18 October 2011
USTAZ RIDHUAN MOHAMAD NOR
Ustaz Riduan Mohamad Nor adalah antara penceramah yang kerap dipanggil berceramah ,memberi tazzkirah dan menjadi panel forum dan sebagainya di Masjid Assalam Bukit Sentosa.
Biodata
Ridhuan Mohamad Nor (B.A (Hons) UM. DIP. ED. UM. M.A UKM) berasal dari Besut, Terengganu. Dilahirkan pada 1 Jun 1971. Telah berumahtangga dan kini mempunyai enam orang cahaya mata (Muhammad Jundullah, Muhammad Saiful Islam, Fatin Najwa, Ummu Nusaibah, Muhammad Mujahid, Mujahidah).Mendirikan rumahtangga dengan Norleeza Abdullah (B.A (Hons) UM) pada tahun 1993 ketika sedang menuntut di Universiti Malaya.Beliau dan Norleeza adalah exco Kerohanian Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA).Riduan juga adalah exco Kerohanian Kolej Kediaman Pantai Puri UM . Beliau bergraduat daripada UM pada tahun 1995, pada tahun yang sama merupakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai, Setiausaha PAS Cawangan Flat UDA, juga sebagai Imam di surau An Nur, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Beliau telah menapak daripada Cawangan sehinggalah ke peringkat Dewan Pusat PAS Pusat, semua pergulatan sosial dan politik secara langsung ini akan dituangkan dalam karyanya ‘Memoir Pemuda”.Melalui wadah perjuangan Islam inilah beliau menghabiskan sebahagian besar umurnya, PAS sebagai Universiti kedua yang memberikan ilmu, mematangkan pengalaman, menajam tahap intelektual, merasai dihargai sebagai manusia, menghirup sejuta satu makna kehidupan dengan kepelbagaian latarbelakang ahli dan kepimpinannya.Melalui wadah Islam inilah Allah memberikan sejuta satu pengalaman berguna baik dengan sisi putih dan hitamnya, insan ini paling gugup dan bergemuruh didepan khalayak namun dengan pantas Allah menukarkan watak ini dengan keberaniaan apabila berdepan dengan audien apabila bergulat di medan jamaah.
Beliau adalah pengarang beberapa buah buku antaranya ‘Pertembungan Iman dan Kufur’, ‘Peperangan Rasulullah S.A.W’, ‘Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan’, ‘ Sejarah Pemalsuan Al-Quran’, ‘Ahzab Moden dan Masa Depan Islam’, ‘Penghinaan Terhadap Rasulullah: Implikasi Hukum’, ‘Islam Liberal dan Pluralisme Agama’ dan ‘Memperingati 100 Tahun Hasan Al-Banna’.”Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad”, “tajuk-Tajuk Utama Ramadhan’ (bersama dengan Nazri Chik), ‘Sejarah Dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden’, ‘Murtad: Implikasi Hukum Dan Fenomena, ‘Makkal Sakhti:Analisa Pilihanraya 2008, Pengaruh Ikhwanul Muslimin Terhadap PAS, ‘Duka Acheh Luka Kita’, ‘Catatan Pilu Tragedi Gempa Bumi Pakistan’.’Menggenggam Bara’ dan beberapa buah buku lagi termasuk yang belum diterbitkan seperti ‘Panduan Nuqaba’ Ceria’.
Beliau merupakan pengkuliah, penceramah, Motivator, menyampaikan kuliah-kuliah ilmu di surau-surau dan masjid-masjid di seluruh tanah air (Masjid KLCC, Masjid Tabung Haji, Masjid Ar Rahman, Masjid Ar rahimah, Masjid Saidina Ali dan ratusan masjid yang lain) dan di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta seperti di Jabatan Kerja Raya (JKR), Maybank, Petronas, Bank Pembangunan Industri, Pejabat Kastam Di Raja Malaysia, Malaysia Airlines System (MAS), Perodua, Pusrawi, Sapura Holding dan banyak lagi.
Beliau juga pernah diundang untuk menghadiri program-program pelajar Malaysia di luar negeri antaranya di Jordan, Mesir, Syria, Indonesia dan Jepun. Selain itu, beliau juga selalu diundang untuk menjadi ahli panel forum dan pembentang kertas kerja serta wacana ilmu berkenaan isu-isu agama, sosio-politik, budaya dan sebagainya.Menjadi Pengerusi Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD)
Beliau juga merupakan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dengan berwadahkan Muslim Care Malaysia , sebuah NGO yang menggalang kerja-kerja kemanusiaan di dalam dan luar negara. Pernah terlibat di Acheh, Jawa Barat, Cambodia, Jogjakarta, Pakistan, Kashmir dan khemah pelarian Palestin. Semua pengalaman misi kemanusiaan ini akan dituangkan dalam sebuah buku bertajuk ‘Peta Luka Umat Islam’ dan ‘catatan hidup”.
Riduan Mohamad Nor dijoloki dengan gelaran Ustaz We@ ustaz Wan (oleh anak-anak murid dan pengikut kuliah), Pok Wan (oleh anak-anak saudara, kaum keluarga), Duang (kawan-kawan rapat dan panggilan zaman remaja).
Hobi insan ini ialah membaca (sebuah buku satu hari paling minima), menulis( minima dua helai mukasurat satu hari), berkelana pusing dunia.Bercita-cita untuk meninggalkan dunia ini dengan lebih seratus buah buku pelbagai tajuk untuk ditatap oleh generasi selepas ini.Juga bercita-cita untuk mencetak ribuan kader-kader dakwah di negara ini melalui program pentarbiahan dan tajnid.Beliau menggilai tokoh pejuang seperti Hassan Al Banna, Sayyid Qutb, Said Hawwa, Pak Natsir, Maududi, Dr Burhanuddin.
Riduan juga meminati penulisan aliran kiri seperti Pramoedya Ananta Toer lewat karyanya ‘Keluarga gerila’, ‘anak bumi’, Boestaman dengan pelbagai koleksi buku,juga mencandui bahan-bahan penulisan dari tanah Seberang dengan pelbagai genre, buku-buku fikrah dan dakwah tulisan Ustaz Abu Ridho yang mencerahkan akal, novel-novel Islamik garapan Gola Gong, Mutmainnah, Habiburahman dan teman-teman dari Forum Lingkar Pena (FLP). Bersama beberapa penulis tempatan yang lain , Riduan sedang mengusahakan Jaringan penulis Islam Malaysia (JUNDI), wadah ini akan ditunggangi intuk memerkasakan dakwah dan harakah melalui medium penulisan.
Beliau telah berlanglang buana ke pelbagai kota di belahan dunia ini, Banda Acheh, Meulabuh, Blang Pidie, Brastagi, Batak Karo, Medan, Bandubg, Tasik Malaya, Cipanas, Pangandaran, Jogjakarta, Solo, Jakarta, Bogor, Puncak, (dan banyak Bandar-bandar lain di Indonesia), juga menyusup ke Pnong penh, Preai Riem, Chennang, (Cambodia), Fukuoka, Oita (Jepan), Irbid, Muktah ,Amman, (Jordan), Beirut (Kota Romantis yang melelahkan), Damascus, Nawar, (Syiria), Makkah, Madinah, Jeddah, (Saudi), Dubai, Brunei, Singapura yang sombong, Bangkok, Yala dan Wilayah Selatan yang bergolak rawan, Karachi, Islamabad, Rawalpindie, Balakot, (Pakistan- yang tegar dengan berantakan), Muzaffarabad (Kashmir yang bergolak),juga melintasi Asia Timur seperti Macau, Guang Dhong, Ghung Zhou (nama lamanya Canton yang sarat dengan sejarah), Bandaraya Hong Kong (yang tidak pernah tidur , mercutanda kapitalisme di Asia) dan banyak lagi tempat yang disinggahi untuk memperkaya koleksi hidup.
Allahuakbar!
ReplyDeleteIkon anak muda!
Alhamdulillah. Teruskan perjuangan menegak kebenaran dan menolak kebatilan !!
ReplyDelete