20 October 2011

APA MAKNA SUFI DAN SIAPA ?

Makna Ringkas Sufi

Sesetengah orang mengatakan: “Para sufi dinamakan demikian hanya kerana kemurnian (shafa) hati dan kebersihan tindakan mereka (athar).”

Bisyr ibn al-Harits mengatakan: “Sufi adalah orang yang hatinya tulus (shafa) terhadap Tuhan. Ulama lain menyatakan: “Sufi adalah orang yang tulus terhadap Tuhan dan mendapat rahmat tulus dari Tuhan. “

Sebahagian mereka telah mengatakan: “Mereka dinamakan sebagai para Sufi kerana pada baris pertama “shaf” di depan Tuhan, kerana besarnya keinginan mereka di hadapanNya”.

Sesetengah menyatakan: “Mereka dinamakan Sufi kerana sifat-sifat mereka menyamai sifat-sifat orang yang tinggal di serambi masjid (shuffah), yang hidup pada masa Nabi SAW “yang lain-lain lagi telah mengatakan: “Mereka dinamakan sufi hanya kerana kebiasaan mereka mengenakan baju dari bulu domba (shuf).

Nabi Muhamad SAW Contoh Utama

Tidak syak lagi Nabi Muhamad merupakan contoh unggul dalam membicarakan pemikiran sufi dan alamnya. Hidup Rasulullah yang penuh dengan penderitaan, pengorbanan demi menyampaikan risalah Islam ini menggambarkan ciri-ciri kesufian dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Hampir semua kitab yang menulis tentang baginda menceritakan bagaimana keadaan rumahtangganya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah dan makanan yang enak malah alas tidurnya hanya berbekalkan tikar yang apabila tidur di atasnya, bekasnya terlekat di pipinya. Bukan sahaja sajian roti kering yang dibuat dari tepung kasar dengan segelas air minum, sebutir atau dua butir kurma yang sememangnya telah diketahui umum.

Hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari menceritakan bahawa Saiditina Aisyah pada satu ketika mengadu kepada Urwah dengan katanya: “Lihatlah Urwah, kadang-kadang berhari-hari dapurku tidak bernyala..”

Ibnu Masud menerangkan bahawa beliau pernah masuk ke rumah Rasulullah dan didapatinya Nabi sedang berbaring di atas sepotong anyaman daun kurma yang membekas kepada pipinya. Dengan sedih Ibn Masud bertanya: “Ya Rasulullah apakah tidak baik aku mencari sebuah bantal untukmu?”. “Nabi menjawab: “Tidak ada hajatku untuk itu. Aku dan dunia adalah laksana seorang yang sedang bermusafir, berteduh sebentar di kala hari sangat terik di bawah naungan sepohon kayu yang rendang, kemudian berangkat dari situ ke arah tujuan lain yang kekal”.

Dalam sebuah riwayat lain bahawa pada suatu hari Nabi teringat dalam sembahyangnya, bahawa di rumahnya masih tersimpan satu pundi-pundi emas yang belum disampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Lalu diringkaskan sembahyangnya dan dengan tergesa-gesa baginda pergi membahagi-bahagi sedekah itu kerana baginda tidak ingin sepotong emas pun tinggal di rumahnya.

Terdapat juga dalam cerita bahawa pada suatu hari pernah diletakkan orang di depannya sekaligus tujuh puluh ribu dirham emas. Semua wang itu emas itu seketika itu juga dibahagi-bahagikan dan sebutir pun tidak ada yang tertinggal. Abdul Rahman bin ‘Auf menceritakan ketika Nabi Suci SAW wafat tidak ada yang tinggal padanya kecuali sepotong roti, sebilah pedang, seekor kaldai tunggangan dan sebidang tanah untuk anaknya Fatimah Az-zahra’.

Demikianlah keadaan pemimpin agung dunia ini yang menjadi contoh berzaman untuk membuka mata sahabat dan pengikutnya melihat, apa tujuan sebenar manusia itu hidup. Untuk membuka hati keluarga dan umatnya lebih luas daripada perutnya, daripada mulutnya, daripada mata, hidung dan telinganya, sehingga tubuh yang kasar itu dapat menerima percikan cahaya Ilahi yang lebih tinggi tentang wujud, sehingga dengan demikian dapatlah manusia merasai tujuan hidup yang sementara ini untuk menuju akhirat yang kekal abadi.

Rumahtangganya menjadi contoh, pakaiannya menjadi ikutan, makanannya menjadi teladan dan sabar serta toleransinya pun menjadi panduan.

Para sahabat

Golongan sahabat merupakan golongan sufi. Mereka bersama Rasulullah bangun berjuang menentang kekufuran dan kemunafikan. Mereka tidak segan menyatakan pendirian bersama Rasulullah. Merekalah petunjuk sepanjang zaman menerangi alam yang gelap, mewarnai kehidupan manusia menyusun susur atur masyarakat, menjiwai kemurnian yang luhur dan prinsip yang tegar.

Setelah zaman sahabat, munculnya zaman para tabien yang memunculkan ramai golongan yang mempunyai sifat dan personaliti anggun yang mencirikan kehidupan Rasulullah SAW.

Saidina Ali yang namanya begitu dominan dalam silsilah tareqat, bukan sahaja tokoh kezuhudan dan hikmah, malah beliau juga adalah negarawan ulung dan pemerintah dan syahid kerana keadilannya. Surat beliau kepada sahabatnya, Malik Asytar merupakan kod etika bertulis untuk panduan pemimpin negara. Dia adalah wujud yang merealisasikan ‘rahban fi al-lail wa fursan fi an-nahar”

Begitu juga Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi pemerintah yang mengekalkan kezuhudan walaupun sekelilingnya penuh kekayaan dan kemewahan. Sehingga terdapat kisah yang memperakui bahawa pada waktu tersebut tidak ada seorang pun rakyatnya yang layak menerima zakat lantaran kekayaan dan kemewahan umat. Sungguhpun demikian, style dan cara hidup pemimpin Khalifah Umar Abdul Aziz tidak pernah disebut sebagai pemboros, pengaut kemewahan negara, tidak pernah dicatatkan tentang ketamakan harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan harta rakyat dan seumpamanya.


Masyarakat hari ini harus sedar bagaimana seorang sufi mampu berperanan dalam pembangunan dan perkembangan ummah kerana seseorang sufi yang sebenar adalah mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik dan seikhlas mungkin.

Maka sufisme pada hari ini perlulah diungkapkan sebagai satu usaha untuk menuju redha Allah, cinta dan patuh kepada perintahNya dengan menempuh perjalanan Ilahiyyah seperti taubat, khauf wa raja’, zuhud, mahabbah, sabar dan sebagainya yang dengannya manusia akan lebih memakmurkan dunia ini menjadi ‘baldatun thaiyibatun wa rabbun ghafur’.


Sekian Wassalam...

2 comments:

  1. Penulisan yg jelas & memanfaatkan. Semoga sdr dpt postkan lagi artikel seumpamanya. JazakAllahu khayr.

    ReplyDelete
  2. Penulisan yg jelas & memanfaatkan. Semoga sdr dpt postkan lagi artikel seumpamanya. JazakAllahu khayr.

    ReplyDelete