12 August 2013

PUASA ENAM ADALAH PELUANG DAN RUANG UNTUK SEMUA ORANG

Ramadhan telah meninggalkan  tanggal 1 Syawal 1434H, hujan turun membasahi bumi menangisi pemergian bulan yang amat istimewa itu. Sayu memikirkan apakah dapat kita akan ketemui Ramadhan untuk kesekian kali? Kini Syawal mula menyingsing. Golongan kanak-kanak antaranya yang bergembira menanti dan menyambut kehadiran Eidulfitri.

Didalam kesibukan kita pergi berziarah sanak saudara, meraikan tetamu yang hadir kerumah, diharapkan amalan-amalan sunat yang dilakukan sewaktu berada didalam bulan Ramadhan dapat terus di istiqamah.

Antara amalan yang dituntut ketika berada didalam bulan Syawal ialah mengejarkan puasa enam Syawal. Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.

Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu.

Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan lantas disambung dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia bagaikan telah berpuasa selama setahun. " (HR. Al-Bazzar)

Puasa enam didalam bulan Syawal boleh dikerjakan bermula 2 Syawal sehingga akhir bulan tersebut pada tahun yang sama.

 Diantara hikmah berpuasa enam di dalam bulan Syawal adalah:

1. Pelengkap Pahala menyamai Setahun Penuh Berpuasa.
Amalan-amalan sunat akan menampung kecacatan amalan wajib yang telah dilakukan.Walaupun hukum berpuasa enam dibulan Syawal adalah sunat, tetapi ia memberi banyak fadhilatnya. Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban).

2.  Mendidik Kesabaran Diri.
Hikmah puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.

3. Mendekatkan Diri kepada Allah.
Selepas mengharugi bulan Ramadhan, mengejarkan amalan-amalan sunat seperti berpuasa didalam bulan Syawal dapat mendekatkan diri kita kepada Allah serta terhindar dari keseronokan dunia yang menipu.

 4. Tanda Bersyukur.
Hikmah berpuasa pada bulan Syawal dapat menzahirkan diri kita; bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah, iaitu bulan Ramadhan yang didalam nya terkabulnya doa apabila hambaya memohon, didalamnya amalan digandaka, di dalamnya terdapat malam lailatulqadar, malam yang terbaik dari seribu bulan, malam yang mana al-quran diturunkan. Juga menzahirkan rasa syukur di  panjangkan usia menyambut Aidilfitri (kembali kepada fitrah).

Justeru, marilah bersama-sama mengambil ruang yang masih ada didalam bulan Syawal ini dengan mengerjakan ibadah puasa sunat enam Syawal. Moga Allah memberi kemudahan kepada kita untuk mengerjakannya.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu...amin.

Sumber: http://intim.wordpress.com/2008/10/03/rahsia-dan-hikmah-puasa-enam/

No comments:

Post a Comment