26 December 2011

JANGAN JEMU NIKMATI SUMBER ILMU DI MASJID

Sumber Ilmu Di Kuliah Maghrib
Dalam perbualan saya dalam kereta bersama isteri sekejap tadi sekembalinya kami dari majlis ilmu di Masjid As-Salam, saya berkata "Bagi orang awam rasanya Kuliah2 Maghrib di masjid dan surau saban malam itu adalah merupakan sumber ilmu yang paling sesuai. Cuma masalahnya malas nak pergi majlis, itu yang payah faham agama." Tambah saya lagi, "Cumanya memetik kata2 Ustaz Azhar Idrus, setakat belajar di Kuliah Maghrib tak bolehlah nak mencapai tahap nak jadi ustaz untuk mengajar orang. Tu kena mengadap tok guru dan usaha tadah kitab dalam pelbagai cabang ilmu."

Tiang dalam agama ialah memahami agamanya. Maka tidak boleh tidak kenalah kita mengaji dan menuntut ilmu. Jangan berputus harap. Cintailah majlis2 ilmu terutamanya kuliah2 maghrib. Kalau dapat hadir 5 kuliah maghrib seminggu Alhamdulillah...mantop.

Menuntut ilmu bermanfaat itu bakal mendekatkan diri pada Allah, menjadikan kita rasa seronok beribadah, akan terasa kerugian jika meninggalkannya, akan menambah sifat tawadduk dan rendah diri. Apa yang diketahui itu terlalu sedikit berbanding dengan ilmu Allah yang maha luas. Ilmu bermanfaat bisa membuka mata hati untuk kita muhasabah diri dan berusaha semampu mungkin untuk mengatasi kelemahan diri.

Barangsiapa yang diberi kebaikan selalunya Allah akan kurniakan kefahaman agama yang baik. Dengan kefahaman agama ini akan mendekatkan diri kepada ketaqwaan. Ramai lagi umat Islam termasuk blogger2 sekelian yang masih memberi ucapan selamat kepada sambutan hari kebesaran agama lain, sedangkan ini sangat ditegah. Hari2 perayaan ini merupakan kemuncak pengiktirafan tuhan mereka sekaligus syirik kepada Allah. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agama aku, tiada kompromi perihal aqidah. Usah terperangkap dengan agenda masyarakat majmuk atau persoalan sosial, kalau ia menyentuh persoalan aqidah secara di sedari ataupun tidak. Allah itu Esa.

Fahaman golongan liberal dan kelompok pemikir bebas ialah menganggap semua agama itu sama. Setiap sesuatu ada tiang2nya ada batasan2nya. Tuhan hanya satu. Mana boleh semua agama itu sama. Syirik kepada Allah adalah dosa nombor uno yang tiada maaf bagimu. Ramai pemimpin2 muslim dunia masih zalim dan tidak amanah menjaga kepentingan rakyat kerana begitu takut kepada kuasa memerintah yang ada melebihi takut mereka kepada Allah yang Esa. Kefakiran ilmu agama bakal menyesatkan manusia. Mantapkan aqidah untuk selamat dunia dan akhirat.

Dalam menuju kemantapan iman, kita kena mencari ilmu terutamanya ilmu tauhid dan tasauf. Seterusnya bertaubat atas kesilapan dan dosa2 yang kita lakukan dengan sepenuh penyesalan, meninggalkan secara total kemungkaran itu dan tiada lagi niat untuk mengulangi perbuatan dosa berkenaan. Step ketiga ialah mengatasi halangan memanjang yang boleh menghalang ibadah kita daripada sampai kepada Allah SWT iatu halangan dunia, manusia, syaitan dan nafsu.

Janganlah cintakan dunia hingga melepaskan akhirat. Tidak salah mencari harta dan wang ringgit namun gunakanlah ke jalan Allah supaya dunia akan membawa faedah bernilai untuk akhirat. Zikrullah itu tampak seperti perbuatan yang membuang masa tapi hakikatnya hasil lumayan menanti untuk dikutip di akhirat. Manusia selalu bergaduh dan bercakaran kerana urusan dunia. Ada kita bergaduh soal akhirat?

Rintangan yang menghalang ibadah kita untuk sampai kepada Allah yang datangnya secara berkala pula ialah rezki, rasa khuatir, qada Allah, dan musibah. Persoalan rezki ini adalah dalam budget Allah sepanjang hayat kita. Rezki seseorang sudah termaktub di atas sana. Namun ia tidak menghalang kita berusaha mencari rezki di dunia ini semampu mungkin.

Khuatir pula ialah perasaan yang menyebabkan kita bimbang tidak tentu hala. Untuk melawan perasaan khuatir dan bimbang ini, kita kenalah buat apa yang Allah suruh sekaligus meninggalkan apa yang Allah larang. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Yang kaya dan yang miskin ialah qada Allah belaka. Ditakdirkan kita miskin maka bersyukurlah kerana Rasulullah lebih suka kepada orang miskin. Namun orang yang kaya iman ialah orang yang terhebat di sisi Allah. Ilmu Allah cukup lengkap, namun ia tidak menafikan hak untuk berusaha dan berikhtiar yang terbaik. Seterusnya berserah kepada ketentuan Allah. Man Jadda Wajjada. Sesiapa yang berusaha dia akan mendapat.

Musibah yang menimpa seseorang samada musibah kecil atau besar sebenarnya ialah tanda kasih sayang Allah. Maka kembalilah kepada Allah. Pada setiap musibah seperti kematian, kemalangan atau sakit adalah ujian daripada Allah, tanda kasih sayang-Nya.

Teruskan pencarian ilmu. Jangan putus harap untuk menjadi manusia yang lebih baik. Marilah berusaha dan berikhtiar untuk menjadikan segala perlakuan kita besok lebih baik daripada hari ini, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment