08 July 2012

MENANTI TETAMU ISTIMEWA DENGAN IBADAH SEDEKAH !

Antara amalan kebaikan yang sangat tinggi nilaiannya ialah bersedekah. Jika dilakukan sedekah maka duit atau wang sedekah atau derma itu insyallah kekal menjadi milik kita serta akan mengeluarkan dividen keuntungan saban masa walaupun jasad sudah tertanam di lubang kubur. Kita perlu sedar duit yang dalam poket atau dalam bank belum tentu milik kita kerana semuanya milik Allah. Ia boleh jadi milik sesiapa sahaja dengan kuasa Allah yang pemurah lagi penyanyang. Menyedari hakikat itu maka jangan kedekut untuk berderma, bersedekah dan infaq di jalan Allah. Sedekah dulu baru mohon pertolongan. Kenduri dulu baru minta hajat. Insyallah Masjid Assalam Bukit Sentosa, Rawang menjelang kehadiran tetamu Allah yang sangat istimewa 1433Hijriah ini iaitu bulan Ramadhan kareem atau Ramadhan al-mubarak maka mulakan dengan membuat ibadah sedekah samada dalam bentuk membiayai buka puasa, moreh, membantu sekolah pembangunan sekolah agama rendah dan menegah, membiayai imam al-hafiz dari sekolah tahfiz atau sumbangan untuk pembangunan masjid ataupun pembinaan masjid sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung seperti Pembinaan Masjid Bukit Sentosa 2 di tapak Surau Saidina Ali di Anggerik 5 dan pembinaan surau al-Faizien di Prima Beruntung. عن أبي ذر أن أناسا من أصحاب رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) قالوا للنبي ( صلى الله عليه وسلم ) ذهب أهل الدثور بالأجر يصلون كما نصلي ويصومون كما نصوم ويتصدقون بفضول اموالهم قال أوليس قد جعل لكم ما يتصدقون كل تسبيحة صدقة وكل تكبيرة صدقة وكل تحميدة صدقة وكل تهليلة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة زاد أحمد بن علي وفي بضع أحدكم صدقة قالوا يا رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) أيأتي أحدنا شهوته ويكون له فيها أجر قال ارأيتم لو وضعها في الحرام أكان عليه فيها وزر قالوا نعم قال فكذلك إذا وضعها في الحلال كان له فيها أجر. Maksudnya Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): "Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnya pun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala". (Hadis riwayat al-lmam Muslim). Pengajaran hadis: (1) Para sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu teladan yang baik di mana mereka sering berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan. (2) Setiap amalan soleh mempunyai nilaiannya yang tersendiri di sisi Allah SWT dan ia tidak akan dipersia-siakan sama sekali. (3) Banyak amalan soleh yang boleh dilakukan bagi menambahkan pahala kebajikan seperti bertasbih iaitu mengucap ( سبحان الله ), bertahmid iaitu mengucap (الحمد لله), bertahlil iaitu mengucap ( لا إله إلا الله) menyuruh orang berbuat ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Semuanya diberikan pahala sedekah sehinggakan melakukan hubungan sekspun dianggap sedekah! Kerana kalau dia berzina, dia dianggap berdosa dan akan menerima azab. Alangkah indahnya ajaran lslam. (4) Bagi orang-orang kaya yang mempunyai lebihan harta, mereka hendaklah selalu bersedekah, lebih-lebih lagi kalau mereka terlalu sibuk dengan urusan harta sehingga kurang masa untuk melakukan amal ibadat sunat yang lain. (5) Seorang kaya yang suka bersedekah dan rajin pula melakukan ibadat sunat seperti berzikir yang dianjurkan dalam hadis ini, dia sudah tentu akan mendapat ganjaran dan darjat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.
Dari Nazir , pegawai dan ajk Masjid AsSlam Bukit Sentosa mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Kareem semoga kita sama-sama melayani tetamu kita ini dengan syariat yang betul dan beristiqamah.Wallahualam.

1 comment:

  1. Bak kata Ust Wan masa kuliah subuh pagi tadi --> Tinggal 5 hari lagi...Bila lagi nak naik banner Selamat Datang RAMADAN ?? Agar menjana keterujaan dan tawadduk para jamaah dan umat Islam sekelian menerima kunjungan tetamu hebat ini.

    ReplyDelete