18 May 2013

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 44 bermaksud:

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?


Allah SWT amat membenci orang yang hanya menyuruh orang lain melakukan kebaikan, tetapi dirinya sendiri tidak melakukannya. Sifat seperti ini adalah sifat golongan ahli kitab. Mereka mengetahui kebaikan dan kebenaran Islam, tetapi mereka tidak mahu menerima Islam. Mereka hanya menyuruh orang lain beriman.

Justeru, mana-mana pemimpin yang memegang kepimpinan mestilah terlebih dahulu melakukan kebaikan dan kebajikan kerana mereka juga bertanggung jawab untuk memastikan orang lain atau mereka yang berada di bawah pimpinannya melakukan sesuatu kebaikan.

Orang yang bergelar ‘ketua’ adalah orang yang paling berpengaruh dalam masyarakat. Semakin tinggi jawatan atau kedudukan di dalam masyarakat semakin besarlah pengaruhnya. Di tangannya acuan yang membentuk dan membina keperibadian sesuatu kelompok masyarakat. Sekiranya dia seorang pengerusi persatuan, atau Yang Dipertua pertubuhan, masa depan persatuan atau pertubuhan tersebut banyak bergantung kepada corak kepimpinannya. Aspek yang paling penting disamping ilmu dan pengalaman ialah akhlak. Al-Quran meletakkan garis panduan yang amat unik perihal akhlak kepimpinan ini.


Kepimpinan Melaui Tauladan

Teladan yang baik menjadi sifat utama seorang pemimpin di semua peringkat kepimpinannya dari peringkat yang paling rendah hingga peringkat tertinggi. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 74 bermaksud: “Dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa.”

Ayat ini adalah di antara ayat yang menjadi asas perbahasan akhlak kepimpinan Islam. Pemimpin atau imam yang bertaqwa sahaja yang layak memimpin orang bertaqwa. Ketika mentafsirkan ayat ini Mujahid menjelaskan bahawa maksud kepimpinan bertaqwa ialah pemimpin yang membimbing kepada ketaqwaan, yang dapat mencontohi kepimpinan sebelumnya dan umat selepasnya pula dapat mencontohi kepimpinannya”. Berdasarkan pandangan Mujahid ini kita dapat melihat kepentingan seorang pemimpin mengikut jejak langkah pemimpin-pemimpin sebelumnya dengan memimpin umat ember kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dalam ayat lain iaitu surah al-An’am ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud: “ Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, Maka ikutilah petunjuk mereka.”

Ciri kepimpinan seperti inilah yang perlu ditonjolkan sepanjang zaman untuk memimpin sesebuah organisasi kecil atau besar lebih-lebih lagi sebuah kerajaan. Ketika Nabi Ibrahim a.s. dilantik menjadi rasul dan baginda diisytiharkan sebagai pemimpin besar umat manusia oleh Allah S.W.T, baginda berdoa memohon kepada Allah SWT agar memberikan juga kepimpinan tersebut kepada zuriat baginda a.s seperti yang dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud: “Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku.

Allah menjawab permohonan Nabi Ibrahim a.s. dengan menyatakan bahawa urusan kepimpinan tidak akan diserahkan kepada orang-orang yang zalim sekalipun mereka dari zuriat Nabi Ibrahim a.s. dengan firmanNya: “Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim”.

Perkara yang paling penting dalam kepimpinan ialah mengajak orang lain melalui tindakan sebelum mengajak orang lain melalui arahan. Seorang ketua yang beramal dengan berjimat cermat menggunakan harta majikan, lebih senang diterima arahannya untuk berjimat cermat dari seorang yang boros dan menggunakan harta majikan sewenang-wenang. Begitu juga seorang pemimpin yang bersih dari rasuah akan dapat membanteras rasuah sekiranya dia sendiri bersih dari rasuah. Sebaliknya rasuah akan terus menjadi budaya dan tabiat umat sekiranya ia menjadi tabiat dan budaya pemimpin.

Seorang ulama yang bernama Abdul Wahid Bin Ziyad memuji Hasan al-Basri dengan berkata:

“ Hasan al-Basri tidak mencapai darjat ketinggian sepertimana yang dicapainya melainkan melalui amalan mendahului orang lain melakukan sesuatu kebaikan apabila menyuruh mereka beramal dengannya, dan mendahului orang lain menjauhi kejahatan apabila melarang mereka melakukannya”

Imam Nawawi pernah ember teguran kepada pemerintah pada zamannya supaya meninggalkan kemewahan dan menggunakan harta istana terlebih dahulu bagi menyelesaikan kemelesetan ekonomi ember serta bagi menghadapi serangan daripada tentera musuh sebelum meminta rakyat menyerahkan harta benda mereka kepada Negara. Akhirnya beliau dihalau dari Damsyik dan beliau pulang ke Nawa tempat tumpah darahnya sendiri hanya kerana teguran tersebut. Ketegasan Imam Nawawi dalam perkara ini menunjukkan bahawa uswah yang baik bagi pemimpin Negara amat penting supaya tidak menimbulkan masalah di kalangan rakyat.


Uswah Hasanah

Pemimpin yang bersifat uswah hasanah berusaha meninggalkan banyak perkara yang ‘harus’, kerana menjaga diri dari terjebak kepada perkara shubhah dan menjauhi punca-punca prasangka buruk orang ramai. Sekiranya sifat zuhud seperti ini menjadi amalan pemimpin sesuatu umat, berbahagialah umat tersebut. Mereka tidak menaruh prasangka buruk, malah ember kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin seperti ini. Dia makan apa yang orang lain makan. Dia pakai apa yang orang lain pakai. Dia berkenderaan apa yang orang lain berkenderaan. Sebaliknya sekiranya pemimpin mengamalkan gaya hidup ranggi, orang ramai tidak akan percaya kepada mereka, dan tidak lagi menghiraukan cakap mereka.

Saidina Ali r.a amat prihatin dengan perkara ini, baginda memakai pakaian yang biasa dan sederhana, tidak seperti pemimpin Rom dan Parsi yang memakai pakaian serba mewah dan ranggi. Ketika Saidina Ali r.a. dikritik kerana berpakaian demikian, baginda menjawab:

“Kenapa tuan-tuan terlalu bimbang dengan pakaian ini. Ia adalah pakaian yang jauh daripada kesombongan, dan lebih mudah dicontohi oleh seorang muslim”.

Banyak lagi sifat-sifat terpuji yang perlu diamalkan oleh seorang pemimpin umat Islam untuk melayakkan diri menjadi pemimpin yang dipatuhi dan disegani.

Umat Islam memerlukan kepada contoh atau model yang boleh dicontohi. Seorang pemimpin yang dapat menunjukkan contoh melalui amalannya lebih mempunyai aura yang dapat menarik perhatian dan mencetuskan rasa ember di hati orang bawahan. Keyakinan diri yang ditunjukkan melalui teori dan amali ini dapat menarik hati-hati orang ramai mencontohi dengan penuh kerelaan dan harmoni.

Ringkasnya, kesan dan faedah kepimpinan melalui tauladan akan dapat menghasilkan perkara-perkara berikut:

1. Menjadi contoh yang boleh diteladani kepada orang lain.
2. Mendapat kasih ember orang ramai dan rakyat atau orang bawahan.
3. Memimpin umat dengan penuh keyakinan dan mempunyai wawasan yang jelas dan berkesan.
4. Menjadi wasilah tarbiyah yang berkesan.
5. Pengurusan dan pentadbiran menjadi lebih efisyen.
6. Mendapat ganjaran pahala berterusan selagi amalannya dicontohi dan diikuti sepanjang zaman.


Memberi keadilan

Menjadi suatu kewajipan kepada setiap pemimpin untuk melakukan keadilan serta menjauhi sebarang bentuk kezaliman. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 8, bermaksud:

Hai orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Imam al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud : berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, telah berkata: hendaklah kamu berlaku adil terhadap kawan dan lawan kamu, kerana yang demikian itu lebih dekat kepada ketaqwaan. Keadilan Islam tidak mengenal keturunan,warna kulit, dan agama. Di dalam ayat di atas diperintah supaya berlaku adil walaupun terhadap musuh yang dibenci. Sekiranya keadilan wajib diberikan walaupun terhadap musuh, maka apatah lagi terhadap orang yang beriman. Keadilan yang ditegakkan adalah suatu ketaatan kepada Allah SWT, bermakna pemimpin yang adil adalah pemimpin yang taat kepada Allah, dan itulah yang dimaksudkan dekat kepada ketaqwaan. Sebaliknya menurut al-Tabariy, kezaliman yang dilakukan adalah suatu kederhakaan kepada Allah, bermakna pemimpin yang zalim adalah pemimpin yang jauh daripada ketaqwaan.

Apabila meneliti ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kezaliman dan penzalim kita akan dapati bahawa penghujungnya adalah kegagalan dan kerugian. Orang yang zalim akan jauh dari janji kebahagian dan kesejahteraan . Mereka tidak mendapat kasih ember Allah SWT. Antara ayat-ayat tersebut ialah firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak mendapat keberuntungan.”. Dalam surah Ali ‘Imran ayat 57, Allah menyatakan, maksudnya: “Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”.

Ringkasnya, kesan dan faedah melakukan keadilan akan dapat menghasilkan perkara-perkara berikut:

1. Orang yang berlaku adil akan selamat di Dunia dan Akhirat.
2. Kepimpinan akan berterusan.
3. Mendapat keredhaan Allah sebelum mendapat keredhaan rakyat.
4. Orang lain selamat dari kejahatan dan kezaliman.
5. Pemimpin yang adil berkelayakan memimpin, ember hukuman, membawa kemajuan dan kecemerlangan.
6. Menegakkan kebenaran dan tidak takut menghapuskan kebatilan.
7. Membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan.
8. Meratakan keadilan Islam kepada semua lapisan masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, kaum kerabat atau bukan kerabat, malah memelihara hak-hak kemanusiaan sejagat.
9. Menjalani jalan ke syurga.


Memilih Pemimpin

Kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dipandang sepi. Ini kerana kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”. Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya...”.

Sekiranya kepimpinan itu merupakan suatu amanah, maka begitu juga soal melantik pemimpin juga merupakan suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan menurut landasan syarak. Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam melantik pemimpin, maka bermakna kita telah menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis nabi saw sebelum ini. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melantik ’wakil’ di kawasan kita hanyalah berasaskan sentimen, hubungan kerabat, kepentingan diri dan sebagainya, akan tetapi perlantikan pemimpin hendaklah berdasarkan kelayakan seseorang itu untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan di dalam ajaran Islam. Sekiranya kita memilih serta melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak layak untuk memegang amanah tersebut, maka kita turut sama terlibat dalam mensia-siakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kesalahan tersebut di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menilai sama ada seseorang itu memang layak atau sebaliknya? Sesuatu yang lumrah, bahawa kita menilai seseorang dari sudut zahirnya sahaja bukan batinnya kerana kita tidak mempunyai kemampuan untuk menilai seseorang mengenai batinnya atau apa yang terbuku di hatinya. Akan tetapi apa yang kita mampu membuat penilaian hanyalah melihat kepada zahirnya sahaja, kerana kebiasaannya, hati yang baik akan melahirkan sifat dan kelakuan yang baik juga. Apatah lagi, kaedah dalam hukum syara’ menyatakan bahawa ’kita hanya berhukum secara zahir, tetapi Allah lah yang mengetahui apa yang ada pada batin seseorang’.

Antara ciri yang penting dalam pemilihan ialah berdasarkan keperibadian dan syakhsiah iaitu orang yang benar-benar layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Ini kerana sekiranya diberikan urusan kepimpinan kepada mereka yang rosak akhlaknya, maka amanah yang diberikan itu akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan yang haram seperti rasuah, penipuan, penyelewengan harta awam dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: ”Mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi, nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang munkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada pengundi untuk melantik mereka yang menepati kriteria sebagai pemimpin yang boleh memikul amanah kepimpinan dengan baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Janganlah memperjudikan masa depan umat Islam dengan memilih mereka yang mempunyai keperibadian yang songsang serta yang mempunyai akhlak yang buruk. Justeru, pemimpin yang wajar diberikan amanah dan tanggungjawab ialah mereka yang menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi munkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Justeru, kriteria penting dalam memilih pemimpin adalah melantik pemimpin yang bijak dalam melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan ialah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

Kesimpulannya ialah kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak. Oleh yang demikian, pengundi yang bijak serta cerdik sudah tentu akan memilih pemimpin yang berkelayakan memikul amanah dan tanggungjawab demi mencapai keredhaan Allah. Janganlah membiarkan diri dibelenggu dengan dosa dan kemurkaan Allah dengan sengaja memilih pemimpin yang tidak layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini.

No comments:

Post a Comment