20 April 2012

MAHU BAKHIL ATAU PEMURAH

Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam al-Quran (surah al-Imran ayat 92). Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat, bukan untuk dunia) Amalan diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan). Menurut Nabi SAW, 9/10 (90 peratus) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 saja. Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan jujur, cekap dan amanah. Peniaga amanah akan dibangkitkan bersama nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan adalah amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan oleh orang Islam. Jika tidak aktiviti ini, seluruh umat Islam akan menanggung dosa. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam hadis, Nabi SAW menerangkan setiap awal pagi, ketika terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, “Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan harta kepada Allah.” Yang satu lagi menyeru, “Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek).” Orang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: “Takutilah api neraka walaupun dengan sebiji tamar.” Dan sabdanya lagi: “Sedekah itu penghapus dosa seperti air memadam api.” Jika dapat diamalkan, rezeki yang dikurniakan Allah akan kekal walaupun sudah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang sudah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi daripada sumber yang kita tidak ketahui. Bersedekah itu boleh dilakukan oleh semua orang sekalipun orang itu tidak berharta. Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana bersedekah adalah lambang kesyukuran kepada Allah, pelaksanaan perintah Allah dan mempererat hubungan persaudaraan serta silaturahim sesama Muslim. Sedekah juga adalah cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah dan di antara hamba sesama hamba. Firman Allah: “Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepadamu, sebelum datang hari yang tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab dan tiada lagi syafaat padanya. Dan orang yang kafir itu adalah golongan zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 254)

No comments:

Post a Comment