13 June 2013

ISRA' MIKRAJ DIHAYATI, SOLAT DIHARGAI, KEMENANGAN DIRAI ,SEMOGA DIRESTUI ILLAHI

Isra' Mikraj DiHayati, Solat DiHargai, Kemenangan DiRai
السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Peristiwa yang hebat ini berlaku setelah tentangan terhadap dakwah Islam semakin memuncak terutama dengan kematian isteri tercinta Siti Khadijah yang selama ini banyak membantu nabi disamping kehilangan bapa saudaranya Abu Tolib yang banyak memberi sokongan. Dakwah nabi mendapat tentangan yang hebat dari permulaan daripada masyarakat Mekah yang keras ditambah dengan penolakan oleh masyarakat Taif. Itu belum lagi berdepan dengan kuasa besar Rom dan Parsi yang merupakan empayar terbesar pada masa itu. Namun kesungguhan nabi Muhammad s.a.w dalam menyebarkan dakwa Islam tidak terhenti malah pergantungan diri dengan Allah semakin kuat sehingga berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit yang membuktikan Kekuasaan Allah. Peristiwa ini mengajar bahawa tiada kerajaan yang lebih kuat dan hebat mengatasi Kerajaan Allah. Tidak ada kerajaan yang kekal memerintah kecuali Kerajaan Allah. Oleh itu setiap kerajaan yang ada mesti tunduk patuh kepada Kerajaan Allah jika mahu selamat dan berjaya dunia dan akhirat. Usah sombong takabbur bila diberi amanah untuk memegang kuasa kerana ia boleh ditarik bila-bila masa oleh Allah. Jangan hilang rasa pergantungan diri kepada Allah setiap masa dan tempat supaya bantuan dan pertolongan daripada Allah sentiasa bersama kita Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Hajj: أَفَلَمْ يَسِيرُ‌وا فِي الْأَرْ‌ضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ‌ وَلَـٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ‌ Maksudnya : Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. Sebelum dibawa dengan suatu perjalanan yang hebat maka dada nabi Muhammad s.a.w telah dibelah untuk dibersihkan hati baginda yang mulia. Ia mengajar kita bagaimana pentingnya pembersihan hati daripada sebarang unsur syirik dan sifat mazmumah atau tercela daripada hati kita. Hati yang mati punca utama kepada kerosakan akhlak di mana ia hanya mendengar tentang peristiwa Isra’ Mikraj tetapi tidak mampu untuk dijadikan pengajaran. Begitu juga dengan begitu banyak bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, ribut taufan, angin puting beliung yang banyak mengorbankan harta dan nyawa hanya dilihat biasa saja tanpa diambil pengajaran berharga dalam memperbanyakkan lagi amalan soleh disamping segera bertaubat atas dosa yang dilakukan. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama bermusabah menghitung diri kita terutama tahap kesihatan hati kita samada sihat atau sakit. Imam Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik bagi menyemak kesihatan hati dengan katanya: “Rasakanlah kemanisan dalam 3 perkara: [1] ketika melakukan solat, [2] ketika membaca al-Quran dan [3] ketika berzikir. Jika engkau merasakan kemanisan dalam ibadat itu maka bergembiralah kerana hatimu masih hidup dan sihat. Namun jika engkau tidak merasakan kemanisan dalam ibadat maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup”. Ibrahim Al-Khawas pula mengajar kita tentang 5 cara untuk mengubat hati iaitu : [1] Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, [2] mengosongkan perut, [3] solat malam, [4] berdoa pada waktu fajar dan [5] bergaul dengan orang-orang soleh. Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, iaboleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan. Sedangkan orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut: اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Hadiah yang paling berharga yang dibawa pulang oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah solat 5 waktu sehari semalam. Ia sebagai bukti bahawa betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita kerana solat banyak memberi manfaat untuk dunia seperti adanya kajian sains yang menunjukkan bagaimana solat yang sempurna mampu menajamkan otak, memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, gerakan jantung lebih teratur, orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang, ubat mati pucuk kalangan lelaki dan masalah kelamin kaum wanita serta seribu macam lagi kebaikan. Apatah lagi kebaikan solat untuk agama dan akhirat kita. Solat 5 waktu merupakan ruang dalam kita berhubung dengan Allah ke arah mendekatkan diri kepadaNya disamping menanam rasa taqwa di mana semuanya ini boleh menghilangkan rasa takut dan begitu bergantung kepada makhluk yang lain sehingga mengenepikan arahan dan larangan Allah, meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar sedangkan makhluk yang lain kerdil dan hina. Bila perasaan ini berjaya dihasilkan daripada solat kita maka masalah kerosakan akhlak dan jenayah dapat ditangani. Banyak berlakunya masalah sosial dikeliling kita akibat daripada pengabaian solat walau pun ada juga yang mempersoalkan bagaimana ramai juga yang sembahyang tapi turut terlibat dengan masalah keruntuhan akhlak. Maka jawapan mudah ialah kualiti solat yang tidak dijaga sehingga dirosakkan oleh hilangnya khusyu’, riya’ dan perkara yang menghilangkan ruh solat itu sendiri menyebabkan solat seseorang tidak mampu menghalangnya daripada perkara mungkar. Ia ibarat manusia yang bertubuh sasa tetapi tidak bernyawa sehingga dia tidak mampu menahan serangan orang lain walau pun kanak-kanak kecil. Oleh itu bersungguhlah kita dalam memastikan kualiti solat kita sentiasa ditingkatkan dari masa ke semasa agar ia bukan sahaja diterima oleh Allah malah mampu menjadi perisai daripada terlibat dengan perkara mungkar. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 59 surah Maryam: فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا Maksudnya : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bagaimana akibat meninggalkan solat membawa manusia kepada kerosakan akibat hawa nafsu menjadi ikutan sehingga agama diketepikan. Nabi Muhammad s.a.w ketika saat hampir wafat turut memberi wasiat penting agar menjaga solat. Oleh itu kita menyokong penuh usaha dalam memastikan sebarang pengambilan pegawai baru kerajaan serta kenaikan pangkat mesti daripada kalangan orang yang menjaga solat kerana manusia yang takut kepada Allah pasti menjauhi amalan buruk seperti pecah amanah dan rasuah. Ibubapa sendiri mesti memastikan diri sendiri dan anak-anak menjaga solat. Begitu juga apabila memilih menantu mesti dipastikan dahulu dari segi sembahyang bukan setakat tanya tentang pekerjaan dan gaji bulanan Kita juga mendesak agar suatu program khusus diatur bagi memberi kesedaran dan keinsafan kepada rakyat yang meninggalkan solat seperti Kursus Bina Tatanegara digunakan untuk melahirkan pegawai yang jaga solat bukan mengapi-apikan sikap rasis perkauman sempit. Begitu juga Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) misalnya digunakan sebaik mungkin dalam melahirkan generasi muda yang menjaga solat dan menutup aurat dengan sempurna bukannya dijadikan pusat mengajar pergaulan bebas yang menambah masalah akhlak yang sedia ada Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Kita pernah menyaksikan bagaimana kejayaan Salehuddin al-Ayyubi dalam memerdekakan Masjid Aqsa daripada tentera Salib dengan memastikan angkatan tenteranya daripada kalangan mereka yang menjaga solat malam. Maka kita pada hari ini wajib memastikan Negara kita merdeka daripada system yang bercanggah daripada Islam dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dengan melahirkan generasi yang sentiasa menjaga solat. Mari kita berusaha dalam memenuhkan ruang masjid dan surau dengan solat berjemaah dan majlis ilmu terutama dari kalangan anak-anak muda bagi memastikan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat dan hampir. Inilah sumber kekuatan kita di mana jika mencari dengan cara lain yang bercanggah dengan Islam maka selagi itulah kita dihinakan dengan kekalahan dan kehinaan di dunia akhirat. Jagalah solat dalam menjana kemenangan. Jagalah solat dalam meraih kejayaan بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Disunting oleh Ibnu Atiq

No comments:

Post a Comment