13 March 2012
SEDEKAH BERKAHNYA LUAS
Pengertian Sedekah
Secara umum sedekah memiliki pengertian menginfaqkan harta di jalan Allah SWT. Baik ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, mahupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.
Makna sedekah memang sering menunjukkan makna memberikan harta untuk hal tertentu di jalan Allah SWT, sebagai mana yang terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an.
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. [Al-Baqarah: 264]
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [At-Taubah: 60]
Kedua ayat di atas menggambarkan bahawa sedekah bermakna mendermakan wang di jalan Allah SWT. Bahkan pada ayat yang kedua, sedekah secara khusus adalah bermakna zakat. Bahkan banyak sekali ayat mahupun hadis yang berbicara tentang zakat, namun diungkapkan dengan istilah sedekah.
Secara bahasa, sedekah atau sadaqah berasal daripada kata shidq yang bererti benar. Dan menurut Al-Qadhi Abu Bakar bin Arabi, benar di sini adalah benar dalam konteks sejalannya perbuatan dengan ucapan dan keyakinan. Dalam makna seperti inilah, sadaqah diibaratkan dalam hadis:
“Dan sadaqah itu merupakan burhan (bukti).” [Riwayat Muslim]
Antara zakat, infaq, dan sadaqah memiliki pengertian tersendiri dalam bahasan kitab-kitab fiqh. Zakat iaitu kewajipan atas sejumlah harta tertentu dalam waktu tertentu dan untuk kumpulan tertentu.
Infaq memiliki erti lebih luas daripada zakat, iaitu mengeluarkan atau menafkahkan wang. Infaq ada yang wajib, sunnah dan infaq. Infaq wajib di antaranya adalah zakat, kafarat, infaq untuk keluarga dan sebagainya. Infaq sunnah adalah infaq yang sangat dianjurkan untuk melaksanakannya namun tidak menjadi kewajipan, seperti infaq untuk da’wah, pembangunan masjid dan sebagainya. Sedangkan infaq infaq adalah infaq yang tidak masuk dalam kategori wajib dan sunnah, serta tidak ada anjuran secara tekstual ayat mahupun hadis, di antaranya seperti infaq dalam bentuk kenduri atau jamuan dan sebagainya.
Sedekah lebih luas maknanya daripada sekadar zakat mahupun infaq. Kerana sedekah tidak hanya bererti mengeluarkan atau mendermakan harta. Namun sedekah meliputi segala amal atau perbuatan baik. Dalam sebuah hadis digambarkan,
“Memberikan senyuman kepada saudaramu adalah sadaqah.”
Makna sedekah yang terdapat dalam hadis di atas adalah merujuk pada makna sedekah di atas. Bahkan secara tersirat sedekah yang dimaksudkan dalam hadis adalah berbagai bentuk kebaikan yang dilakukan oleh setiap Muslim dalam rangka mencari keredhaan Allah SWT baik dalam bentuk ibadah atau perbuatan yang secara lahiriyah terlihat sebagai bentuk taqarrub kepada Allah SWT, mahupun dalam bentuk aktiviti yang secara lahiriyah tidak tampak seperti bertaqarrub kepada Allah, seperti hubungan intim suami isteri, bekerja, dsb. Semua aktiviti ini bernilai ibadah di sisi Allah SWT.
Berbagai Jenis Sedekah
Rasulullah SAW dalam hadis di atas menjelaskan tentang ruang lingkup sedekah yang begitu luas, sebagai jawapan atas kegundahan hati para sahabatnya yang tidak mampu secara maksimum bersedekah dengan harta mereka, kerana mereka bukanlah orang yang termasuk banyak hartanya. Lalu Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sedekah merangkumi:
1. Tasbih, Tahlil dan Tahmid
Rasulullah SAW menggambarkan pada awal penjelasannya tentang sedekah bahawa setiap tasbih, tahlil dan tahmid adalah sedekah. Oleh kerana itu mereka ‘diminta’ untuk memperbanyak tasbih, tahlil dan tahmid, atau bahkan zikir-zikir lainnya. Kerana semua zikir tersebut akan bernilai ibadah di sisi Allah SWT. Dalam riwayat lain digambarkan:
Daripada Aisyah RA, bahawasanya Rasulullah SAW berkata, “Bahawasanya diciptakan daripada setiap anak cucu Adam tiga ratus enam puluh persendian. Maka barang siapa yang bertakbir, bertahmid, bertasbih, beristighfar, menyingkirkan batu, duri atau tulang daripada jalan, amar ma’ruf nahi mungkar, maka akan dihitung sejumlah tiga ratus enam puluh persendian. Dan ia sedang berjalan pada hari itu, sedangkan ia dibebaskan dirinya daripada api neraka.” [Riwayat Muslim]
2. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Setelah disebutkan bahawa zikir merupakan sedekah, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa amar ma’ruf nahi mungkar juga merupakan sedekah. Kerana untuk merealisasikan amar ma’ruf nahi mungkar, seseorang perlu mengeluarkan tenaga, fikiran, waktu, dan perasaannya. Dan semua hal tersebut dianggap sebagai sedekah. Bahkan jika dikaji secara mendalam, umat ini mendapat julukan ‘khairu ummah’, kerana memiliki misi amar ma’ruf nahi mungkar. Allah SWT. berfirman:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. [Ali Imran: 110]
3. Hubungan Intim Suami Isteri
Hadis di atas bahkan menggambarkan bahawa hubungan suami isteri merupakan sedekah. Satu pandangan yang cukup asing di telinga para sahabat, hingga mereka bertanya, “Apakah salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya dan dia mendapatkan sedekah?” Kemudian dengan bijak Rasulullah SAW. menjawab, “Apa pendapatmu jika ia melampiaskannya pada tempat yang haram, apakah dia mendapatkan dosa? Maka demikian pula jika ia melampiaskannya pada yang halal, ia akan mendapat pahala.” Di sinilah para sahabat baru menyedari bahawa makna sedekah sangatlah luas. Bahawa segala bentuk aktiviti yang dilakukan seseorang, dan diniatkan ikhlas kerana Allah, serta tidak melanggar syariah-Nya, maka itu akan dianggap sebagai sedekah.
4. Bekerja dan memberi nafkah pada sanak keluarganya
Al-Miqdan bin Ma’dikarib Al-Zubaidi RA, daripada Rasulullah SAW berkata, “Tidaklah ada satu pekerjaan yang paling mulia yang dilakukan oleh seseorang daripada pekerjaan yang dilakukan daripada tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang menafkahkan hartanya terhadap diri, keluarga, anak dan pembantunya melainkan akan menjadi sedekah.” [Riwayat Ibnu Majah]
5. Membantu urusan orang lain
Daripada Abdillah bin Qais bin Salim Al-Madani, daripada Nabi Muhammad SAW bahawa baginda bersabda, “Setiap Muslim harus bersedekah.” Salah seorang sahabat bertanya, “Bagai mana pendapatmu, wahai Rasulullah, jika ia tidak mendapatkan (harta yang dapat disedekahkan)?” Rasulullah SAW bersabda, “Bekerja dengan tangannya sendiri kemudian ia memanfaatkannya untuk dirinya dan bersedekah.” Salah seorang sahabat bertanya, “Bagai mana jika ia tidak mampu, wahai Rasulullah SAW?” Baginda bersabda, “Menolong orang yang memerlukan lagi teraniaya.” Salah seorang sahabat bertanya, “Bagai mana jika ia tidak mampu, wahai Rasulullah SAW?” Baginda menjawab, “Mengajak pada yang ma’ruf atau kebaikan.” Salah seorang sahabat bertanya, “Bagai mana jika ia tidak mampu, wahai Rasulullah SAW?” Baginda menjawab, “Menahan diri daripada perbuatan buruk, itu merupakan sedekah.” [Riwayat Muslim]
6. Mendamaikan dua orang yang berselisih
Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Setiap ruas-ruas persendian setiap manusia adalah sedekah. Setiap hari di mana matahari terbit adalah sedekah, mendamaikan di antara manusia (yang berselisih adalah sedekah).” [Riwayat Bukhari]
7. Menziarahi orang sakit
Daripada Abu Ubaidah bin Jarrah RA berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang menginfaqkan lebihan hartanya di jalan Allah SWT, maka Allah akan melipatgandakannya dengan tujuh ratus (lipat ganda).
Dan barang siapa yang berinfaq untuk dirinya dan keluarganya, atau menziarahi orang sakit, atau membuang duri, maka mendapatkan kebaikan dan kebaikan dengan sepuluh lipat gandanya.
Puasa itu perisai selama ia tidak merosaknya. Dan barang siapa yang Allah uji dengan satu ujian pada fizikalnya, maka itu akan menjadi penggugur (dosa-dosanya).” [Riwayat Ahmad]
8. Berwajah manis atau memberikan senyuman
Daripada Abu Dzar RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu menganggap remeh satu kebaikan pun.
Jika ia tidak mendapatkannya, maka hendaklah ia ketika menemui saudaranya, ia menemuinya dengan wajah ramah, dan jika engkau membeli daging, atau memasak dengan periuk / kuali, maka perbanyaklah kuahnya dan berikanlah pada tetanggamu daripadanya.” [Riwayat Tarmidzi]
9. Berlumba-lumba dalam amalan sehari-hari ( yaumiyah)
Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Siapakah di antara kamu yang pagi ini berpuasa?”
Abu Bakar menjawab, “Aku, wahai Rasulullah.”
Rasulullah SAW bersabda, “Siapakah hari ini yang membawa jenazah orang yang meninggal?”
Abu Bakar menjawab, “Aku, wahai Rasulullah.”
Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah di antara kamu yang hari ini memberikan makan pada orang miskin?”
Abu Bakar menjawab, “Aku, wahai Rasulullah.”
Rasulullah SAW bertanya kembali, “Siapakah di antara kamu yang hari ini telah menziarahi orang sakit?”
Abu Bakar menjawab, “Aku, wahai Rasulullah.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah semua amal di atas terkumpul dalam diri seseorang melainkan ia akan masuk syurga.” [Riwayat Bukhari]
ihsan NOOR FADZILA HJ WAN TEH
sungguh benar
ReplyDelete