RAKAN BLOG MASJID

13 July 2010

SYA'ABAN DATANG LAGI



Kelebihan Bulan Syaaban

1. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Apabila masuk bulan sya`ban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan sya`ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu." (Al-hadis)

2. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka . Dia akan menjadi teman nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala nabi Allah Ayob a.s dan nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan sya`ban, dimudahkan Allah atasnya sakratul maut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari Qiamat, dan diwajibkan Syurga baginya.(Al-hadis)

3. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan sya`ban dan akhir khamis daripada sya`ban, dimasukkan dia ke dalam Syurga. (Al-hadis dari kitab Al barkah).

4. Berkata Siti A`isyah r.a.h, bulan yang lebih dikasihi oleh Rasullullah s.a.w ialah bulan Sya`ban.

5. Sabda Nabi s.a.w: Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani).(Al-Hadis).

6. Sabda Nabi s.a.w : "Bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezekinya." Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah ta`ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat." (Al-Hadis).

7. Sabda Rasullullah s.a.w: Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Sya`ban.(Al-hadis).

8. Sabda Nabi s.a.w: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran ke atas segala Qalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan atas segala anbia(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya. (Al-hadis)

9. Bulan Syaaban, keagungan malamnya dengan malam nisfu Syaaban, sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang Jibril kepada Rasul s.a.w lalu katanya: "Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa."(Al-hadis)

10. Sabda Nabi s.a.w: Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.(Al-hadis)

11. Sabdanya lagi: Apabila pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadah, dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku a`fiatkannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh. (Al-hadis)

12. Tersebut dalam kitab Al-berkat: Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, ikan di laut berpuasa mereka pada hari nisfu Syaaban.

13. Tersebut di dalam kitab: Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasullullah s.a.w kali keduanya, katanya: Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah ta`ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada menyekutukan-Nya sesuatu. Angkatkan kepalamu, lalu Rasullullah s.a.w pun mengankatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu langit. Pada pintu langit pertama malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang rukuk pada malan ini. Pada pintu langit yang kedua, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang sujud pada malam ini. Pada langit yang ketiga, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit keempat, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit kelima, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang menangis takutkan Allah subhanahuwa ta`ala pada malam ini. Pada pintu langit keenam, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini. Dan pada pintu langit yang ketujuh, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu langit yang kelapan malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibril, sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima doa), Jibril menjawab: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi: Pada malam ini dimerdekakan hamba-Nya yang mukmin lelaki perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing bani kalab (bani kalab diantara orang-orang arab yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah memerdekakan hamba-Nya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari dunia dan malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan jibril ke Syurga untuk menghiasi syurga.

14. Barangsiapa membaca,
(Tiada tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dia, dengan ikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir)
ditulis Allah baginya ibadat seribu tahun, dan dihapuskan daripadanya dosa seribu tahun, dan keluarnya dari kubur, mukanya seperti bulan purnama dan ditulis pada Allah taa`la orang benar siddiq (orang yang benar).

15. Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam nisfu syaaban enam orang;

1) Orang yang kekal minum arak


2) Orang yang durhaka kepada ibubapa


3) Orang yang kekal dalam zina


4) Orang yang banyak berkelahi


5) Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta


6) Orang yang memperlakukan orang supaya kelahi (Al-hadis).

16. Riwayat daripada Usman, sabda baginda Rasullullah s.a.w: Pada malam nisfu Syaaban setelah berlaku 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman: “Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka Aku taubatkan akannya, dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki perempuan, melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.” (Al-hadis)

17. Sabda Nabi s.a.w: “Ya Aisyah! Adakah engkau izinkan aku sembahyang pada malam ini?” Jawab Aisyah: “Ya, aku izinkan” lalu nabi pun bersembahyanglah sepanjang malam nisfu Sya`ban itu, beliau sujud terlalu lama masanya, sehingga aku sangka beliau telah diambil ruhnya (mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, aku letakkan tanganku di atas dua tapak kakinya. Maka bergerak ia, gembiralah aku kerana beliau masih bernafas lagi, dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya:

“Aku berlindung dengan kemaafan Engkau daripada siksa Engkau, dan aku berlindung dengan keredhaan Engkau daripada kehinaan Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan yang datang daripada Engkau, aku tiada terhingga memuji Engkau sepertimana Engkau memuji diri Engkau.” Nabi menyuruh Aisyah mengamalkan doa ini dalan sujud."
(Al-hadis)

18. Sesiapa sembahyang pada malam nisfu Syaaban daripada umat Muhammad s.a.w terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberi tahu kepada nabi Isa a.s lalu Isa a.s pun berdoa kepada tuhan: "Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w".

19. Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadah (berbuat amal kebajikan), iaitu malam Nisfu Syaaban, malam Aidil Fitri pertama, malam Aidil Adha pertama, dan malam Arafah. Disambungkan malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam rahmat dan merdeka daripada api neraka. Sesiapa sepanjang malam Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang terakhir daripada Ramadhan umat Muhammad s.a.w berlumba-lumba dalam ibadah dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari jumaat. Demikian pula disambungkan Asma Allah Al Azdhim (nama Allah yang teragung) di dalam Asmaul Husna yang amat mustajabkan doa padanya.

09 July 2010

SURAU HAYATUL ISLAM

"MENJANA UKHWAH UMMAH"
Program Ceramah Israk Mikraj

Tarikh : 11 Julai 2010 (Ahad) / 28 Rejab 1431H
Masa : 8.00 malam (Solat Maghrib bersama Ustaz)
Tempat : Surau Hayatul Islam, Perumahan Seroja
Penceramah : Ustaz Mohd. Naim b. Hashim

SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SERTA
ANAK-ANAK DIPERSILAKAN HADIR

# Sumbangan kuih-muih / derma ikhlas daripada jemaah adalah dialu-alukan.
# Aktiviti gotong-royong akan diadakan bermula jam 10.00 pagi (Ahad).
# Semoga usaha kita ini akan dapat direalisasikan dan diberkati, insyaAllah.

-TERIMA KASIH-

PENGALAMAN KENDALI MASJID DAN BUKAN ISLAM

Masjid dan Non-Muslim

Di suatu pagi yang hening sedangku bersarapan bersama seorang kawan di surau,
“Assalamualaikum” , sapaan abang zul(bukan nama sebenar) lengkap berjubah.
“Waalaikumussalam, hmm,,bang jemput makan “, kawanku membalas.
“Takpe-takpe, sila makan, Haji ada kat dalam?,” merujuk kepada pemimpin masyarakat kawasan tersebut.
“Ada-ada,,,,masuklah” berlalu masuk ke dalam masjid abang zul bersama seorang budak belasan tahun.
“ Eh, sapa yang bersama dia tu, macam ‘chinese look’ je”, tanyaku kehairanan.
“Ntahlah, gi lah ko tanye die”, jawab kawanku.
Bergegas aku masuk ke dalam surau untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi.
“Sape ni bang”, tanye ku pada abang zul.
“Haa, nilah saudara baru kita, Ahmad, baru pagi tadi masuk Islam” jawab abang zul dengan muka yang berseri.
“ Alhamdulillah, saya Abu Hanifah”, perkenalan pertama aku bersama saudara baru bernama Ahmad.

Langsung abang zul menceritakan bagaimana Ahmad yang hanya berumur belasan tahun menerima hidayah. Ahmad ni keturunan cina, dan 2 tahun lepas, kedua-dua ibu bapa dia meninggal dunia. Jadi, atuk dia bawa dia ke Terengganu tinggal bersama. Tapi, atas ketentuan tuhan, atuk nye baru je meninggal , jadi, ahmad boleh dikatakan sebatang kara. Namun, atas perasaan belas dan sayang, abang zul mengambilnya sebagai anak angkat. Malam sebelum tu, abang zul membawa ahmad yang belum Islam tidur di kawasan surau. Esoknya, di waktu subuh untuk bersiap bersolat subuh, ahmad telah menyatakan hasrat ingin memeluk Islam kepada Abang Zul. Subhanallah, berita gembira ini hanyalah dari ketentuan Allah, yang mungkin menjadikan rumahNYA asbab hidayah kepada manusia.

Lantas aku berfikir panjang, Allah boleh menjadikan bangunan batu sebagai asbab hidayah jika orang Islam tidak melakukan dakwah. Namun, kini, ada satu isu yang hangat dibincangkan tahun lepas tentang orang bukan Islam dan masjid. Mereka ni boleh masuk ke masjid @ surau? Persoalan yang banyak bermain di kalangan masyarakat sehingga tercetusnya pergaduhan terutama sekali antara ahli politik. Kisahnya bermula apabila salah seorang ADUN di selangor yang memasuki masjid dan memberi ucapan untuk sesuatu program.

Reaksi pertamaku apabila sahaja mendapat berita ini adalah ’apa salahnya?’. Mungkin ramai yang membuat muka bengis atas reaksi ini..hoo. Bagaimana aku boleh begitu pasti dengan kata-kata aku tadi. Ini kerana dari sirah nabi S.A.W yang telah tunjukkan kepada kita 1400 tahun dulu bagaimana kita berurusan dengan perkara ini. Mentaliti kita kini merasakan untuk maju dalam agama kita perlu pandang ke hadapan sepertimana kita hendak maju dalam urusan dunia. Namun, hakikatnya, untuk maju dalam agama , peningkatan iman, kita perlu pandang kebelakang iaitu pandang kepada zaman Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat yang mana zaman itu adalah zaman agama yang paling maju. Zaman yang mana Allah turunkan wahyu sehingga turunnya firman Allah yang menyatakan Umat Islam ini adalah umat yang terbaik yang diturunkan kepada manusia. Itulah zaman yang perlu kita jadikan rujukan. Sedihnya, agama semakin mundur hari ini dan umat asyik bersalah fahaman setiap masa.

Ustaz Zaharuddin telah menulis beberapa titipan sirah dalam entri beliau iaitu Rasulullah pernah diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat

"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu), yang mana ertinya :

Rasulullah S.A.W menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )


Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Jadi, bagaimana anda menilai tindakan Nabi S.A.W ini? Adakah bercanggah dengan agama? Dan siapa kita untuk berkata tentang perkara ini. Jelas terbukti sebahagian umat kini buta sejarah, buta sirah, buta penilaian dan buta penafsiran. Adapun, dari kisah tadi dapat kita lihat Nabi S.A.W menggunakan masjid sebagai suatu hubungan diplomasi dengan bukan Islam. Bukannya dengan membuta tuli melarang dan menghalang bukan Islam mendekati rumah Allah. Selain itu, Ustaz Zaharudin juga menulis,

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :

1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.



Adapun beberapa perbahasan Ulama’ tentang larangan terhadap Non-muslim memasuki masjid adalah terhadap Masjidilharam tidak termasuk masjid2 atau surau-surau biasa. Sedangkan lagi Masjid Nabawi bertetamukan Non-muslim , inikan pula masjid atau surau di Malaysia yang jauh dari tanah arab.

Bercerita tentang non-muslim dan masjid ini, semasa aku makan tengahari bersama seorang AJK masjid pada hari jumaat, AJK masjid memulakan bicara ,

”Masjid ni kalau hari jumaat penuhlah orang berniaga di luar tu”,

”erk,,diorang berniaga kt mana?” tanyaku,

”tu kat tempat parking tu. Tapi kan, hari tu ada orang bangsa cina ni nk mintak berniaga kt kawasan masjid, tapi masa tu dia datang masjid ni pakai seluar pendek. Jadi, abang pun mintalah dia balik tukar seluar panjang untuk menghormati masjid. Dalam perjalanan pulang tu, adalah beberapa orang orang Islam ni hina die depan orang ramai sebab pakai seluar pendek.Malulah cina tu kan, ” luahan kesal AJK tersebut,

”Dia datang pulak tak selepas tu?” Tanyaku ingin tahu

” tak pernah datang sampi sekarang. Tulah, kalau ikutkan boleh je bagi dia berniaga kat luar masa hari jumaat, manalah tau, bila die dapat dengar khutbah jumaat nanti dia dapat hidayah ke.” tinggi harapan AJK tersebut.


Aku mengeluh dan berasa malu dengan perkara yang memalukan orang Islam ini. Sebahagian dari kita hanya ingat Masjid atau surau hanya untuk orang Islam sahaja dan diharamkan non-muslim. Jadi, sampai bila mereka dapat mengenal Islam kalau ini sikapnya?? Di luar negara, masjid dijadikan tempat rujukan Islam terutama mereka yang baru ingin memeluk Islam lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 september. Jadi, di sana tersedia imam-imam dan pegawai-pegawai masjid yang sedia menerangkan tentang Islam kepada mereka yang ingin tahu dan teringin untuk memeluk Islam. Malangnya, sebahagian masjid atau surau di Malaysia tidak mesra ’Non-Muslim’ seterusnya dianggap sebagai ’Islam territory’ sahaja.

Mengapa aku menulis isu ini sekarang dan bukannya tahun lepas semasa isu ini tengah hangat didebatkan. Ini kerana isu non-muslim dan masjid ini tidak pernah hilang ditelan waktu sebenarnya. Sehingga sekarang masih ada yang melarang non-muslim mendekati Masjid atau surau. Wahai saudara seIslamku, mengapa engkau menghalang hamba Allah yang ingin mengenal Allah dengan lebih dekat lagi. Mengenai Ahmad yang baru memeluk Islam itu , khabarnya dia akan masuk ke Madrasah untuk menjadi Hafiz. Subhanallah, mereka yang baru memeluk Islam ini lebih faham erti dan nilai Islam berbanding mereka yang mewarisi Islam.


Ikhlas Dariku,


14 JUNE 2010
PUTRAJAYA ( 9.15 p.m)
*Adakah anda sependapat dengan saya? Berikan pendapat bernas anda dalam ruangan ulasan & pandangan. Syukran.

07 July 2010

SEBELUM & SELEPAS ISRAK MIKRAJ YANG PERLU UMAT ISLAM KETAHUI DAN TERAPI


Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj


Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

06 July 2010

FORUM 'BEST' ASSALAM MALAM INI 7 JULAI

FORUM ASSALAM 7 JULAI 2010
Moderator Ust Ridhuan Md Noor
Penceramah 1 : Ust Abdul Halim Redzuan
Penceramah 2 : Ust Dasuki Abd Rani
Tarik : 7 Julai 2010
Masa : 8 Malam
Tempat : Masjid Assalam , Bukit Sentosa , Rawang, Selangor
Sila sebarkan dan jemput semua hadir menimba ilmu

01 July 2010

FORUM PERDANA ASSALAM 16 JULAI

Forum Perdana Hal-Ehwal Islam Peringkat Daerah Hulu Selangor
Tajuk : Hebatnya Hidup berlandaskan Islam
Tarik : 4 Syakban 1431H , 16 Julai 2010
Masa : 8 Malam
Tempat : Masjid Assalam , Bukit Sentosa , Rawang, Selangor

HUKUM YANG TERLEPAS PANDANG


[ Dr.Haji M.Taufiq Q. Hulaimi, MA Med – Direktor Ma’ahad Aly An-Nuaimy, Jakarta ditanya oleh seorang pembaca pada ruangan Konsultasi Agama di Majalah Sabili mengenai hukum menonton bola sepak khasnya sempena perlawanan Piala Dunia sekarang. Berikut adalah jawapan beliau yang disiarkan pada ruangan tersebut di Sabili edisi 8 Julai 2010 / 25 Rejab 1431 ]

Sepak bola tidak pernah dibicarakan dalam buku-buku fiqh klasik. Olahraga ini termasuk nawazil (hal-hal baru). Berdasarkan kaedah fiqh iaitu ‘al-aslu fil asyyaa al-ibahah’, maka hukum menonton sepak bola adalah harus. Adapun sebahagian ulama’ yang mengharamkannya lebih disebabkan kerana ada hal-hal lain yang mengiringi sepak bola. Antaranya adalah:

1) Paha lelaki aurat ?

Apabila paha itu adalah aurat, maka menonton sepak bola menjadi haram kerana melihat aurat lelaki. Sebaliknya apabila peha bukan aurat, maka menonton sepak bola hukumnya mubah (harus). Para ahli fiqh (fuqaha’) berselisih pendapat dalam hal ini seperti berikut:

Pendapat pertama: Jumhur ulama’ mengatakan peha lelaki adalah aurat. Pendapat ini berdasarkan sejumlah hadith antara lain “tutupilah pehamu kerana sesungguhnya peha adalah aurat” (Hadis Riwayat Malik, Ahmad, At-Tarmidzi).

Pendapat kedua: Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa peha lelaki tidak aurat. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Bukhari dari Anas bahawa Rasulullah menyingkap pehanya dalam beberapa kesempatan.

Pendapat ketiga: Pendapat para pengikut mazhab Maliki (Imam Malik) bahawa aurat mughallazah (berat) adalah kemaluan dan dubur. Keduanya apabila terlihat ketika melakukan solat, maka solatnya batal.

Para ulama’ berusaha menyatukan dalil-dalil yang bertentangn ini dan mentarjihkannya (mencari yang terkuat). Imam Bukhari berpendapat bahawa hadith Anas yang mengatakan peha bukan aurat lebih kuat sanadnya. Imam As-Syaukani melihat bahawa hadith yang menyatakan peha adalah aurat adalah hadith-hadith yang berkenaan dengan keadaan khusus yang tidak boleh digeneralisasi.

Imam Ibnul Qayyim mengatakan bahawa aurat ada 2 iaitu aurat ringan dan aurat berat (mughallazah). Peha termasuk aurat ringan.

Maka tidak ada pertentangan (kontra) antara larangan melihat peha dan dibolehkannya membuka peha, dilarang melihat kerana peha aurat, dibolehkan dibuka kerana peha adalah aurat ringan. Dr.Yusuf Al-Qardhawi melihat adanya rukhsah (keringanan) untuk menyingkap peha bagi orang yang pekerjaannya menuntut mereka membuka peha.

2) Segala sesuatu yang boleh, apabila ia berlebihan, maka hukumnya haram (al-israf: berlebihan)

Menonton sepak bola apabila berlebihan, maka hukumnya menjadi haram. Kaidah fiqh mengatakan: “segala sesuatu apabila melebihi batasnya, maka hukumnya menjadi sebaliknya”. Demikian pula hal-hal yang berkenaan dengan hiburan, pada dasarnya hukumnya boleh selama tidak berlebihan. Allah SWT berfirman: “Hai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan” – Al-A’raf: 31. Makan dan minum adalah hal yang mubah (harus), akan tetapi jika berlebihan menjadi haram.

3) Menyia-nyiakan waktu

Waktu begitu sia-sia dengan menonton bola sepak. Waktu menonton adalah 2 x 45 minit, ditambah lagi dengan komentar para pengomentar, iklan dan istirehat. Jika tontonan ini dilihat sampai sebulan penuh, cuba bayangka berapa waktu yang terbuang sia-sia dalam sebulan? Bukankah waktu itu adalah nikmat? Nikmat akan ditanyakan oleh Allah dalam hal apa dimanfaatkan. Allah berfirman: “kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang nikmat (yang dianugerahkan untukmu)”. – At-Takathur: 8.

Disisi lain, berjaga tanpa ada kepentingan dibenci oleh Nabi SAW. Diriwayatkan dari Abi Barzah beliau berkata, “Rasulullah SAW membenci tidur sebelum isya’ dan bersembang-sembang setelahnya. (Hadis Riwayat Bukhari).

4) Pekerjaan pejabat terabai

Orang yang sengaja berjaga untuk menonton bola terkadang juga kurang maksima dalam melaksanakan tugas wajib. Orang beriman tentu sahaja selalu menjaga amanah yang dibebankan padanya. Rasulullah SAW bersabda: “tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu dan tidak perlu engkau membalas dengan mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

5) Non-Muslim dijadikan idola

Fenomena yang menimpa para pencandu bola (peminat) adalah mengidolakan non-Muslim. Manakah yang didukung ketika dua Negara bertanding, apakah yang didukung Negara yang seagama? Biasanya yang didukung yang lebih mahir dan lebih cantik dalam bermain tanpa melihat agamanya. Bukankah seseorang akan dikumpulkan dengan orang yang ia cintai dan yang dijadikan idola. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum melainkan dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari Qiamat nanti”.

Hukum: Antara Fatwa dan Taqwa

Soal hukum menonton bola sepak ini jika dilihat akan terbahagi kepada dua. Pertama, hukum adakalanya dalam aturan fatwa, untuk dipakai oleh umum. Kedua, hukum dalam aturan taqwa, untuk dipakai oleh peribadi. Dalam aturan taqwa, kita boleh berfatwa buat diri kita sendiri sekeras mungkin. Akan tetapi, dalam aturan fatwa para fuqaha’, selalu berusaha untuk mencari yang termudah. Bukankah Rasulullah SAW kalau memilih antara dua hal, selalu ia memilih yang paling mudah selama ia tidak berkenaan dengan yang haram.

Dalam konteks menonton sepak bola hukum yang difatwakan harus dalam konteks aturan fatwa bukan aturan taqwa (baca: ideal). Dalam aturan taqwa, menonton sepakbola diharamkan, sebagaimana dibolehkannya mewajibkan solat tahajud buat diri sendiri (peribadi), kerana itu dipakai oleh peribadi. Tetapi sebaliknya dalam aturan fatwa, harus diuraikan sebijak mungkin kerana dipakai oleh public yang keimanannya berbeda-beda.

Kesimpulan

Ulama’ yang mengharamkan menonton bola sepak didasarkan kekhawatiran akan terjadinya efek buruk dari menonton sepak bola. Kerana efek buruh harus dicegah. Seperti judi, apapun bentuknya judi adalah perbuatan haram. Termasuk disini bertaruh untuk sebuah kesebelasan (team) atau skor. Maka apabila peha bukan termasuk aurat lelaki, menonton sepak bola sebatas hiburan dan tidak berlebih-lebihan, berjaga tidak menggangu pekerjaan di pejabat, mengagumi dengan tidak menjadikan seorang Muslim mengidolakan non-Muslim, maka hukum menonton bola menjadi harus.

Sebaliknya, apabila efek buruk tersebut tidak boleh dihindarkan dan tidak dipisahkan sama sekali (menjadi sebuah talajum),maka hukumnya adalah haram. Hal ini berdasarkan dalil Sadduz Zar’iyyah iaitu secara hukum halal, akan tetapi halal tersebut menjadi jalan timbulnya (perkara) haram, maka hukumnya (diambil) pada kesan yang ditimbulkannya iaitu haram.

Catatan: Saya telah mengubah beberapa perkataan Bahasa Indonesia dalam artikel di atas kepada perkataan Bahasa Malaysia agar mudah difahami. Mudah-mudaha bermanfaat. Terima kasih.

Dicatat oleh Muhammad Fadhlullah

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."