit utama di bulan Syawal

Sakit perut dan cirit-birit

Masuk saja ke bulan Syawal, kejadian sakit perut, muntah dan cirit-birit adalah gejala yang sangat kerap berlaku. Ramai di kalangan kita yang mengidap acute gastro-enteritis (keracunan makanan), gastrik dan perut yang meragam akibat pengambilan juadah hari raya tanpa tabiat mengamalkan pemakanan yang sihat.

Kencing manis (diabetes)

Pada bulan Syawal juga ramai pesakit diabetes yang perlu dimasukkan ke hospital kerana kandungan gula di dalam darahnya yang meningkat di luar kawalan. Namun begitu, ada juga pesakit baru yang dikesan mengidap diabetes kerana tabiat pemakanannya yang tidak sihat di sepanjang Ramadhan dan Syawal.

Kegemukan (obesiti)

Sekiranya budaya rumah terbuka tidak diikuti dengan disiplin pemakanan yang baik, maka fenomena 'seluar longgar' dek keberkatan Ramadhan dan akan digantikan oleh gejala 'seluar sendat' dek kedahsyatan pesta makanan yang berpanjangan di sepanjang Syawal.

Kehebatan seseorang yang berjaya menurunkan berat badannya di bulan Ramadhan hanya boleh dipuji sekiranya dia berjaya mengekalkan berat badan tersebut sehingga di penghunjung Syawal setelah melepasi ujian marathon jamuan demi jamuan tersebut.

Malas untuk beramal

Biasanya kita mudah untuk membaca al-Quran dan solat berjamaah di bulan Ramadhan tetapi lain pula situasinya di bulan Syawal. Surau dan masjid yang biasanya penuh di bulan puasa akan kelihatan kosong dan kurang dikunjungi selepas Ramadhan. Al-Quran yang menjadi teman sehinggakan budaya mengkhatamkannya di sepanjang bulan Ramadhan akan berubah sekelip mata sehinggakan jarang sekali dibeleknya sebagai bekalan hidup dengan berlalunya Ramadhan.

Penyakit lidah

Umumnya adalah lebih mudah bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan untuk menjaga lidahnya daripada tabiat mengumpat, suka berdebat dan kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Namun keadaannya berubah setelah berlalunya bulan berkat dan bulan ibadah ini.

Ramai di kalangan kita yang melupai disiplin menjaga lidah dan mulut menjelang berlalunya Ramadhan. Lebih menyedihkan lagi apabila gelanggang rumah terbuka ini mungkin menjadi medan mengumpat atau pesta yang bercampur-baur tanpa batasan.

Tabiat-tabiat lama

Taqwa adalah merupakan objektif dan hikmah puasa itu sendiri. Ia boleh diukur apabila melihat diri seseorang atau keluarganya semakin baik dan cemerlang setelah melalui medan tarbiyah selama sebulan di bulan Ramadhan.

Lebih menyedihkan buat seseorang individu mahupun umat Islam umumnya apabila penyakit-penyakit lama yang telah sebati di dalam dirinya datang kembali malahan semakin membarah dengan berlalunya Ramadhan.

Bagaimana mengatasi fenomena ini?

Bersederhana di dalam mengendalikan rumah terbuka
Melakukan amalan ziarah menziarahi secara terancang
Menjaga disiplin pemakanan
Bermuhasabah diri dan mendidik keluarga serta masyarakat mengenai amalan berhari-raya menurut syara'
Mengamalkan puasa enam di bulan Syawal
Menjadikan riadah sebagai acara regular mingguan
Mengamalkan gaya hidup yang sihat
Banyak berdoa memohon pertolongan dari Allah s.w.t
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadhan dan kemudian dia mengikutkannya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, maka dia seperti orang yang berpuasa selama satu tahun." (Hadis shahih riwayat Muslim)

Akhir kalam,

Ramadhan tunduk mengundurkan diri,
Syawal bergegas datang mengganti,
Semoga taqwa mekar di hati,
Amalan soleh kukuh membumi.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis
Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin bertugas sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan di International Medical University (IMU) dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Di dalam NGO, beliau merupakan Perunding Aman Palestin dan Naib Presiden I-Medik. Beliau juga menulis di blog zainurrashid.com dan page Facebook ‘Dr Zainur Rashid Zainuddin’.

No comments:

Post a Comment