06 December 2011

GERHANA BULAN PENUH 10 DISEMBER


10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas.

Gerhana bulan yang bakal terjadi pada sabtu malam 10hb nanti merupakan rentetan peristiwa gerhana bulan penuh yang terjadi pada 16 Jun tahun ini. Menariknya kerana ke-dua2 peristiwa gerhana pada tahun 2011 ini ialah gerhana bulan penuh. Tahun terakhir kita melihat gerhana penuh ialah pada tahun 2007 dan jika anda terlepas peluang kali ini, maka anda perlu menanti tahun 2018 untuk melihat gerhana bulan penuh sekali lagi. Namun jangan risau kerana gerhana bulan separa sentiasa akan terjadi setiap tahun pada tahun mendatang sehinggalah tahun 2018 tiba.

Apa yang akan anda lihat nanti ialah pada malam tersebut, bulan yang awalnya bersinar penuh akan menjadi bulan sabit secara perlahan- lahan sehinggalah keselurahan bulan kelihatan bertukar warna menjadi merah tembaga.

Waktu Gerhana

Peristiwa kali ini akan amatlah sesuai dan menyenangkan untuk diikuti memandangkan ianya mula berlaku pada jam 8.46 minit malam dan berakhir pada jam 12.17 pagi (gerhana pada Jun yang lepas adalah pada lewat pagi yang sejuk!) . Pada ketika ini, apa yang terjadi ialah bulan akan mula memasuki bayang gelap bumi (umbra).

Bulan yang pada awal malamnya adalah bulan purnama penuh akan di'makan' sedikit demi sedikit bermula jam 8.46 malam sehinggalah keseluruhan bulan akan berada dalam bayang gelap bumi sepenuhnya pada jam 10.06 minit malam. Pada saat ini dikatakan totaliti bermula.

Bulan akan bermula berada dalam totaliti dari jam 10.06 mlm, kemuncak pada jam 10.32 mlm dan mula keluar dari bayang umbra pada jam 10.57 malam. Bulan akan keluar keseluruhannya dari bayang umbra pada jam 12.17 pagi pada 11hb Disember 2011.

Oleh itu, anda mempunyai masa lebih kurang 3 jam setengah untuk mengikuti peristiwa ini. Apa lagi, ajak rakan2, saudara mara dan orang kampung anda untuk melihat peristiwa ini. Disunatkan untuk melakukan solat sunat gerhana 2 rakaat.

Cara untuk mengikuti peristiwa ini mudah sahaja, iaitu menggunakan mata kasar anda! Selain itu, anda boleh cuba untuk merakam peristiwa ini menggunakan kamera dan juga video. Link di sini dan di sini boleh membantu anda mendapatkan idea bagaimana untuk merakam peristiwa ini.

No comments:

Post a Comment