RAKAN BLOG MASJID

18 March 2012

BIARLAH AKU TERUS BERSEDEKAH

وعن أبي ذر – رضي الله عنه – قال : سألت النبي – عليه الصلاة والسلام – : أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله. قال : قلت : فأي الرقاب أفضل ؟ قال : أغلاها ثمنا وأنفسها عند أهلها .قلت : فإن لم أفعل ؟ قال : تعين صانعا أو تصنع لأخرق . قلت : فإن لم أفعل ؟ قال : تدع الناس من الشر ; فإنها صدقة تصدق بها على نفسك – متفق عليه Daripada Abi Zar radiallahuanhu “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Iman kepada Allah dan berjihad di jalanNya.” Aku bertanya lagi, “Memerdekakan hamba mana yang paling utama?” Nabi menjawab, “Hamba yang paling berharga dan paling mahal di sisi pemiliknya.” Saya bertanya lagi, “Jika saya tidak mampu melakukannya?” Nabi menjawab, “Kamu membantu seorang pekerja atau membuatkan orang yang tidak dapat bekerja.” Saya berkata, “Wahai Rasulullah, jika saya tidak mampu melakukannya?” Nabi menjawab, “Kamu meninggalkanberbuat jahat kepada orang lain, maka itu merupakan sedekah kamu atas dirimu.” Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kepada saya dengan apa yang ada hari ini. Saya tidak terlalu mengharapkan lebih dari ini. Jika Allah beri dan tambah, saya bersyukur. Sekira Dia menahan sesungguhnya itu adalah hak Dia. Sewaktu saya tamat belajar, hampir setahun saya menganggur, sedang saya sudah punyai seorang anak. Subhanallah! “Setiap ucapan Tasbih SEDEQAH.” Dengan sepenuh ketentuanNya saya mampu untuk hidup (survival). Saya tidak meminta-minta, tetapi rezeki Allah, jika ia datang siapa yang mampu menyeka. Walaupun ketika di luar negara saya pernah menjawat Yang Dipertua persatuan pelajar Kelantan dan biasa berurusan dengan pimpinan negeri, saya tidak ambil peluang jadikan ia passport untuk saya peroleh jawatan. Ada sekali secara langsung ke sebuah sekolah mengusung sijil, kalau-kalau mendapat simpati dan rezeki. Itu pun kerana mentaati desakan ibu saya. Bukankah memenuhi kehendak ibu sebesar-besar SEDEQAH. Tidak berbekal keyakinan saya pergi dalam keadaan saya tidak kenal siapa-siapa pun di sekolah yang jaraknya kurang lebih 4 kilometer dari rumah orang tua saya. Kerana tiada keyakinan itulah saya menapak keluar dari sekolah itu dengan tiada apa yang berpihak kepada saya kecuali pahala SEDEQAH senyuman semanis kurma. Sekolah itulah yang hari ini warganya banyak meletakkan harapan dengan jawatan saya hari ini saya boleh membantu sekolah. Di situ saya nekad tidak lagi akan mengguna modus operandi saya sama ke sekolah lain. Saya bermula berkhidmat di Yayasan Islam Kelantan (YIK) secara kebetulan berjumpa dengan seorang rakan yang menjadi mudir di sekolahnya. Kebetulan pula masa itu beliau kekurangan 3 orang guru. Ketika itu saya baru saja 2 hari bertugas di SMJK Chung Hua Kota Bharu sebagai guru ganti. Saya sambut pelawaan dan mencadangkan isteri saya yang ketika itu bekerja di sekolah rendah swasta di Kuala Lumpur. Seorang lagi, saya cadangkan seorang rakan yang pernah berjasa menyatukan saya dan isteri saya di Mesir! Bukan niat nak balas jasa itu, tetapi niat SEDEQAH. kebetulan dia juga menganggur seperti saya. Cuma lebih dia, berkepakaran dalam hal ehwal perkomputeran. Ringkasnya saya dan rakan saya diterima dan isteri saya ditolak. Alhamdulillah wa syukrulillah segala puji bagi Allah. Sabdaan Nabi “Setiap kalimah tahmid itu adalah SEDEQAH” Sepanjang berada di YIK, saya berkhidmat di dua buah sekolah, selama 8 tahun, sebelum dipelawa berada dalam jawatan saya pegang sekarang. Asalnya tiada perancangan langsung untuk meninggalkan YIK meskipun perasaan saya bagi disentap-sentap untuk meninggalkan sekolah terakhir saya kala itu. Kenapa dan mengapa tak perlulah saya khabarkan. Yang berlalu biarkan ia pergi. Kalau diungkit bimbang terguris kembali dan menyentuh peribadi orang lain boleh jadi pula menghakis pahala SEDEQAH saya. Selepas meninggalkan YIK, selama 5 tahun saya kehilangan anak murid. Terasa juga kerana saban tahun saya bertaaruf dengan ratusan manusia bernama pelajar. Seronok berusrah, bertamrin dan bermukhayyam bersama. Paling gembira bila bekas muris-murid saya itu sekarang sedang bekerja bersama-sama saya. “Dan menyuruh kebaikan serta mencegah kemungkaran itu adalah SEDEQAH” (Al Hadis) Bila ditanya apakah saya selesa berada di posisi kerjaya saya hari ini. Apa yang disebut sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan. Suatu jawapan yang bukan mudah untuk saya jawab dan ia terlalu subjektif. Tugas ini bukan suatu yang mudah. Terkadang berdepan dengan situasi dilemma, terkadang situasi yang bersimpang, terkadang keliru, terkadang lelah. Manusiakan suka mendedah yang negatif. Positif tak perlu saya senaraikan. Belum pun saya memahami tugas hakiki saya di Blok 1 Pejabat SUK, saya ditawarkan untuk berada di Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK). Fikiran saya bersimpang dilemma lagi. Tidaklah tahap keliru dan lelah. Situasi ditelan mati kanda, diluah mati abang terkena pada saya. Exco dan Pegawai Sumber Manusia. Kedua-duanya saya kenali agak dekat. Dan kedua mereka pula cukup rapat, rapat yang mengatasi kerapatan saya pada kedua-duanya. Kedua-duanya adalah mithali saya. Saya menganalisis, mengimbang. Istikahrah dan isytisayrah. Baru berapa bulan di sini, haruskah aku beralih profesyen lagi. Oh! Ya Tuhanku! Dalam serba salah saya mengadap sembah kepadaNya. Saya memilih untuk kekal dengan sedia ada dengan alasan saya baru mahu bermula di sini. Walaupun saya agak optimis sekiranya saya memilih untuk ke PKINK, exco saya tiada masalah. Saya diberi jaminan-jaminan masa depan berada dalam agensi Kerajaan Negeri itu. Ya, sedang jawatan yang saya sandang ini adalah tidak kekal untuk saya. Saya hanya pegawai bertaraf kontrak yang tiada apa-apa keistimewaan kecuali orang kata saya orang besar yang bersasa kurus. Saya tidak kisah akan itu, kerana saya yakin sebenarnya sebagaimana saya mula memperoleh kerja, ia adalah kerjaan Allah. تعين صانعا أو تصنع لأخرق Atas inspirasi hadis di atas, peluang yang ada saya usahakan untuk membantu rakan lain pula. Saya mencadangkan rakan lain berada di situ. Saya yakin juga pada hadis: الله في عون العبد ما دام العبد في عون أخيه “Allah membantu hambaNya selama hambaNya membantu saudaranya” Allahuakbar! Allah mengatur jalannya. Kata Nabi “Setiap Takbir itu adalah SEDEQAH.” Bukankah membantu rakan itu akan memperoleh pahala SEDEQAH yang tidak ternilaikan. Setiap kali rakan-rakan memerlukan khidmat dan tenaga, selalunya saya jadi rujukan kerana saya punya tentera yang boleh dikerah bila-bila masa. Setiap tentera itu saya kenal hati budi, kudrat dan kebolehan mereka. Termasuk juga barangkali mereka mengenal kelemahan dan kedhaifan saya. Selama 8 tahun di sekolah saya membina empayar tentera manusia. Saya adalah lantikan politik. Saya dilantik oleh orang-orang politik terdiri daripada pimpinan saya. Saya sedar diri siapa yang letak saya di situ. Atas sifat kenallah, saya cuba kenal diri saya, siapa saya tanpa mereka. Sebagai balasannya saya perlu menggunakan peluang yang ada untuk membantu semula pihak yang membantu saya. Pihak itu tentu pihak yang memperjuangkan agama agar ia menjadi suatu negara. Suatu sisi saya bekerja dengan kerajaan dan pada sisi yang lain saya adalah lantikan politik. Bukan mudah untuk mengimbangi keduanya. Saya perlu ada fiqhu aulawiyyat dan fiqhu muazanaat. Saya perlu memilih proriti dan pertimbangan keduanya. Dan pasti neraca saya lazimnya tercondong kepada jemaah yang saya dokongi. Biarpun saya terikat dengan pelbagai pekeliling dan peraturan penjawat awam, saya tetap mengutamakan jemaah saya. Ketika saya melaksanakan tugas-tugas kerajaan juga, objektif dan misi saya gariskan demi memperkasa jemaah. Saudara bekerja sehingga jam 5 petang, sedang kami kerja sampai ke lewat malam, terbabas ke dinihari. Balik pukul satu pagi dan sewajibnya berada di pejabat seawal jam 8 pagi. Bukan sekali, sehari dua, bahkan kadang-kadang berturut-turutan hari malam. Penat memang penat, tapi bukankah Nabi mengatakan setiap 360 persendian itu ada padanya sedeqah. Kepenatan itulah yang akan menjamin kedudukan kita di hadapan Yang Maha Esa أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله Saya tiada alasan atau cari idea buat alasan untuk lari dari perjuangan. Berapa ramai rakan-rakan saya yang sama belajar, sama berorganisasi, sekali berusrah tapi hilang dalam dunia sendiri. Tidak sedih, cuma kadang-kadang terkilan juga. Sebagai menyejuk hati, saya sematkan bahawa masing-masing ada posisi membawa matlamat yang sama. Cara saja yang berbeza. Bukan semua orang tugasnya memimpin bala tentera atau mengusung panji syiar. Kekallah di kedudukan kalian, asal kalian juga sedang berjuang di jalan Allah. Terimakasih Ustaz Baha yang melorongi saya mengenali Berek 12. Bila Iblis memain perasaan saya dengan alasan-alasan persis kekangan masa dan pelbagai tuntutan kerja saya akan menjawab kepada Iblis dan bermonolog pada diri saya “Tok Guru Menteri Besar lagi sibuk dari aku!.” Mursyidul Am, Pesuruhjaya Negeri dan Menteri Besar! (sekadar mengambil contoh tiga itu sahaja) Pun begitu saya tidak dapat dari daripada berdepan dengan karenah. Tolonglah wahai tuan-tuan memahami saya. Janganlah merebut peluang wewenagnya atas diri saya yang maha kerdil ini. “Ustaz Din, ejas JKR 10 malam ni!!” “Ustaz, nok baju 100 helai, pisoh lah lagu mana pun dengan bos enta. Lusa nok guno!” “Oloh! Nok surat ko? Enta ejas la lagu mano pun biar buleh!” “Ana nok enta gi opis MB, oyak belah-belah mano pun kena jadi!!” Masyaallah! Pahala SEDEQAH yang hendak dilorongkan pada saya biarlah dengan sepadan dengan keupayaan dan kudrat mampu saya! Saya juga bagaikan fobia apabila dilontar dengan pelbagai kata-kata. “ Dia orang kemah, ore sedak” “ Ustaz ore besar lo ni” والكلمة الطيبة صدقة “Dan kalimah yang baik itu adalah SEDEQAH” Masyaalah tabaarakallah!! Adakah kerja ini penuh dengan kemashyuran. Demi Allah tidak tuan-tuan. Saya minta jauh daripada tanggapan itu. Apa guna kemasyhuran jika ia menghancurkan. Apa guna kedudukan, seandainya kedudukan itu tidak menjamin untuk menghidu haruman syurga. Apakah dengan memakai kot blazer bertali leher kita sudah asal keturunan makan budu. Adakah kerana bersuit hitam baju kebangsaan pandangan kita mula terdongak ke langit. Adakah dengan baju rasmi istiadat maka kita mula berkarenah birokarasi dengan rakyat marhaen? Jangan begitu tuan! Terngiang-ngiang kata syeikh kami, Syeikh Muhammad Nuruddin Al Makky “Setinggi mana pangkat kedudukan kamu, sedarlah bahawa perut kamu sama juga membawa najis yang busuk!!” Saya tidak pasti nasib saya waktu terdekat ini. Pilihanraya Umum 13 suatu yang pasti mendatang. Apabila dewan dibubarkan maka saya juga akan turut tergugur. Menunggu-nunggu pula nasib diuntung. Seperti awalnya ia sedikitpun tidak menggangu emosi saya. Saya serah tawwakal kepada Allah. Bagaimana tawwakal tanpa usaha?. Itu lain. Hidup saya ini sudah suatu usaha. Selebihnya saya bergantung kepadaNya. Saya yakin jemaah saya tidak mengiya-iyakan saya. Soalan akhir, apa guna saya ceritakan segala amalan saya yang berkait dengan sedeqah saya. Tidakkan ia akan menghangus dan umpama debu yang mansura. Tidak!! Saya menyakini firman Allah الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, Maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah: 274) Jangan kau alas hatimu itu, Dengan secebis warna kehitaman, Dialah seperti anai-anai, Lambat laun hancurlah dirimu Nau’zubillah daripada sifat yang menghanguskan kayu api SEDEQAH saya. Namun terus terang saya katakan saya punya sifat dengki dan iri hati. Dengki dengan orang yang memiliki lebih ilmu yang menggunung tinggi dan orang yang lebih banyak berSEDEQAH. Anda ada prinsip saya ada prinsip Sebagaimana saya menyantuni prinsip saudara, railah prinsip saya Saya terbuka mengubahsuai prinsip saya Kendatipun saya tiada hak mempertikai konsistensi prinsip saudara. Biarkan saya terus BERSEDEQAH

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."