08 January 2014

KAKI MASJID ?

Orang beriman yang cinta masjid ibarat ikan masuk ke air, kerana nalurinya ke situ, ingatannya sentiasa untuk ke Rumah Allah. Hatinya lega dan seronok setiap kali dapat duduk di masjid, dapat niat iktikaf, dapat mendirikan solat2 sunat, dapat zikrullah dan membaca al-Qur'an. Pernah lihat ikan bila di lepaskan ke dalam air kolam? Gembira dia tidak terkata.


Bersiap siaga untuk ke masjid walaupun saban hari mungkin sampai hampir senja ke rumah dari tempat kerja. Hatinya terikat di masjid. Terasa rugi benar jika tidak menghadiri kuliah2 maghrib yang diadakan setiap malam di masjid. Segala ilmu yang dia dapat di catit, di pahat di dada, di amalkan dan disebarkan. 

Teruja sungguh dia menatap jadual kuliah dengan slot2 ceramah penuh setiap bulan tertampal di papan kenyataan masjid. Sibuk dia menyemak ustaz mana yang tertera namanya di situ. Tenang jiwanya.

Nama2 regular seperti Ust Hafizi Hussen, Ust Kamal Azhari, Ust Irwan Syah, Ust Fazlur Rahimi, Ust Zahidi Abdullah, Ust Hazri Hashim, Ust Sidek Nor dan Ust Wan Shamsuddin, semuanya menjadi pencerah penyuluh jalan belaka dengan ilmu tasauf, tauhid, feqah, tafsir, hadith dan sirah. Pelajaran dan pengajian ilmu yang percuma. Kenapa tidak menyahut nya? Rugi Tuan2. Jadilah kaki masjid bukan kaki botol atau kaki bangku.

Syukur benar dia bila dipilih Allah untuk dapat mendirikan solat2 fardu secara berjemaah di masjid. Itulah ibaratnya seorang hamba Allah yang beriman dan bertaqwa untuk sentiasa taat kepada Allah. 

Begitu teruja dia untuk ke rumah Allah menyambut pelawaan Allah bertandan pada setiap kesempatan masa yang ada. Tika laungan iqamat keluar dari celah bibir muazzin maka dia terus bersegera untuk memenuhi sof pertama kerana faham sangat dia akan fadhilat berdiri di sof pertama pada setiap perlakuan solat berjemaah itu. Ibarat ikan puyu masuk ke air. 

Tambahan lagi dia tidak kedekut untuk menyebarkan salam dan mengukirkan senyuman kepada setiap tetamu Allah bila bertentang mata atau berselisih bahu. Begitu juga ringan tangannya bersedekah memperuntukkan sejumlah wang pada setiap malam untuk di masukkan ke dalam tabung bergerak masjid. Atau peluang khidmat pada setiap kesempatan yang ada. Bahagia nya dia seperti ikan pulang ke air atau sireh pulang ke ganggang.

Berbeza pula dengan orang yang munafik atau tiada keikhlasan di hati. Datang dia ke masjid itu boleh diumpamakan sebagai burung masuk ke sangkar. Terasa terpenjara jiwa, hati berkecamuk, minda tidak tenang dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk membebaskan diri dari sangkar yang mencengkam itu. Sekejap berlunjur, sekejap berpusing, kerap ke bilik air, sekejap menguap, acap kali tertidur. Keluh kesah dia. Mata menyudut pada kelemahan dan kekurangan.

Pantang ada sebutan daripada Ustaz yang berceramah yang terkena batang hidungnya atau menyentuh soal2 kebenaran walaupun pahit maka punggungnya terasa panas macam duduk atas bara api dan cuping telinganya terasa pedih dan dia pun tidak segan untuk bangun berlalu pergi dan terus keluar dari masjid. Ada makhluk sebegini. Rajinlah memerhati. Yang sedihnya ramai dari kelompok ini ialah golongan veteran yang rumah kata pergi kubur kata mari, namun hidayah masih terhijab untuknya.

Ada pula ramai jemaah yang usai solat terus bangkit macam kuih bangkit pergi entah kemana terutamanya tika solat jumaat. Begitu sombong dengan Allah hingga kan tiada kesempatan untuk zikrullah barang sebaris dua atau menadah tangan untuk berdoa bergantung harap pada Yang Esa? Sibuk sangatkah? Hingga masa 24 jam yang Allah bagi ini tidak cukup buatmu? Janganlah jadi manusia jahil yang tidak kenal diri. Begitu banyak nikmat yang Allah bagi dengan percuma, tapi engkau jadi angkuh, sombong dan lupa diri.

Ada juga manusia yang tidak ikhlas untuk beribadah di rumah Allah. Pergi ke masjid membawa nawaitu yang tidak jelas. Apakah kerana jawatan aku sebagai AJK, atau kerana menghabiskan masa lapangku, atau untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Wallahu'alam. 

Ketidakikhlasan ini kadang2 terserlah jua dengan izin Allah. Pelbagai penyakit hati menguasai dirinya. Maka tergolonglah mereka di kalangan orang2 yang rugi. Kenapa rugi? Kerana segala amal ibadahnya tadi tiada nilaian walau sekupang di sisi Allah SWT. Kekedang tu dia jadi asing atau segan untuk ke masjid kerana sifat dendam kesumat atau rasa tidak puas hati yang terbuku di hati.

Sebagai konklusi pilihlah untuk berada dalam kategori mana. Janganlah di sia2kan masa yang ada. Usahlah lagi dibazirkan baki usia yang tinggal ini. Ya Allah berkati sisa2 usia ku ini. Aku kah ikan yang terjun ke air itu atau aku kah burung yang terperangkap dalam sangkar emas? Tepuk dada tanya iman. Tuan suluh diri Tuan, saya suluh diri saya. Ya Allah, pilihlah aku jadi Kaki Masjid yang tegar, tidak mudah goyah.

No comments:

Post a Comment