11 March 2013
JANGAN PERKECIL AMALAN BAIK WALAU KECIL SEKALIPUN
Abu Zar melaporkan, "Nabi Muhammad menjelaskan kepada saya, 'Saudara jangan sesekali memperkecilkan satu amalan yang baik walau bagaimana kecil sekalipun. Walaupun hanya senyum kepada kawan saudara'." - Direkodkan oleh Muslim
Jika kita dapat menghayati Hadith di atas dan mengamalkannya, sudah pasti kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya dalam apa saja yang dilakukan.
Marilah kita cuba sedaya upaya untuk:
Segera melakukan kebaikan kecil dan jangan teragak-agak mengamalkannya di mana saja adanya peluang. Jangan peduli samada orang hargainya atau tidak kerana kebaikan yang kita sangka kecil itu sebenarnya adalah besar!
Sentiasa menghargai kebaikan yang ada pada orang lain sekecil manapun. Jangan diremehkan seseorang hanya semata-mata dia tidak melakukan kebaikan yang besar dan anggap banyak kebaikan kita lebih baik daripada kebaikannya.
Mari kita cuba senaraikan kebaikan kecil yang boleh kita lakukan dan hargainya apabila orang lain lakukan:
Memberi senyuman. Banyak orang cepat-cepat tunduk mengelakkan diri dari bertentangan muka dengan orang yang lalu di depannya sedangkan jika kita tunggu dan melihatnya, kita boleh memberikan senyuman. (Jangan salah guna pada pulak...fahamkan?)
Buang sampah kecil di karpet masjid atau surau. Ini perkara mudah yang boleh dilakukan oleh semua orang. Jika terlihat sebiji pasar atau secebis kertas kecil, segera buang atau masukkan dalam poket.
Belanja kawan minum. Ini perkara biasa yang ramai dah lakukan. Tetapi ada juga jenis yang asyik dibelanja kerana anggap mereka yang kaya sahaja perlu mengeluarkan duit dan dia terkecuali daripada belanja orang lain.
Tahan pintu ketika keluar jika ada orang dibelakang kita. Ramai juga yang jenis buka sedikit saja ngam-ngam muat hanya untuknya, walaupun tahu ada orang dibelakangnya, punyalah sombong!
Ucapkan terima kasih. Bila dibantu, ucapkanlah terima kasih dengan jelas. Kenapa malu-malu?
Keluar majlis sebentar bila nak buang angin. Ada jenis yang selamba sahaja mengalunkan bunyian nyaring ketika berada bersama orang lain.
............
Anda tambahlah pulak! berdasarkan amalan kecil yang biasa dilakukan moga idea tersebut dapat diamalkan dan anda mendapat ganjaran apabila saya dan pembaca lain mencontohi amalan anda.
No comments:
Post a Comment