18 December 2011

ANTARA KAYA DAN ZUHUD !

Menjaga hati dari rasa cintakan dunia adalah satu cabaran yang besar bagi manusia yang hidup pada zaman ini. Tidak kira siapa, pasti berat untuk seseorang manusia itu menjaga hatinya agar tidak terpesong kepada dunia semata-mata. Apa tidaknya, setiap hari kita akan disajikan dengan keseronokan hidup seperti kereta mewah, rumah besar, perniagaan atau mungkin juga pasangan hidup yang canggih. Maka itu membuatkan kita terlupa pada janji kita pada Allah seperti yang diucapkan setiap solat wajib semasa doa Iftitah iaitu untuk berada kekal di alam akhirat.

Tumpuan kita pada masa ini adalah untuk mengejar kemewahan agar tidak kalah bertanding dengan jiran sebelah rumah yang membeli set sofa baru, agar kita terasa bergaya dengan pakaian jenama terkini atau mungkin juga agar hati kita tenteram dengan aksesori tambahan kereta kita. Oleh itu, kita akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi keinginan hati supaya tidak terlihat kolot atau ketinggalan zaman berbanding orang lain.

Perkara ini sebenarnya bukanlah fenomena baru. Ini hanya putaran dari kitaran sejarah yang terus berulang-ulang dari masa ke masa. Dan bukti sejarah telah merakamkan kemusnahan sebagai noktah bagi bangsa yang mengejar kemewahan dunia ini.

Putaran Sejarah

Lihat saja kepada kaum Madyan yang tidak amanah dalam perniagaan. Akibat terlalu menginginkan keuntungan yang banyak, mereka sanggup berlaku tidak amanah dalam perniagaan. Sebagai balasan, Allah datangkan petir kepada mereka. Begitu juga yang berlaku kepada Firaun. Firaun merasakan bahawa dunia ini adalah miliknya. Malah lebih dari itu, dia merasakan bahawa dirinya adalah tuhan kepada alam ini. Akhirnya Allah tenggelamkan Firaun dan pengikutnya dalam Laut Merah. Kaum Yahudi yang ingkar akan perintah beribadah pada hari Sabtu kerana ingin mendapatkan hasil tangkapan ikan yang lebih banyak telah Allah sumpah menjadi kera. Kisah ini dapat dibaca dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-65

Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".


Hakikat Kaya

Mengejar kemewahan hidup didunia yang sementara ini akan menghantarkan kita kepada kesudahan yang menghinakan diri. Bahagia di dunia hanya yang kita kecapi hanya untuk beberapa ketika jika hendak dibandingkan dengan sifat hidup diakhirat yang kekal abadi. Ya, K.E.K.A.L untuk selama-lamanya, sampai bila-bila!

Mari kita perhatikan hakikat sebenar kaya yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w;

“Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati.” (HR Bukhari & Muslim)


Zuhud adalah kata kunci kepada persoalan ini. Namun begitu, kita perlu faham apa itu zuhud dalam erti kata yang sebenar. Zuhud bukanlah bererti membuang dunia dari pandangan mata dan menumpukan kepada hal ibadah dan akhirat semata mata. Zuhud adalah kehidupan yang tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia. Kayalah umat Islam! Tandingi kekayaan Bill Gates yang pendapatannya adalah menghampiri RM 960 sesaat. Tapi jangan pernah hati kita terpaut kepada perhiasan dan kesenangan hidup di dunia ini walau seinci.

No comments:

Post a Comment