01 July 2013

CABARAN MENGAJAK REMAJA KE MASJID AMAT BESAR !

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh institusi masjid di negara ini pada masa kini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali memakmurkan masjid. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih "menyeronokkan". Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk bertandang ke masjid.
Lebih-lebih lagi generasi muda sekarang tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu; mereka kini lebih terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu pun sudah dialpakan.
Maka, apakah solusi terbaik kepada dilema ini? Ada yang berpandangan, proses tarbiah dan bimbingan Islam kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama, insya-Allah mereka akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan, termasuk memakmurkan masjid dengan ibadah mereka. Saya kira ini satu pandangan yang bernas juga, namun sebenarnya tidak cukup sekadar itu kalau hendak memastikan hati anak-anak muda ini benar-benar terpaut pada institusi masjid.
Pada pendapat saya, sistem sokongan daripada institusi masjid juga perlu diambil kira jika hendakkan generasi muda berdamping dengan masjid. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesebuah masjid itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda ke masjid. Ingatlah kata-kata Umar bin al-Khatab, "Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya..."
Berpandukan sedikit pengalaman yang saya timba sewaktu bergelumang dengan dunia dakwah remaja suatu masa dahulu, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh institusi masjid untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:
1. Sukan
Majoriti anak muda sekarang, terutamanya lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, institusi masjid boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.
2. Rekreasi
Selain sukan, anak-anak muda juga sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan explorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.
3. Kesenian dan kebudayaan
Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh pihak masjid. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater. Saya tertarik dengan satu pendekatan yang dibawa oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan teater berjudul "Menunggu Kata Dari Tuhan" di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor sejak tiga tahun lalu. Sambutannya cukup memberangsangkan dan ternyata mampu menarik anak muda untuk menyaksikannya lantas mendekatkan mereka dengan institusi masjid.
4. Seminar, bengkel, forum dan kem
Walaupun aktiviti-aktiviti ini bunyinya sedikit formal, namun jika pengisian dan pendekatannya segar dan menepati selera orang muda, saya pasti aktiviti sebegini juga mampu menarik minat remaja untuk berkunjung ke masjid. Modul-modul alaf baru berkaitan generasi muda boleh diketengahkan seperti ‘Keindahan Bersamamu’, ‘Anda Bijak Jauhi Zina’, ‘Reproduksi Remaja’, ‘S.P.I.E.S’, ‘Remaja Raikan Ramadan’ dan ‘Hidup Zero Alasan’. Di samping itu lebih baik lagi jika dapat dilibatkan figura dan selebriti terkenal yang cenderung kepada Islam seperti Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Dr Harlina Halizah Siraj, Wardina Safiyyah, Asyraf Muslim, Akil Hayy, Ahmad Fedtri Yahya, Irma Hasmie dan Heliza Helmi, juga artis-artis nasyid seperti Rabbani, Raihan, In-Team, Nowseeheart dan lain-lain lagi.
5. Lawatan
Lawatan sambil belajar adalah suatu aktiviti yang cukup bermanfaat buat generasi muda. Bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah, institusi pengajian tinggi, rumah-rumah kebajikan dan ekspo atau pameran yang bersesuaian. Insya-Allah, pasti mereka berasa seronok dan memperoleh manfaat melalui aktiviti sebegini.
6. Pertandingan kreatif
Di samping itu adakanlah aktiviti berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek, pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan ini disebarkan seluas mungkin dengan penyediaan hadiah yang mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.
Cukuplah sekadar itu saranan saya. Saya percaya banyak lagi jenis aktiviti lain yang boleh diadakan bagi menjayakan hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini "jatuh cinta" dengan masjid. Oh ya, ada juga rakan-rakan saya yang pernah berkunjung ke Singapura yang menceritakan begitu hidupnya aktiviti masjid di sana, khususnya aktiviti kepada remaja dan belia. Saya berharap suatu hari nanti saya akan sampai ke sana dan melihat sendiri realiti seperti yang diceritakan orang tersebut.
Sebelum itu ayuh kita realisasikan kerja besar kita ini di tempat kita sendiri. Suatu kerja besar yang memerlukan pengorbanan yang besar...

2 comments: