RAKAN BLOG MASJID

04 May 2011

RAPATKAN KAKI UNTUK LURUSKAN SAF


Meluruskan Saf - Melekatkan Kaki?

Terdapat sebahagian sahabat-sahabat yang menyarankan teknik tertentu untuk merapatkan saf dan meluruskannya ketika solat jemaah. Di antaranya ialah dengan melekatkan atau merapatkan kaki kita hingga menyentuh kaki jemaah di sebelah kiri atau kanan kita. Adakah ini termasuk dalam perkara wajib atau sunnah dalam meluruskan saf? Itu yang akan saya bicarakan dengan ringkas di sini.

Sejak di Jordan semasa belajar dahulu, saya mula nampak gaya sebahagian orang-orang Arab di sana solat jemaah iaitu mereka begitu mementingkan saf yang lurus dan rapat. Ini berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum pergi ke sana iaitu di beberapa masjid dan surau di Malaysia. Di Malaysia, dilihat para jemaah kurang memberikan perhatian untuk meluruskan dan merapatkan saf dan tidak bersemangat seperti apa yang saya temui di Jordan dan beberapa negara Arab lain yang sempat saya kunjungi.


Pembacaan dan pembelajaran yang berterusan telah memperkenalkan saya tentang sebahagian yang menyeru dengan semangat ke arah teknik khas dalam merapatkan dan meluruskan saf iaitu - melekatkan kaki kita dengan kaki orang yang berada di sebelah.Mereka mempromosikan 'idea' ini seolah-olah itulah yang disuruh di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih dan tidak syak lagi ia adalah wajib.

Namun pembacaan dan pembelajaran seterusnya menjadikan saya tahu bahawa itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Izinkan saya untuk menukilkan sebahagian perkara yang berkaitan tajuk ini iaitu - merapatkan dan meluruskan saf solat:

1- Terdapat hadith-hadith sahih yang menyuruh dan menegaskan tentang keperluan meluruskan dan membetulkan saf ketika ingin solat berjemaah.

2- Bukan setakat arahan dan suruhan, malah Nabi s.a.w. sendiri meluruskan saf pada peringkat awal kemudiannya setelah beberapa lama akhirnya para sahabat telah pun faham dan Nabi s.a.w. cukup sekadar memberikan arahan.

3- Para sahabat selepas kewafatan Nabi s.a.w. juga amat menitikberatkan hal ini dan bersungguh-sungguh dalam menjaga kesempurnaan saf solat.

4- Majoriti ulama sejak dahulu hingga ke zaman kini menyatakan bahawa meluruskan dan membetulkan saf ini adalah 'Sunat Muakkad' dan bukanlah wajib.

5- Dari segi cara dan teknik pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah dirapatkan dan diluruskan. Tidak ada pula penekanan sejak dahulu tentang 'melekatkan'.

6- Terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah utk 'melekatkan' kaki iaitu kata-kata para sahabat yang menyebut bahawa ketika di zaman Nabi s.a.w., ada sahabat-sahabat yang 'melekatkan' bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, tapak kaki dengan tapak kaki serta tumit dengan tumit. Hadith ini ialah keadaan sebahagian sahabat semasa menerima arahan Nabi s.a.w. 'meluruskan saf'. Maka ia bukanlah sabda Nabi s.a.w. tetapi ia adalah satu perkara yang berlaku di hadapan Nabi s.a.w. dan ia dibiarkan oleh Nabi s.a.w.

7- Hadith di atas merupakan hujah bagi mereka yang menyatakan bahawa itulah 'satu-satunya' cara merapatkan dan meluruskan saf. Tetapi kalau kita melihat dari sudut hadith itu sendiri, adakah ia persetujuan dari Nabi s.a.w. yang menghasilkan hukum?

8- Hadith persetujuan (taqrir) menurut ulama (terutamanya ahli Usul Fiqh) tidak semestinya membawa kepada hukum 'wajib' atau 'sunat' malah ia juga boleh membawa hukum 'harus'. Inilah yang dibincangkan dalam hal hadith meluruskan saf ini.

9- Penekanan yang diberikan oleh majoriti ulama fiqh dan hadith zaman berzaman ialah ke arah meluruskan saf dan membetulkannya tetapi tidaklah sampai membawa bukum 'wajib' atau 'sunat' untuk 'melekatkan' tumit dengan tumit atau tapak kaki dengan tapak kaki.

10-Maka janganlah kita yang berpegang dengan fahaman 'mesti' atau 'sunnah' untuk melekatkan kaki ini merungut kononnya masyarakat sudah tidak lagi mengamalkan sunnah dalam meluruskan saf hanya kerana mereka tidak 'melekatkan' kaki. Ya, memang sunnah meluruskan dan membetulkan saf, tapi adakah cara 'melekatkan' itu sunnah?

11-Bagi mereka yang bertemu dengan mereka yang berpegang dengan pandangan 'melekatkan' ini pula hendaklah menasihat dengan baik dan gunakanlah penerangan ringkas saya ini sekadar untuk memulakan perbincangan.

Untuk lebih lanjut, insya Allah saya akan berusaha untuk mengadakan diskusi berkaitan topik ini jika diberikan kesempatan dan peluang.

wallahu a'lam
Posted by Detektif Tajdid

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."