22 August 2013

BILA 'ABU JANDAL' BERSUARA ,SELALUNYA ADA MAKNA !

  Aku Rindu Suasana Ini Yang Di Rakam 
Pada Malam 27 Ramadan Yang Lalu
Di Masjid as-Salam



Masjid Terbuka.

Abu Jandal penggali kubur bersuara tika para jemaah mula membentuk saf untuk solat asar di Masjid as-Salam pada petang 10 Syawal itu.  Suara Abu Jandal yang parau dan serak-serak basah itu mengundang perhatian semua orang di dewan solat itu.

Katanya, “Pihak Masjid akan mengadakan majlis Masjid Terbuka. Tarikhnya ialah pada sepanjang bulan Syawal yang berbaki ini. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Ia berbeza daripada majlis Rumah Terbuka yang kedapatan pada sepanjang bulan Syawal kerana juadahnya agak berbeza. Tiada juadah rendang, lemang, ketupat, satay, lontong, soto, beryani gam, atau mee kari boleh kita temui. Juadah utamanya ialah makanan ruhani. Antara makanan ruhani yang disediakan ialah iktiqaf Masjid, azan dan iqamah, solat2 fardu berjemaah, solat2 sunat, pengajian Qur’an, sebaran salam, majlis2 ilmu, zikir, selawat dan doa. Jemputlah ramai2 ke majlis Masjid Terbuka ini. Makanlah hingga kenyang. Ia bermula seawal sebelum subuh setiap pagi dan berakhir selepas solat sunat rawatib selepas Isyak setiap malam. Kehadiran para muslimin dan muslimat sekelian bakal mengundang rahmat Allah. Semoga kita semua akan memperoleh hidayah, keampunan, dan redha Allah.” 

Saya yang tika itu berada selang beberapa jemaah di kanan Abu Jandal termenung sejenak. Mulanya rasa agak terganggu dengan penyataan daripada Abu Jandal tadi, apatah lagi tika para jemaah tengah fokus membentuk saf untuk mendirikan solat bagi mengadap Yang Esa. 
Namun setelah berfikir sekejap saya rasa ada benar dan asli pelawaan daripada Abu Jandal itu. Dalam kita duduk sibuk memenuhi undangan Rumah Terbuka di sana sini hingga acap pula terlepas untuk sama-sama berjemaah solat fardu di Masjid, tidak terfikir langsung kita yang lemah ini fasal memenuhi undangan Masjid Terbuka. 
Terima kasih Abu Jandal kerana berkata yang hak dengan jemputan terbuka tanpa kad ini. Ayuh kita raikan kemenangan amal soleh Ramadan yang lalu di Syawal ini dengan berkunjung ke Masjid Terbuka di seluruh Negara. 

No comments:

Post a Comment