RAKAN BLOG MASJID

13 June 2011

REJAB ANTARA 4 BULAN ISLAM YANG DIHARAMKAN BERPERANG

Hubungkait antara bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan dijelaskan dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada 4 bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)

Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.

Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.

Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).

Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.

Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.

Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.

Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.

Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.

Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.

Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.

Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.

Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.

Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.

Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)

Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.

10 June 2011

PERLUKAN PERSIAPAN TUNAI UMRAH ?

Memperbetul tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:

- diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.;
- caranya menepati syariat yang ditetapkan;
- tidak berlaku sebarang penyelewengan; dan
- ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.

Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.

Mendapatkan ilmu yang cukup

Setiap ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.

Menggunakan sumber wang yang halal

Ibadah umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.

Pastikan wang ringgit yang digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan.

Menjaga kesihatan jasmani dan rohani

Pelaksanaan ibadah umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal perasaan.

Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain

Ibadah haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat.

Bakal-bakal jemaah umrah perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.

Memperbanyakkan amalan sedekah


Sesuatu yang boleh meringankan bebanan orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara, sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia.

Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.

Menunaikan sembahyang berjemaah

Matlamat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.

Menjauhi amalan-amalan syirik

Menyengutukan Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya.

Selain itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan neraka.

Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)

Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati.

Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadith, hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang sepertimana api membakar hangus kayu api.

Tanah Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.

Membersihkan diri dari dosa

Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:

- meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu; dan
- jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang diambil dari manusia tersebut.

Berdoa dan bertawakkal

Perancangan Allah S.W.T. mengatasi segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya.

Para jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.

05 June 2011

KITA MENGAKU TAPI KENAPA KAKU !


1. Kita mengaku mengenali Allah tetapi tidak pernah menunaikan akan hak-hak-Nya dengan melaksanakan segala surahan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Kita mengakui menyintai Rasulullah s.a.w tetapi tidak pernah sekali pun mengikuti sunnahnya.

3. Kita mengakui bahawa syaitan itu adalah musuh yang paling ketat tetapi masih patuh dan mengikuti segala hasutannya.

4. Kita sering membaca kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah mengamalkan segala isi kandungannya.

5. Kita sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari seksaan api neraka tetapi dalam masa yang sama kita masih melakukan maksiat dan dosa.

6. Kita sering mengumpat dan mendedahkan keaiban saudara seagama kita tetapi tidak pernah melihat kepada keaiban sendiri.

7. Setiap hari kita mendapat nikmat dan rezeki yang Allah beri tetapi tidak pernah sekalipun mahu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.

8. Kita mengiringi dan mengebumikan jenazah di perkuburan tetapi tidak pernah mahu mengambil iktibar dari kematian itu.

9. Kita tahu dan yakin bahawa kematian itu pasti berlaku tetapi tidak membuat persiapan untuk menuju ke sana.

10. Kita sentiasa berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga dan ditempatkan bersama orang-orang soleh tetapi tidak pernah berusaha mendapatkannya.

03 June 2011

MESYUARAT AJK MENJELANG MESYUARAT AGUNG MASJID ASSALAM KE 2


Mesyuarat pada 9.30 malam 2 Jun 2011

Mesyuarat di pengerusikan Timbalan Nazir dan alhamdulillah semua berjalan lancar.


Timbalan Nazir - Kapten(B) Nazaruddin Yahya

Ketua Lujnah Kebajikan - Sdr Mohamad Abu Kahar Hj Md Zin

Imam II - Ustaz Abdul Halim Mamat

Ketua Lujnah Ekonomi - Sdr Shamsuddin Isa

Imam I - Ustaz Noor Hamizi Kofli

Siak I - Sdr Mohamad Redzuan Zakaria

Imam III - Ustaz Hj Muhammad Firdaus Hj Zulkifli

Bendahari - Tn Hj Syed Azman Syed Jusoh
Siak II - Sdr Kamarulzaman (di belakang)

Ketua Muslimat - Pn. Hajjah Siti Dzauyah Bt Mat

Ketua Lujnah Penerangan - Ustaz Muhammad Mustapha

S/U - Sdr Ramley Mey

Bilal II - Sdr MOhd Izwan Mohamed Jais
Bilal III - Sdr Mohd Firdaus Zahid

02 June 2011

SUBHANALLAH ! AL-QURAN JELASKAN TENTANG ICT

Sekiranya kita betul-betul mengkaji ayat-ayat Al-Quran memang tidak syak dan ragu-ragu lagi bahawa “Al-Quran menjelaskan segala-galanya”

Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.
(An-Nahla 16:89)

Bahkan “tidak ada apa-apa yang tertinggal (semuanya terkandung) di dalam Al-Quran”

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am 6:38)

Al-Quran menjelaskan tentang ilmu ICT, sistem pentadbiran, pembinaan prasarana, cara mendidik dan berfikir, dan segala fenomena yang berlaku seperti bagaimana matahari naik dari barat, dan kenapa berlaku kehilangan lebah madu.

Al-Quran Menjelaskan Technology ICT

Al-Quran telah menjelaskan ilmu ICT sejak 1400 lagi. Misalnya pada surah Az-Zaariyat (51:1-11).

Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya; (1) Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki); (2)Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; (3)Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya; (4) (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar; (5) Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku. (6) Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya, (7) Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w). (8) Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran). (9) Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja, (10) (Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan). (11)
Az-Zaariyat (51:1-11)

Terdapat sebelas ayat berturut-turut yang tersusun rapi yang menjelaskan dengan terperinci teknologi komunikasi tanpa wayar termasuklah menjelaskan kesan kepada otak dan pemikiran manusia. Adakah ini satu kebetulan? Atau adakah Nabi Muhammad SAW pernah belajar ICT?

01 June 2011

JADUAL KULIAH ASSALAM BULAN JUN INSYALLAH

Jadual Kuliah Ilmu Jun11

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."