22 November 2012

CUTI SEKOLAH INGATLAH ANAK !

Muslimin/Muslimat Yang di Rahmati Allah,

Anak merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu-bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka dididik dan di bentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika mereka di abaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibu-bapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang telah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria AS memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38:

Bermaksud; “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

Anak-anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “ Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan” .(Riwayat iman Muslim)

Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak-anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk”. Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:

Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.

Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada anak-anak dalam tiga bentuk: Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk keperibadian keimanannya. Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, kehidupan agar mereka mengenal erti yang sebenarnya. Berilah pesanan, nasihat, tegurun setiap masa walaupun kadang kala anak-anak kita akan merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13:

Bermaksud: “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang akan tetapi tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting bagi kita memberi pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kepada mereka kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh, jati diri mereka akan kuat, dengan ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.

Perlu diingat memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif iaitu dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini menjadi peranan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.

Sebagaimana yang kita maklum, musim cuti sekolah sudah bermula, yang paling seronok ialah anak-anak kita. Inilah masa untuk mereka melarikan diri buat sementara dari alam persekolahan. Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku-buku sekolah.Mereka mahu berseronok setelah penat mentelaah pelajaran sepanjang tahun. Namun, ada juga dalam kalangan anak-anak kita yang tidak tahu apa aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan pada waktu cuti ini. Dalam fikiran mereka hanya hiburan dan keseronokan yang dicari.Tidak hairanlah sekiranya cuti sekolah yang panjang dihabiskan dengan membuang masa dengan melepak, melayari internet atau melakukan perkara yang tidak mendatangkan feadah. Berdasarkan laporan terdapat puluhan jenis gejala sosial yang mencetuskan kebimbangan dalam kesejahteraan hidup anak-anak kita antaranya merokok, merempit, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, menagih dadah, rogol, samun, jenayah bunuh dan lain-lain lagi.Terkini ada dari kalangan anak-anak kita yang di ambil kesempatan oleh pihak penjenayah untuk dijadikan kaldai dadah dan terlibat dalam sendikit pelacuran.

Pesanan untuk ibu- bapa, kita seharusnya mengajar anak-anak supaya menggunakan masa dengan bijak. Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakankan terus pelajaran. Ibu- bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang bermanfaat buat anak-anak seperti menghadiri kem ibadah dan motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Jadilah ibu- bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu- bapa .

Sedemikian, marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa mutiara hati ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan di persoalkan di akhirat nanti. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

No comments:

Post a Comment