26 June 2013

PERANAN IMAM DALAM MASYARAKAT







Peranan Imam bukan dalam lingkungan masjid tetapi suatu tugas agama dan sosial yang dapat meninggikan taraf masyarakat dari segi pengetahuan , kesihatan dan sebagainya.

Imam dalam istilah sekarang mrujuk kepada mereka yang dilantik oleh pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama atau Majlis Agama Islam untuk melaksanakan tugas sebagai mengimami atau mengetuai sembahyang lima waktu, sembahyang dan khutbah jumaat, sembahyang hari raya dan hari-hari tertentu keagamaan. Begitu juga pusingan mengajar ilmu-ilmu agama di masjid.

Mungkin lebih luas lagi fungsinya ialah menjadi penanggungjawab agama dan sosial setempat yang mesti manjalankan tugas menyebar luaskan semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusian kepada sesiapa yang memerlukan setakat yang termampu.

Oleh sebab itu seorang imam biasanya, dikehendaki memenuhi syarat-syarat seperti mempunya akhlak yang baik dan boleh dijadikan contoh oleh penduduk setempat. Pakaian mencerminkan seorang yang berpegang kuat pada agama dan syarat asas ialah lulus atau terjadi dalam ujian lisan atau tulisan yang diadakan oleh pihak majlis atau jabatan agama negeri.

Disetengah-setengah negeri arab jawatan Imam disyaratkan hendaklah berkelulusan sarjana muda (B.A) dari mana-mana fakulti Islam seperti kelulusan dari Al-Azhar (ini disyarat di Mesir dan Lubnan). Hal ini kalau dikaji ada hubungan dengan taraf anak mukim yang terdiri dari mereka yang berpendidikan tinggi terdiri dari doktor, peguam, jurutera dan para profesional lainnya, yang memerlukan Imam masjid juga mempunyai kelulusan yang memboleh dia menyelesaikan masalah semasa yang dikemukakan.

Tetapi di Malaysia mungkin keadaan tidak memerlukan syarat sedemikian. Walau bagaimanapun fungsi Imam di negara juga mestilah mampu mentadbirkan masjid dan menjadi orang yang berwibawa dalam jawatankuasa masjid. Masjid dalam Islam bukanlah sekadar tempat ibadah tetapi sekaligus adalah sekolah dan pusat kegiatan kemasyarakatan.

Oleh itu Imam mestilah mempunyai senarai keluarga yang didaftarkan di mukim tersebut dengan dengan mengumpul maklumat-maklumat nama, umur, pekerjaan, tanggungan dan keadaan sosial mereka supaya senang bertindak apabila keadaan memerlukan.

Maka dengan itu peranan Imam menjadi penting :

1. Imam bertanggungjawab memberi fatwa dalam mukimnya.
2. Memutuskan hukum , menyelesaikan masalah berbangkit didalam mukimnya.
3. Mengeratkan kerjasama anak mukim dengan berbagai program seperti ziarah, ceramah, sebaran dan pertemuan-pertemuan.
4. Melawat orang sakit dan menolong mereka yang berhajat.
5. Mendekatkan pandangan-pandangan yang berbeza antara satu sama lain.
6. Bekerjasama dengan pihak-pihak sekolah dan lain seperti polis di mukim itu.
7. Menggalakkan kerja amal dan kebajikan.
8. Menyusunkan latihan pertolongan cemas/ pertahanan awam.
9. Kelas malam buta huruf bahasa arab.


Walaupun sekali pandang perkara-perkara tersebut di anggap diluar dari kegiatan Imam, tetapi ia akan berkesan jika dijalankan dengan kerjasama jawatankuasa masjid dan jawatankuasa kemajuan kampung.

Namun demikian harus pula diingat, peranan yang besar mestilah sesuai dengan pendapatan yang patut diterima. Pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa agama mestilah memberikan pendapatan para Imam ini yang sesuai, sekurang-kurangnya sama dengan pendapatan Guru Besar, Ketua Polis Daerah, Penghulu atau lebih dari itu.

Imam pula mestilah diberi pembantu-pembantu terutama kerani, hal ehwal wanita dan seumpamanya. Kalau ini berlaku barulah Imam dapat berperanan dan berfungsi. Masjid pula dilengkap dengan perpustakaan dan buku-buku rujukan. Ada pula kawasan permainan yang sesuai, padang letak kereta, barulah masjid akan berfungsi sebagai hati kepada masyarakat. Kalau hati itu lemah atau jantung itu tidak cukup kuat, bagaimanakah diharap dapat melahirkan tubuh badan yang kuat dan cergas.

Persoalan masjid masjid dan Imam tidaklah harus menjadi bahan menungan sampingan kalau kita benar-benar serius. Ia mesti turut dilibatkan para pemikir, ulamak, perancang. para guru dan mereka yang berada, juga media. Masjid mesti diberi keutamaan jauh lebih besar dari projek kebudayaan, sukan atau lainnya. Ia bukan sekadar tempat sembahyang, tetapi pusat segala kegiatan.

Jadi, apa yang penting dalam program pengimarahan masjid atau dikatakan dhomiirul masjid sekarang ini beberapa langkah perlu diambil :

1. Meningkatkan tingkat ilmiah dan gaji para Imam kita benar-benar mampu menjadi pemimmpin dan memberi arahan. Khutbah-khutbah mereka bertenaga dan bukan menjadi tukang baca sahaja. Mereka mestilah dihormati dan terlibat sepenuh masa didalam kegiatan Imam, khutbah, mengajar, nasihat malah dapat menjadi orang tengah ketika ada perselisihan.
2. Suasana masjid sesuai untuk menjadi tempat perbincangan hal-hal keagamaan. Maka binaan dan kelengkapan mestilah sesuai dan dirancang secara betul.
3. Kegiatan masjid diperbanyakan dengan menjemput tokoh-tokoh pemikir dan ulamak membincangkan persoalan-persoalan agama dan ada kaitan dengan soal semasa.
4. Kebersihan masjid diutamakan serta dilengkapkan dengan termasuk buku-buku feqah, tauhid, tafsir dan hadith juga buku-buku ilmiah lainnya.
5. Para Imam dijamin untuk mendapat pendapatan yang cukup supaya mereka dapat menumpu sepenuh masa dengan masjid.

Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Al-Azhar mestilah menjadi contoh yang masih memancarkan cahaya ilmu dan pusat dakwah. Di sana masih terdapat siri pengajian agama, kelas hafal Al-Quran, dan di Malaysia bahasa Arab mestilah dijadikan program yang bersungguh-sungguh. Kalau masyarakat begitu ghairah untuk belajar atau memberikan anak mereka bahasa Inggeris, tetapi kenapa tidak dengan bahasa Arab. Apa mereka mahu sepanjang hidup mereka berdoa tanpa tahu apa yang didoakan?.

Imam dalam memberi khutbah hendaklah menyusuntajuk itu supaya ada urutan dan kaitan, banyak yang menjadi sungutan kepada Imam kerana tidak berupaya menjadikan khutbah itu satu media penting. Akhirnya ia menjadi satu rutin yang terpaksa didengar, sebagaimana mereka juga merasa rutin mengaminkan doa Imam dalam khutbah itu selepas sembahyang.

Secara jelas, masjid mestilah kembali menunaikan tanggungjawab :
1. Menyiapkan Imam yang baik dalam ertikata seorang yang mampu berdakwah ke jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, kerana tugas Imam ini adalah tugas utama para rasul. Imam yang baik dimaksudkan juga baik dari segi agama dan dunia. Mereka mendalam dalam agama dan syariat dan juga faham dengan persoalan semasa yang berbangkit. Maka ini menjadikan mereka mampu menolak pemikiran dan tindakan yang batil itu. Ini memerlukan supaya ditubuh sekolah agama dari peringkat rendah, menengah yang menjadikan hafalan Al-Qur'an dan tajwid sebagai syarat lulusan. Lulusan sekolah ini pula boleh menyambung pengajian mereka ke fakulti dakwah. Fakulti Dakwah perlu ditubuhkan di negara ini dan para pengajarnya hendak terdiri dari mereka yang mendalami Al-Qur'an dan al-Sunnah. Ini semua boleh menjadi asas kepada melahirkan Imam yang dimaksudkan dalam tulisan ini.
2. Para Imam diberi sara hidup yang cukup/sesuai supaya membolehkan mereka bekerja sepenuh masa. Saraan hidup yang cukup amat penting, kalau tidak jawatan Imam akan dijadikan loncatan untuk berpindah pula ke jawatan lain.
3. Melantik para ulamak yang berwibawa dari segi ilmu dan kebolehan walaupun yang telah pencen dari jawatan lain terutama bagi masjid negeri dan daerah yang banyak dikunjungi oleh mereka yang berpendidikan tinggi.
4. Tugas pengajaran dan pendidikan tidak kurang penting kepada Imam dari tugas mengimami sembahyang. Maka masjid mesti dirancang dengan dewan syarahan kerana orang tak mampu berjam-jam duduk dalam masjid untuk mendengar syarahan.
5. Hendaklah ada hubungan baik antara Imam dan anak mukim, sehingga dia dapat mengetahui masalah anak mukim dan anak mukim pula tidak merasa segan untuk memberitahu kepada Imam.
6. Sebuah rumah hendaklah disediakan untuk para Imam berhampiran dengan masjid bagi memudahkan dia mengimami sembahyang tak kira hujan atau panas. Dia dan keluarganya boleh pada bila-bila masa sahaja untuk beribadat di masjid.
7. Imam mengambil bahagian positif mengadakan jawatankuasa menyelesaikan masalah rumahtangga, kerana masalah ini tidak kurang banyaknya berlaku. Jawatan kuasa zakat daerah juga mesti diberi kuasa kepada Imam. Akhirnya masyarakat banyak menumpukan kepada institusi masjid dalam memberikan kebajikan kepada mereka.
8. Imam mestilah diberi pakaian yang khas supaya ada kehebatan pada hati anak mukim, sebagai contoh para guru al-Azhar mempunyai pakaian khusus yang tidak dibenarkan orang lain pakai.

Jadi dengan ini kita yakin masjid akan dapat berperanan dan Imam sebagai kepala masjid akan memberikan suatu kekuatan kepada umat Islam bukan sahaja dalam ibadat tetapi juga ilmu pengetahuan, kebajikan dan lain-lain.

Semoga usaha ini akan diteruskan dan diperjuangkan sehingga apa yang menjadi perbincangan ini tercapai.

Rencana ini dipetik dari Majalah Pengasuh dengan ihsan : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) .

1 comment: