25 September 2013

PENJAGAAN KESIHATAN FIZIKAL MENURUT KACAMATA ISLAM

Penjagaan Kesihatan Fizikal Menurut Kacamata Islam
Gambar hiasan

Islam merupakan suatu cara hidup dan agama yang mengawal serta menjaga seluruh aspek kehidupan umatnya.  Isam mengambil berat tentang kepentingan setiap penganutnya sama ada dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Keseimbangan dan kecemerlangan dalam ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang itu muslim yang ideal dan disukai oleh Allah swt.

Antara perkara penting yang kadang-kala dilupai oleh seseorang muslim adalah dalam aspek penjagaan fizikalnya. Perlulah diigati bahawa penampilan fizikal adalah dituntut dalam Islam sepertimana perlunya memelihara kesempurnaan akal dan hati. Antara perkara yang perlu diambil perhatian berkaitan kesihatan fizikal ini ialah tentang aspek kebersihan dan penampilan diri.

Sesungguhnya Islam ialah suatu agama yang mementingkan aspek kebersihan hati dan fizikal umatnya. Malah Islam merupakan agama yang meletakkan aspek kebersihan sebagai antara perkara asas dan terpenting dalam penerimaan sesuatu ibadah. Perkara ini dapat dilihat melalui pembelajaran-pembelajaran ilmu fiqh dan hadith yang acap kali dimulai dengan bab penyucian atau taharah. Malah kebersihan fizikal ini merupakan lambang keimanan bagi seseorang muslim. Perkara ini berdasarkan firman Allah swt: “Sesungguhnya Allah swt menyukai mereka yang selalu bertaubat dan mereka yang selalu bersuci” (Surah al-Baqarah: 222). Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman”. (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya).

Apabila membincangkan aspek kebersihan fizikal maka kita dapat melihat bahawa Islam amat mengambil berat tentang hal ini. Contohnya Islam mensyariatkan ibadah wudhuk sebelum daripada menunaikan solat sama ada solat wajib mahupun sunat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt: “Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu semua menunaikan solat  maka basuhlah muka kamu, kedua tanganmu hingga ke siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sehingga ke buku lali.” (Surah al-Maidah: 6). Di samping itu Islam juga mensyariatkan beberapa ibadah lain dalam memastikan umatnya berada dalam keadaan bersih seperti bersiwak (berus gigi), mandi hadas, memotong kuku dan bulu, menyucikan kemaluan setelah membuang air, memastikan pakaian dalam keadaan bersih daripada najis, berkhatan dan sebagainya lagi. Kesemua ini diterangkan oleh Islam secara jelas melalui nas-nas al-Quran mahupun hadith-hadith Nabi saw. Malah segala penerangan ini tidak sama sekali diterangkan oleh agama-agama lain. Perkara ini menunjukkan bahawa Islam adalah suatu agama fitrah yang memelihara fitrah asal manusia yang menyukai kesucian dan kebersihan.

Di samping memastikan fizikal seseorang muslim itu berada dalam keadaan yang bersih, Islam juga menggalakkan umatnya untuk menjaga kesihatan fizikal. Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara (antaranya) gunakanlah masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit.” (Hadith direkodkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani). Dalam hadith ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan kesihatan umatnya sebagai  antara perkara penting yang perlu dijaga dan dipelihara. Sesungguhnya muslim yang sihat itu mampu melakukan amalan-amalan soleh yang sama sekali tidak mampu dilakukan oleh muslim yang berada dalam keadaan sakit. Malah apabila seseorang muslim itu sakit maka beliau tidak mampu melaksanakan ibadah-ibadah seperti solat, puasa, haji dan sebagainya secara sempurna. Lantaran itu setiap umat Islam perlu memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat dan jika diserang penyakit maka berubatlah scepat mungkin supaya ianya tidak menjadi semakin parah.

Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah dan pada setiap seorangnya terdapat kebaikan.” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya). Hadith ini membawa maksud seseorang muslim yang kuat imannya lebih baik dan dicintai oleh Allah swt berbanding muslim yang lemah imannya. Namun hadith ini juga boleh difahami secara zahirnya bahawa setiap mukmin yang kuat dalam segala perkara sama ada dalam aspek fizikal, akal dan rohani itu lebih disukai Allah swt berbanding seseorang mukmin yang lemah fizikal, akal dan juga rohaninya. Oleh demikian seseorang muslim itu perlulah memastikan bahawa tubuh badannya itu kuat dan sihat dan pada masa yang sama tidak menafikan keperluan kekuatan akal dan rohani dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya bagi jasad kamu itu keperluannya.” (Hadith direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahinya).  Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa Nabi saw menyuruh umatnya supaya memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada tubuh badan. Hal ini termasuklah dari aspek pemakanan dan juga rehat yang mencukupi. Namun perkara ini kadang kala dipandang remeh oleh umat Islam masa kini. Jika dilihat kepada aspek pemakanan maka boleh dibuat kesimpulan bahawa kita dilimpahkan rezeki oleh Allah swt dengan pemberian nikmat makanan yang cukup lazat dan melimpah ruah. Namun pada masa yang sama apabila tabiat pemakanan ini tidak dijaga maka ianya boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.

Di samping itu bagi memastikan kesihatan badan terjaga maka seseorang muslim itu perlulah memastikan stamina dan tubuh badannya berada dalam keadaan yang baik. Stamina yang tinggi akan melahirkan kekuatan pada tubuh badan manusia. Firman Allah swt: “Dan bersedialah kamu semua dengan apa yang kamu mampu dari segi kekuatan” (Surah al-Anfal: 60). Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan umat Islam supaya mengumpul kekuatan dan antara kekuatan utama ialah kekuatan fizikal yang boleh dimanfaatkan untuk agama.

Di samping menjaga pemakanan dan bersukan umat Islam juga diwajibkan untuk meninggalkan segala bentuk amalan buruk yang boleh memberi kemudharat kepada tubuh badan. Sesungguhnya setiap perkara yang membawa kepada kemudharatan hukumnya adalah haram di dalam Islam. Firman Allah swt: “Dan janganlah kamu semua mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah menyukai mereka yang membuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah melarang hamba-hamba-Nya daripada menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan. Hal ini termasuklah melakukan sesuatu perkara yang boleh menghasilkan kemudharatan kepada tubuh badan seperti berzina, minum arak, makan daging khinzir, menagih dadah dan sebagainya lagi.

Antara perkara yang boleh memudharatkan tubuh badan manusia ialah merokok. Sepertimana yang kita ketahui bahawa merokok telah difatwakan haram oleh majlis fatwa kebangsaan dan juga majlis fatwa di setiap negeri. Pengharaman rokok ini disebabkan ia memberi kemudharatan kepada penghisapnya di samping membawa kepada pembaziran yang sia-sia. Malah kajian perubatan telah menunjukkan bahawa asap rokok yang disedut dan dilepaskan boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan merupakan penyebab utama kepada penyakit kanser. Justeru sewajarnya setiap umat Islam sedar akan bahayanya merokok malah seseorang yang merokok itu telah dianggap berdosa di hadapan Allah swt kerana mencampakkan dirinya dan masyarakat sekitarnya kepada kemudharatan.

Kesimpulannya Islam menuntut umatnya untuk menjaga kesihatan diri sama ada dalam aspek kebersihan mahupun penjagaan tubuh badan daripada serangan penyakit. Di samping itu umat Islam diwajibkan untuk meninggalkan segala perkara yang membawa kepada kemudharatan tubuh badan. Sesungguhnya tubuh badan yang sihat menggambarkan kehidupan seorang muslim yang ideal dan pada masa yang sama disayangi oleh Allah swt.

amalan sunnah harian, fizikal, hadith shahih, hindar penyakit, ibadah, Imam Muda Asyraf, kebersihan luaran dan dalaman, kesihatan, penampilan, sunnah, syariat, umat
http://imamudasyraf.com/v2/?p=902

No comments:

Post a Comment