26 August 2012

RAIKAN KEMENANGAN ?

Friday, August 24, 2012 Raikan Kemenangan? "Assalamualaikum Tuan Nazir. Agak janggal kunjungan ke Masjid as-Salam tidak terisi dengan majlis ilmu. Jika ramai Ustaz-ustaz yang masih bercuti maka ramai juga Ustaz-ustaz yang free dan sudah habis cuti. Jangan tangguh lagi kesenambungan majlis2 ilmu yang memang sinonim dengan Masjid ini. Para ahli jamaah amat rindu dan hauskan pengisian ilmu. Bukankah peringatan demi peringatan itu sesuatu yang berterusan kerana kita ini insan yang lemah. Apatah lagi para syaitan sudah terlepas daripada belenggu. Marilah kita sama-sama raikan kemenangan di Syawal ini bukan lesukannya setelah berjuang hebat di sepanjang 29 hari Ramadan yang berlalu." Pada pengamatan saya di hari-hari terakhir Ramadan yang lalu bilangan para jamaah masih bertahan kepada 10 saf (40 x 10 = 400) dan ada 8 saf di anjung (8 x 10 = 80) dan 5 saf wanita (5 x 40 = 200) iaitu berjumlah 680 ahli jamaah kurang lebih. Alhamdulillah. Kunjungan saya di 5 & 6 Syawal ini pada solat isyak menunjukkan penurunan iaitu tinggal 2 saf sahaja (2 x 40 = 80 orang). Kita raikan kemenangan atau kita raikan kekalahan sebenarnya? Sepanjang Ramadan yang lalu kita di hidangkan dengan tazkirah setiap malam oleh 29 orang Ustaz yang berbeza dengan ilmu dan gaya penyampaian yang pelbagai yang datang dari sedekat Sg Buloh hinggalah sejauh Sg Patani Kedah di utara sana atau Pulau Melaka Kelantan di timur sana. Itulah kelebihan Masjid ini yang sentiasa semarak dengan majlis2 ilmu. Sudah menjadi trademark, maka tidak hairanlah bila dinobatkan sebagai masjid kedua terbaik di Selangor selepas Masjid Negeri Shah Alam pada tahun lepas. Saya perhatikan para jamaah begitu teruja dan menaruh minat yang tinggi, terutamanya kepada para Ustaz tersohor yang pandai menyampaikan isinya dan bijak menghidupkan suasana. Tahniah para Dae'i dan Ustaz sekelian. Hanya Allah yang bisa memberi ganjaran pahala buat kalian. Tahniah juga kepada Tuan Nazir dan AJK Biro Dakwah yang pandai mengatur program dan memanfaatkan kehadiran ahli khariah yang ramai dengan slot2 ilmu begini. Objektifnya tercapai. Alhamdulillah. Iktikaf dan Qiam di masjid sepanjang 10 terakhir Ramadan mendapat sambutan hangat. Kekadang juadah sahur yang disediakan pihak masjid tidak mencukupi. Qiamullail dan solat tasbih berjamaah sentiasa disertai oleh tidak kurang daripada dua saf. Solat subuh berjamaah pula tidak kurang daripada 5 saf setiap hari. Semoga Lailatul Qadar diketemukan pada tahun ini buat saya dan insan2 terpilih. Alhamdulillah. Masjid ini hidup di sepanjang Ramadan. Bacaan surah al-Waqiah secara beramai-ramai selepas subuh dan surah al-Mulk selepas solat witir menjadi rutin harian. Selepas asar pula di adakan halaqah Qur'an. Tadarus al-Qur'an juga berterusan walaupun sambutannya agak menurun berbanding di awal Ramadan. Apapun agenda pengajian al-Qur'an terus hidup mekar di masjid ini. Alhamdulillah. Setelah tarbiyah Ramadan yang intensif ini dilalui, maka saya sekelaurga pun balik kampung pada 29 Ramadan. Perjalanan pemandu professional selalunya mengambil masa 8 jam untuk jarak 600km (KL-KB). Namun saya macam biasalah, kalau mengantuk berhenti, tidur sat. Kali ni rasanya tidak kurang dari tiga kali berhenti tidur yang agak panjang dan banyak kali berhenti tak tidur (isi minyak, ke tandas, dsb). Hasilnya bertolak dari rumah sekitar 5:00 ptg dan sampai di kampung pada pukul 7:00 pagi. Berapa lama tu? 14 jam...he he. Takpe biar lambat asal selamat. Jalan clear sebenarnya sebab ramai orang sudah balik kampung awal lagi. Saya je yang agak last minute. Maka lambat saya tadi bukanlah disebabkan masalah trafik. Setelah beraya di kampung sepanjang 4 hari dan berjaya menziarah sanak saudara sekadar termampu, maka kami pun bertolak pulang ke KL. Sekali lagi tiada masalah besar soal trafik kerana pulang ke KL agak awal. Cumanya macam biasalah, kalau saya ngantuk maka saya pun berhenti tidur sat. Saya sebanarnya cuba lari daripada trafik jem di laluan KB-Macang-K.Krai yang selalunya merugikan masa 2-3 jam. Maka kami memilih laluan KB-Rantau Panjang-Jeli-KL. Bukan apa anakanda sekelian nak pi shopping kat Rantau Panjang. Maklumlah masing2 kaya dengan duit raya. Bertolak dari Rantau Panjang sekitar 4:00 ptg dan sampai di KL sekitar 5:00 pagi. Hmmm...13 jam perjalanan. Takpe...biar lambat asalkan selamat walaupun biar cepat asalkan selamat pun boleh diamalkan. Alhamdulillah. Allah selamatkan kami di perjalanan yang jauh ini. Beberapa kenangan manis saya lalui pada keraian hari raya ini. Pertamanya saya dapat berbual mesra dengan anak sepupu saya yang punyai sindrom 'OKU mental' yang suka menyendiri dan tidak mahu berjumpa orang dan hanya keluar rumahnya pada waktu orang tiada atau selepas tengah malam. Saya punyai banyak kenangan bersamanya semasa dia remaja dan saya kanak2 dulu, mentelaah buku di bawah asap pelita pada tahun2 1970an. Kini saya berpeluang bertanya khabar dan berbual mesra dengannya. Dia pula walau pun OKU tetapi seorang pekebun salak yang berjaya. Dia memiliki ratusan pokok salak yang ditanam di sekitar rumahnya dan tanah2 terbiar yang lain. Sekali tok peraih datang ambik buah salaknya, jumlahnya bukan ber kg tetapi ber tan. Tahun ini sahaja sudah RM6,000 hasil jualan buah salaknya yg memang gred A. Bila saya tanya macamana dia mula penanaman pokok salak ini? Katanya asal benihnya diberikan oleh bapa saudaranya iaitu salak Sabah. Dia menyemai benih dan terus membiak subur dan berkembang hingga kini. Di akhir pertemuan kami, dia mengambil sadatnya untuk menuai beberapa tandan salak untuk dihadiahkan kepada saya. Saya agak tidak kurang daripada 5 kg buah salak fresh yang diberikan kepada saya tidak sepadan dengan sedikit duit raya yang saya hulurkan buatnya. Kenangan kedua ialah teruja bila diraikan oleh sepupu saya yang sudah beberapa tahun tidak saya kunjungi. Dia yang kematian suami pada awal tahun ini, di temani oleh anak2 dan cucu2nya. Semasa kami mahu pulang, anak sepupu saya memberikan duit raya RM50 seorang kepada tiga anak saya. Terharu saya mengenangkannya. Alangkan tinggi keraian beliau kepada saya. Sedangkan saya hanya menyumbang duit raya yang seciput cuma buat anak2nya. Semoga Allah murahkan rezkinya. Amiin. Marilah kita raikan kemenangan di bulan Syawal yang mulia ini dengan meneruskan ketaatan kita kepada Allah SWT. Teruskan ibadah dan amal soleh. Teruskan solat fardu berjamaah, solat2 sunat dhuha, tahajjud, rawatib, dan witir. Membaca al-Qur'an dan terjemahannya. Menghadiri majlis2 ilmu, memahaminya dan menyebarkannya, insyaAllah. Bersedekah dan berbuat baik. Dan jangan lupa ibadah khusus kita di bulan Syawal ini iaitu puasa enam. Semoga kita tergolong dalam kelompok manusia yang bertakwa yang mendapat redha Allah dan layak meraikan kemenangan setelah berjaya beramal soleh di sepanjang Ramadan yang baru enam hari berlalu itu. Harapnya ini bukan Ramadan Terakhir. Semoga Allah masih memberi nyawa kepada saya dan anda untuk bertemu Ramadan tahun hadapan. @@@ Posted by School Of Tots at 10:24 PM No comments:

No comments:

Post a Comment