10 September 2011
QADA PUASA DAN BAYAR FIDYAH.
Hutang puasa yang yang dimaksudkan, iaitu jumlah hari-hari puasa yang pernah kita tinggalkan pada musim Ramadhan lepas. Tak kiralah secara sengaja atau tidak, sepatutnya diqadakan secepat mungkin, namun Allah Yang Maha Penyayang memberikan kita kelapangan untuk melaksanakan qada pada bila-bila masa sahaja(kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa) sebelum tiba Ramadhan yang berikutnya. Jadi, pada bulan Syaaban segala puasa yang telah ditinggalkan hendaklah diqada sepenuhnya tanpa berbaki lagi.
Andainya seseorang gagal melunaskan hutang puasanya ini hingga menjelma Ramadhan yang berikutnya, maka dia wajib menqada puasa yang ditinggalkan berserta fidyahnya sekali. Sebenarnya ada beberapa golongan yang wajib qada dan membayar fidyah, namun disini saya hanya ingin fokuskan kepada golongan yang melewatkan qada puasa sehingga melewati Ramadhan yang berikutnya.
Kadar fidyah ialah secupak beras atau gandum kepada fakir miskin bagi setiap hari puasa yang diitnggalkan. Ini adalah pandangan Imam Syafi’i dan jumhur ulama’. Sandaran imam syafi’i dalam penetapan ini ialah sebuah hadis yang riwayat Darulqutni daripada Abu Hurairah mengenai lelaki yang sakit kemudian sihat tetapi tidak juga menqadakan puasanya hingga tiba ramadhan berikutnya,. Baginda bersabda “ Hendaklah ia qadakan puasa yang ditinggalnya, kemudian mengeluarkan secupak makanan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalnya.
Kadar fidyah akan bertambah sejajar dengan pertambahan tahun yang diabaikan qada puasa. Sebagai contoh, andainya seseorang meninggalkan puasa selama lima hari pada tahun pertama dan tidak menqada puasanya hingga masuk bulan Ramadhan tahun yang kedua, maka dia diwajibkan qada puasa selama lima hari dan membayar fidyah sebanyak 5 cupak beras. Seandainya gagal dilunaskan puasa itu hingga masuk ramadhan pada tahun berikutnya pula( tahun ketiga), maka dia wajib qada sebanyak lima hari dan membayar fidyah sebanyak 10 cupak.
Berbalik kepada persoalan fidyah, pada hari ini secupak beras itu lebih sesuai dinilai dari segi wang ringgit. Kadar sekarang ialah secupak beras bersamaan dengan RM1.20 dan ia boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang secara zahirnya adalah faqir miskin,termasuklah kepada saudara mara sendiri.
1) Lebih lanjut :
a) Pondok Pasir Tumboh Kelatan.
http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=25:bayar-fidyah-tinggal-puasa&catid=9:soal-jawab-agama&Itemid=25
b) Jabatan agama islam Selangor.
http://soaljawab.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=85
No comments:
Post a Comment