RAKAN BLOG MASJID

Showing posts with label ihsan SchoolOfTots. Show all posts
Showing posts with label ihsan SchoolOfTots. Show all posts

28 January 2014

KAMU RUGI ?

Rukun iman ada enam. Yang pertama ialah percaya kepada Allah. Percaya kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Siapa Allah? Dia Tuhan semesta alam. Allah hanya Allah, tidak boleh sama dengan yang lain. Allah bersifat Esa. Allah adalah nama khas untuk Allah. Kalau diterjemah kalimah Allah kepada kalimah lain seperti God atau Tuhan, maka ia tidak sama.

Kalimah Allah itu unik dalam bahasa arab dulu kini dan selamanya. Tidak boleh diterjemah ke bahasa lain. Kalimah Allah layak di guna oleh sesiapa pun. Yang pelik bin ajaib bila nama Allah dijaga, tapi hukum Allah tidak dijaga?

Junjung segala perintah Allah. Tinggal segala larangan-Nya. Politik adalah bahagian dalam agama. Bila bicara soal politik di masjid, orang bising, ada yang komplen. Sedangkan yang dibicara ialah hukum Allah, perintah Allah. Mana boleh pilih2 hukum Allah. Beriman macamana kita ini kalau tidak ada ilmu? Percaya tapi tidak tahu. Kena tahu. Maka kena belajar. Kena cari ilmu supaya tahu. Sebab itulah hukum menuntut ilmu agama ini wajib. Percaya dalam kedaaan tidak tahu ialah tidak waras. Atau bahasa kasarnya bengong. Mesti kena belajar, taa'lum, kena mengaji. 

Menuntut ilmu agama itu fardu ain iaitu wajib bagi setiap lelaki dan wanita Islam. Wajib ini pada pandangan feqah buat dapat pahala, tinggal dapat dosa. Pada pandangan aqidah pun sama. Fardu pula pada sudut feqah sama dengan wajib iaitu buat dapat pahala tinggal dapat dosa. Namun berlainan pada sudut aqidah, Fardu itu bila buat dapat pahala, bila tinggal boleh rusak aqidah. Berat tu.

Pernah terjadi satu kes dulu, seorang pesalah minum arak di hukum sebat 40 sebatan oleh mahkamah syariah. Setelah mendapat pelbagai rayuan dan tekanan maka hukuman itu dikurangkan kepada 6 sebatan. Kemudian kes itu telah di tutup pabila si pesalah mendapat keampunan daripada pemerintah. Kes tinggalkan hukum Allah kerana tiada ilmu. Mana mampu seorang manusia mengampunkan dosa orang dengan Allah? Undang2 sivil dapat mencabar undang2 syariah? Yang parah lagi bila mahkamah syariah yang ada tidak mengikut syariah pun. Rusak aqidah bila tinggalkan hukum kerana tiada ilmu. 

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr: 1-3)

Surah yang pendek namun maknanya terlalu dalam. Allah bersumpah demi masa. Kenapa Allah bersumpah? Kerana ia sangat penting. Ia membicara perkara kehidupan hingga ke Akhirat. Manusia dalam kerugian. 

Digunakan kalimah insan. Dalam al-Qur'an biasa digunakan dua kalimah untuk membawa maksud manusia iaitu samada Insan atau An-Nas. Pada surah Al-'Asr ini Allah menggunakan kalimah Insan. Apa bezanya antara dua kalimah ini? Kalimah An-Nas ini digunakan sebanyak kurang lebih 100x dalam al-Qur'an manakala kalimah Insan pula digunakan kurang daripada 50x. An-Nas ialah mewakili semua manusia. Manakala Insan pula ialah mewakili orang2 yang beriman dan beramal dengan amalan soleh. 

Maka surah Al-'Asr ini menyatakan hai kamu orang2 beriman, semua kamu ini berada dalam kerugian. Apatah lagi seluruh manusia yang lain, lebih2 lagilah mereka itu dalam kerugian. Jelas? 

Rugi di sisi Allah bukan macam rugi yang selalu kita bicara iaitu macam rugi dalam berniaga keropok lekor dan sebagainya. Rugi di sisi Allah membawa begitu besar implikasinya yang tidak dapat di gostan iaitu kamu akan dihumban ke dalam bakaran api Neraka Allah. Itulah rugi di sisi Allah.

Jadi bila Allah bersumpah bahawa kamu semua orang2 beriman yang melakukan amalan soleh sekelian, kamu semua dalam kerugian. Tentunya bakal dihumban ke dalam api Neraka Allah. Ini perkara serius bukan perkara main2. Yang rugi ke Neraka. Yang untung ke Syurga. Sebab itulah kena ada ilmu supaya dapat memahami dan menjiwai al-Qur'an, baru boleh rasa terkesan dan sedar dari alpa yang lama.

Ada kisah seorang sufi, sedang dia membaca al-Qur'an tiba2 mati dia. Isterinya pergi mengadu hal kepada jirannya yang juga seorang sufi. Maka jirannya tadi bertanya surah apakah yang sedang dibacakan oleh suaminya tadi? Setelah diberitahu maka jirannya tadi pun turut membacakan, tiba2 dia juga turut gugur dan mati. Sufi mati baca al-Qur'an. Kita pula mati2 tak baca al-Qur'an. Itu beza orang yang bisa menjiwai al-Qur'an, gementar dan gerun dia akan segala ancaman dan larangan Allah.

Kamu semua dalam kerugian (kelompok manusia yang sudah ditapis tadi). Kecuali ada empat golongan yang tidak rugi. Empat golongan yang untung. Siapa mereka ini?

  1. Orang yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya iaitu dengan iktikad yang jazam (mati). Bukan sekadar mempertahan kalimah Allah tetapi mempertahankan segala hukum Allah dan perintah Allah.
  2. Orang yang beramal dengan segala amalan yang soleh iaitu semua amalan yang mengikut perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  3. Orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran iaitu menyampaikan yang haq walaupun pahit hatta boleh mengancam keselamatan diri, menyatakan yang haq itu haq dan yang bathil itu bathil kepada seluruh manusia tidak kira siapa pun dia.
  4. Orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran, iaitu orang yang menyampaikan kalimah Allah,  menyeru kepada Islam dan iman untuk kembali taat pada Allah dengan penuh sabar tanpa putus asa atau rasa jemu walaupun di halangi oleh pelbagai dugaan dan halangan.


Sudah tentulah lebih afdal untuk kita membaca dan mengaji dengan ulama' beriman akan tafsir surah Al-'Asr ini bagi kemantapan ilmu yang hakiki. Agar apa yang kita iktikad tidak lagi samar atau masih belum jelas sejelas-jelasnya. 

Ya Allah, masukkan kami ke dalam kelompok yang sedikit itu, kelompok manusia beriman yang beruntung di sisi Mu, walaupun mungkin rugi di sisi makhluk di dunia yang fana ini. Jadikan kami ini termasuk dalm kelompok umat Nabi SAW yang untung di Akhirat nanti, bukan kelompok yang rugi.

25 March 2013

HIBURAN DALAM ISLAM

Berhibur itu adalah fitrah manusia. Hati yang tidak dihiburkan akan menjadikan sesorang itu buta atau gila. Namun bukan semua hiburan itu hiburan tapi cuma tipuan.

Nabi Adam di hiburkan dengan segala kemewahan di Syurga namun masih belum lengkap sehinggalah Allah jadikannya seorang pasangan iaitu isterinya Hawa.

Bagi kaki pancing mungkin kepuasannya bila dapat memancing, dapat atau tak dapat hasil pancing perkara kedua, malah bila dapat ikan itu pun dilepaskan atau diberi kepada orang. Yang penting dia terhibur dengan hobi memancingnya itu. Maka hiburan bagaimanakah yang dibenarkan dalam Islam?

Apakah itu hiburan? Hiburan ialah sesuatu yang bisa gembirakan hati dan menghilangkan stress. Bagi seorang datok hiburannya mungkin dengan melihat cucu2 nya bermain di laman. Bagi seorang suami, hiburannya mungkin belai manja dan senyuman isteri tercinta atau masakan kegemarannya. Bagi seorang anak kecil, mungkin terhibur dengan alunan dodoian dan zikrullah di dakapan bapanya. Lenggok bacaan imam membaca surah juga menjadi hiburan para makmum. Hiburan itu sunatullah.

Hiburan bagaimana yang dibolehkan?
Ingat H I B U R A N.

H - Hati jadi tenang. Kalau hati makin serabut maka itu bukan hiburan. Mungkin dendangan nasyid, alunan qasidah atau bacaan al-Qur'an atau bagi seorang datok tadi bila dapat bermain-main dengan cucunya.
I - Ilmu bertambah. Hiburan yang baik ialah yang dapat memberikan kita ilmu. Contohnya lirik lagu yang ada mesej yang membina atau padat dengan pengajaran bermakna.
B - Berpada-pada iaitu hiburan mestilah berpada-pada dan sederhana. Bernashid kalau sampai 8 jam sehari maka itu sudah tidak kena.
U - Usah melampau-lampau dalam berhibur. Ianya adalah penyeri dan pelengkap bagi mencapai hati yang tenang.
R - Raikan hukum halal haramnya. Sekiranya ianya sesuatu yang haram maka tinggalkan dan jangan diteruskan, namun pabila ianya halal dan harus maka bolehlah diteruskan.
A - Akhlak iaitu sopan-santun mestilah dijaga dalam berhibur termasuklah cara berpakaian dan tutur kata.
N - Niat kena betul. Niat berhibur kerana Allah demi mancapai ketenanagan, mengurangkan pening atau meningkatkan produktiviti.

Islam adalah fitrah yang meraikan keinginan untuk berhibur dengan hiburan yang kena mengikut peraturannya dan tidak melanggar syariat. Antara penyebab sesuatu hiburan menjadi haram ialah kerana lokasi dan masa yang tidak sesuai hingga menggangu orang ramai. Hiburan yang melekakan dan menggalakkan pergaulan bebas. Hiburan itu mestilah tidak mengandungi content yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain atau mengandungi unsur2 syirik.

Lirik lagu juga mesti di perhatikan kerana ia tidak sepatutnya mengandungi ungkapan zikir yang tidak habis iaitu di baca separuh saja. Lirik yng lucah atau boleh meransang nafsu syahwat. Unsur2 pemujaan jin/makhluk, memuja penggunaan arak/dadah, melanggar adat sopan atau menidakkan ketentuan qada qadar. Unsur2 yang menghina atau mengaibkan orang. Menjadikan ayat al-Qur'an sebagai lirik lagu juga adalah haram. Begitulah juga aspek berpakaiana dan bertutur kata boleh menjadikan sesuatu hiburan itu haram.

Berhiburlah dengan hiburan yang dapat memberi kebaikan dan pahala, contohnya membaca al-Qur'an dan zikrullah hingga mencapai tahap sedap dan lazat. Carilah hiburan yang mententeramkan jiwa dan merapatkan diri untuk lebih taat kepada Allah. Kembalilah kepada Islam yang syumul, agama fitrah.

Kenapa ceramah Ust Azhar Idrus begitu mendapat sambutan hangat anak2 muda sekelian? Salah satunya ialah kerana UAI berjaya menyediakan hiburan bermanfaat kepada mereka.

Hadirkan diri ke majlis2 ilmu. Kalau di Selangor ini majlis ilmu ada di setiap masjid pada setiap hari. Sesuai dengan title negeri berkebajikan kerana majlis ilmu ada di mana2 maka jika diri masih jahii, memang salah diri sendiri kerana gagal meraikan ilmu yang disebarkan saban waktu. Kalau dulu tanggapan orang berjubah berserban sahaja yang dapat masuk syurga, apa tidaknya yang hadir ke masjid dan surau adalah orang tua2 bakal jenazah belaka.

Maka hari ini kita tarik anak2 muda dengan menyediakan platform sesuai termasuklah hiburan yang dibenarkan dalam Islam. Seorang Islam itu identitinya bukan sekadar masjid, surau, sejadah, kupiah dan jubah tapi kehidupan di luar sana. Ia bukan kemuncak tapi permulaan. Menjalani hidup Islam as the way of life itulah sebenarnya Islam. Islam 24 jam sehari semalam. Persepsi yang salah mestilah diperbetulkan.

Acap kali bila di hasilkan sebuah karya seperti drama TV misalnya digambarkan jalan cerita seorang yang sesat kembali ke pangkal jalan dengan penutupnya adegan menadah doa memohon keampunan di tikar sembahyang dengan linangan air mata, seolah-olah itu kemuncaknya. Sedangkan hakikat sebenar ialah itu hanya permulaan kepada perjalanan yang jauh menuju redha Illahi.

Semoga para karyawan seni sekelian dapat menghasilkan slot hiburan yang menjana persepsi dan hasil yang benar. Hidup ini sementara. Buat yang terbaik dan usah hidup dalam kerugian atau kesesatan lagi. Marilah kita beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Setiap kita punyai peranan untuk menyeru manusia kepada Allah.

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."