22 July 2012
RAMADAN UMPAMA FESTIVAL IBADAH : USTAZ HAZRI
Satu Ramadan (kredit pada Blog School Of Tots)
Malam tadi Alhamdulillah saya sekeluarga beribadah di Masjid as-Salam. Tika sampai muazzin sedang mengalunkan azan Isyak. Tu dia parking penuh sesak, melimpah hingga ke seberang jalan. Melangkah kaki ke dalam masjid, teruja sungguh melihat jamaah penuh umpama jamaah solat jumaat. Memang hebat penangan malam pertama. Semangatnya luar biasa.
Solat teraweh 4 rakaat kemudian diselangi dengan tazkirah pendek. Seterusnya sambung 4 rakaat lagi, diikuti solat witir 3 rakaat. Kemudian disusuli tahlil ringkas. Seterusnya bacaan surah al-Mulk sebagai kesenambungan aktiviti rutin selepas isyak yang bermula sebelum Ramadan lagi di masjid ini. Akhirnya ibadah tadarus Qur'an. Sebanyak empat kumpulan tadarus berjaya dibentuk dengan 8 org ahli setiap satu kumpulan. Juzuk pertama berjaya di habiskan menjelang pukul 11:30mlm.
Antara poin yang dapat saya petik daripada tazkirah yang disampaikan oleh Ust Hazri Hashim ialah betapa Ramadan ini umpama festival ibadah dengan pelbagai tawaran menarik, cabutan bertuah, dan bonus hebat. Manusia patuh dan taat kepada Allah. Semua makhluk bergembira menyambut ketibaan Ramadan. Nasi gembira kerana dimakan oleh orang yang beribadah. Bumi gembira melihat ketaatan manusia kepada Allah.
Kesan utama ibadah puasa di bulan Ramadan ini ialah melahirkan Taqwa. Kenapa? Kerana ia mencerminkan kehambaan kita kepada Allah. Hanya Allah yang mengetahui nilai ibadah puasa seseorang. Apakah mata sudah berpuasa? Apakah telinga berpuasa? Apakah hati ini berpuasa? Allah sahajalah yang bisa menilainya, dan sesungguhnya nilaian Allah itu Maha Adil. Tarbiyah Ramadan selama 30 hari ini jika dilalui dengan penuh sungguh2 maka insyaAllah di penghujungnya nanti harapannya maqam Taqwa itu tercapai.
Allah sentiasa memerhati segala prilaku kita. Pada Ramadan ini ibadah solat teraweh, tahajjud, dhuha, dan solat2 sunat yang lain dapat dilakukan dengan mudah. Kenapa? Kerana syaitan telah dibelenggu. Mudah untuk kita infaq harta benda insyaAllah. Mudah untuk zikrullah, mengaji al-Qur'an dan iktikaf di masjid. Musuh dalam diri ialah nafsu. Nafsu yang gagal dijinakkan dengan pelbagai azab dan siksaan namun nafsu berjaya diluntur dan dipatahkan dengan ibadah puasa, insyaAllah. Maka sebab itulah kita rasa hebat dengan suasana Ramadan yang penuh berokah ini.
Infaq ke jalan Allah walaupun sedikit sebenarnya sangat besar nilainya. Contohnya kita derma untuk pembinaan masjid, walaupun dengan sumbangan kita ini hanya mampu membeli beberapa ketul bata sahaja, tetapi dengannya kita telah menyumbang untuk terdirinya sebuah masjid yang dapat diguna pakai oleh ahli ibadat untuk berkurun lamanya. Nampak tak? Jangan diperlekeh ibadah amal jariah ini, yang pahalanya berterusan walaupun kita sudah berada di alam barzakh.
Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa maka dia akan mendapat pahala ibadah puasa orang berkenaan, tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu. Puasa yang baik ialah berpada-pada dengan yang halal. Jangan puasa seperti ular sawa yang tak perlu makan untuk berminggu-minggu tapi sekali makan tak dapat bergerak berminggu-minggu kerana terlalu pelahapnya. Jangan juga puasa unta yang tidak minum berbulan lamanya, tapi sekali dia minum habis satu kolam.
Ibadah puasa ini antara hikmahnya ialah untuk kita merasa jerih payah orang susah, kena rasa macam mana pedih perut sebab lapar, rasa lapar yang hilang tenaga. Maka faham kita begini rasanya penderitaan saudara kita di tempat susah. Begini rasanya jerih payah Rasulullah menahan lapar hingga terpaksa mengikat batu di perut. Begini penderitaanmu ya Rasulullah menyampaikan dakwah hingga kita di sini mendapat cahaya iman yang dibawa.
Madrasah Ramadan mestilah kita berjuang bersungguh-sungguh supaya hati terpaut dengan Allah. Untuk tidak lupa walau sedetik pada Allah. Ibadah yang penuh ikhlas bukan takut neraka atau nak syurga tetapi semata-mata kerana mengharap redha Allah. Maka buatlah ibadah yang berat2 di bulan Ramadan ini seperti iktikaf, tadarus, dan qiyamullail. Perjuangan baru bermula.
@@@
Posted by School Of Tots at 3:13 PM
No comments:
Post a Comment