RAKAN BLOG MASJID

09 May 2011

Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin






Sabtu 7 mei hingga subuh 8 mei 2011
Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin

Sedutan tulisan yang menarik tentang aktiviti di Masjid AsSalam Bukit sentosa.
Mudahan ramai dari kita dan kariah yang boleh menulis sebaik ini dan boleh disumbangkan kepada assalambs@gmail.com untuk di ketengahkan bagi tatapan pembaca blog masjid. wallahualam.


..... Kami memilih meja yang terletak di bahagian tengah. Saya mengeluarkan
sekeping risalah kecil yang di ambil dari Masjid Muadz Bin Jabal tadi dan
bertanya kepada Rosli, "Hang kenal tak Ustaz ni?" Poster kecil yang
difotostat itu ialah perihal sebuah wacana ilmu bersama ulamak masyhur
nusantara Al Fadhil Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjarin Al Makiki 6 Mei 2011 Jumaat lepas solat maghrib di Masjid Muadz Bin Jabal. Air muka Rosli terus berubah. Ada nur kasih bercahaya di matanya. Dia menjadi bersemangat.
Katanya, "Ya aku mengenali tokoh ulamak hebat ini." "Dia selalu mengajar kitab di Masjid USJ Taipan", katanya. "Aku adalah salah seorang anak muridnya." Rosli memberitahu bahawa Syeikh Nuruddin adalah ahli ilmu dan pakar hadis yang tersohor. Berasal dari Banjar Masin Indonesia dari keluarga Ulamak besar. Menuntut ilmu di Mekah selama 8 tahun dan di Mesir selama 7 tahun dengan memperoleh BA Kuliah Syariah dan Diploma am "Dirasyat Ulya". Semasa di Mesir beliau telah mengadakan halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh Fi al-Din" untuk pelajar Nusantara.
Pengajian ini telah berjalan mencecah 20 tahun sehingga beliau digelar sebagai "Al-Azhar al-Thani". Pada tahun 2004 beliau menubuhkan pondok yang diberi nama Ma'ahad Az-Zain Al-Makki Al-A'li Littafaqquh Fiddein, Bogor Jawa Barat. Dan kini
dalam rangka menubuhkan sebuah lagi pondok di Bukit Pinang, Kedah yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah.

Syeikh Nuruddin juga telah mengarang dan mentahqiq lebih dari 50 buah kitab.
Hebat tokoh ini.

Saya agak terkedu sekaligus bersyukur kerana Syeikh Nuruddin akan berkunjung ke Masjid di khariah saya pada hari minggu ini dalam majlis Qiamullail Perdana dan Majlis Tafaqquh Fiddin.

***

Alhamdulillah saya dan isteri telah menyertai Qiamullail pada pagi tadi bermula 4 pagi dengan ibadah solat sunat tahajjud berjamaah 8 rakaat dan solat sunat taubah berjamaah 2 rakaat, disudahi dengan solat sunat witir.

Solat ini bimbingan imam jemputan dari rombongan Sheikh Nuruddin. Ruang solat masjid dipenuhi oleh para jemaah dari jauh dan dekat yang pada congakan saya sekitar 600 orang. Sungguh shahdu melihat saf yang memenuhi ruang masjid umpama solat Jumaat pula, tapi pada kesamaran cahaya lampu yang dipasang terhad. Bertahajjud bersujud di hadapan Allah, berzikir, dan berdoa memohon keredhaan dan keampunan-Nya.

Azan subuh dilaungkan oleh Muazzin tepat jam 5:43 pagi. Selesai solat subuh berjamaah, Nazir masjid Ustaz Abu Bakar Yan pun memulakan majlis dengan
mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekelian dan mengingatkan agar semua
menghormati adab2 dalam majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin yang memang
terkenal sebagai seorang guru yang begitu mengambil kira tentang adab tertib
dalam setiap majlis ilmunya.

Syeikh Nuruddin menyentuh persoalan kepentingan bermazhab dengan umpama
seorang yang ingin menuju satu destinasi contohnya untuk ke Kelantan dari KL
tetapi tidak begitu tahu selok belok jalannya atau tiada kereta sendiri,
maka elok benar ia menaiki bas ekspres kerana di sana dia tidak perlu risau
pasal selok belok jalannya atau masalah tiada keretanya, malah dia boleh
duduk dengan selesa di seat yang tersedia malah dapat tidur dengan lena. Dia
sebenarnya bertaklik kepada pemandu bas itu untuk membawanya ke destinasi
yang dituju. Maka begitulah kita ini bertaklik dengan Imam Shafie sebagai
pemandu yang akan membawa kita ke destinasi yang dituju.

Satu analogi lagi ialah kita teringin untuk makan nasi kerabu. Maka kita
bertaklik dengan Makcik pembuat nasi kerabu kerana kepakaranya yang memang
terbukti. Maka hasilnya kita dapat menikmati nasi kerabu yang kita idamkan
tadi. Tapi kita tidak boleh campur adukkan kepakaran tukang2 pembuat nasi
dagang, nasi lemak, atau nasi padang jika tujuan kita untuk menikmati nasi
kerabu, kerana ia akan jadi caca merba pula. Maknanya dalam bermazhab pula
tidak boleh untuk kita mencampur adukkan sesuatu fatwa itu mengikut mazhab
yang berbeza-beza. Kita pengikut mazhab Shafie bertaklik dengan Imam Shafie
mengikut segala kefahamannya yang berpandukan Al-Qur'an, Hadith dan ijmak
ulamak.

Ibarat orang yang menolak fahaman bermazhab pula ialah umpama seseorang yang
hendak makan nasi beryani kambing contohnya. Di depannya tersedia beras,
tomato, bawang, daging kambing, santan, rempah-ratus, maka silakan untuk
memasaknya menjadi nasi beryani kambing. Payah bukan atau mungkin agak
mustahil pada si jahil. Alangkan mudahnya jika kita beli saja kat gerai
depan pagar masjid Muadz Bin Jabal pada setiap tengahari Jumaat untuk satu
hidangan nasi beryani yang kita idamkan itu? Tidak dinafikan segala
persoalan dan panduan sudah terangkum dalam Al-Qur'an, namun di sana kita
masih memerlukan hadith dan ijmak ulamak untuk menfsirkan secara yang jelas
untuk mudah di ikuti. Justru dituntut sangat2 untuk kita menuntut ilmu,
mencintai majlis2 ilmu, menadah kitab dan ajaran ulamak2 muktabar.

Pada persoalan perpaduan ummah pula, Syeikh Nuruddin menyeru para tok2 guru
dan alim ulamak supaya memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di
negara ini dengan mencari titik2 persamaan dan bukannya menumpukan kepada
perkara2 perbezaan yang sebenarnya tidak banyak pun. Kita ini umat Islam
yang mengucap dua kalimah syahadah yang sama, bersolat mengadap kiblat yang
sama, berpuasa, berzakat dan berkunjung ke tanah haram untuk ibadah haji.
Ideologi dan aqidah yang sama. Perbezaan adalah lebih kepada perkara cabang,
maka di sana formula untuk bersatu padu mengukuhkan saf Islam mestilah
diutamakan untuk menghadapai musuh2 Islam.

Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki
berakhir pada sekitar pukul 8:30 pagi. Pihak masjid menyediakan hidangan
nasi dan gulai kawah untuk semua jamaah yang hadir. Alhamdulillah.

Posted by School Of Tots

08 May 2011

SUBHANALLAH DETIK BERSAMA SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI


Masjid As-Salam bertuah semalam 8 mei 2011 bila menerima kehadiran jemaah yang sungguh ramai kerana menantikan Ulama Besar terkenal Syekh Nuruddin Al-Banjari yang sudi menyampaikan kuliah subuh.
Alhamdulillah Allah telah membuka hati ramai orang hinggakan tidak kurang 1,00o orang bersama Syekh Nuruddin solat subuh yang diimamkan oleh anak muridnya yang merupakan pengajar mingguan tetap Masjid As-Salam bukan Sentosa iaitu tak lain Ustaz Hazri Hashim Al-Hafiz.









04 May 2011

RAPATKAN KAKI UNTUK LURUSKAN SAF


Meluruskan Saf - Melekatkan Kaki?

Terdapat sebahagian sahabat-sahabat yang menyarankan teknik tertentu untuk merapatkan saf dan meluruskannya ketika solat jemaah. Di antaranya ialah dengan melekatkan atau merapatkan kaki kita hingga menyentuh kaki jemaah di sebelah kiri atau kanan kita. Adakah ini termasuk dalam perkara wajib atau sunnah dalam meluruskan saf? Itu yang akan saya bicarakan dengan ringkas di sini.

Sejak di Jordan semasa belajar dahulu, saya mula nampak gaya sebahagian orang-orang Arab di sana solat jemaah iaitu mereka begitu mementingkan saf yang lurus dan rapat. Ini berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum pergi ke sana iaitu di beberapa masjid dan surau di Malaysia. Di Malaysia, dilihat para jemaah kurang memberikan perhatian untuk meluruskan dan merapatkan saf dan tidak bersemangat seperti apa yang saya temui di Jordan dan beberapa negara Arab lain yang sempat saya kunjungi.


Pembacaan dan pembelajaran yang berterusan telah memperkenalkan saya tentang sebahagian yang menyeru dengan semangat ke arah teknik khas dalam merapatkan dan meluruskan saf iaitu - melekatkan kaki kita dengan kaki orang yang berada di sebelah.Mereka mempromosikan 'idea' ini seolah-olah itulah yang disuruh di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih dan tidak syak lagi ia adalah wajib.

Namun pembacaan dan pembelajaran seterusnya menjadikan saya tahu bahawa itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Izinkan saya untuk menukilkan sebahagian perkara yang berkaitan tajuk ini iaitu - merapatkan dan meluruskan saf solat:

1- Terdapat hadith-hadith sahih yang menyuruh dan menegaskan tentang keperluan meluruskan dan membetulkan saf ketika ingin solat berjemaah.

2- Bukan setakat arahan dan suruhan, malah Nabi s.a.w. sendiri meluruskan saf pada peringkat awal kemudiannya setelah beberapa lama akhirnya para sahabat telah pun faham dan Nabi s.a.w. cukup sekadar memberikan arahan.

3- Para sahabat selepas kewafatan Nabi s.a.w. juga amat menitikberatkan hal ini dan bersungguh-sungguh dalam menjaga kesempurnaan saf solat.

4- Majoriti ulama sejak dahulu hingga ke zaman kini menyatakan bahawa meluruskan dan membetulkan saf ini adalah 'Sunat Muakkad' dan bukanlah wajib.

5- Dari segi cara dan teknik pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah dirapatkan dan diluruskan. Tidak ada pula penekanan sejak dahulu tentang 'melekatkan'.

6- Terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah utk 'melekatkan' kaki iaitu kata-kata para sahabat yang menyebut bahawa ketika di zaman Nabi s.a.w., ada sahabat-sahabat yang 'melekatkan' bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, tapak kaki dengan tapak kaki serta tumit dengan tumit. Hadith ini ialah keadaan sebahagian sahabat semasa menerima arahan Nabi s.a.w. 'meluruskan saf'. Maka ia bukanlah sabda Nabi s.a.w. tetapi ia adalah satu perkara yang berlaku di hadapan Nabi s.a.w. dan ia dibiarkan oleh Nabi s.a.w.

7- Hadith di atas merupakan hujah bagi mereka yang menyatakan bahawa itulah 'satu-satunya' cara merapatkan dan meluruskan saf. Tetapi kalau kita melihat dari sudut hadith itu sendiri, adakah ia persetujuan dari Nabi s.a.w. yang menghasilkan hukum?

8- Hadith persetujuan (taqrir) menurut ulama (terutamanya ahli Usul Fiqh) tidak semestinya membawa kepada hukum 'wajib' atau 'sunat' malah ia juga boleh membawa hukum 'harus'. Inilah yang dibincangkan dalam hal hadith meluruskan saf ini.

9- Penekanan yang diberikan oleh majoriti ulama fiqh dan hadith zaman berzaman ialah ke arah meluruskan saf dan membetulkannya tetapi tidaklah sampai membawa bukum 'wajib' atau 'sunat' untuk 'melekatkan' tumit dengan tumit atau tapak kaki dengan tapak kaki.

10-Maka janganlah kita yang berpegang dengan fahaman 'mesti' atau 'sunnah' untuk melekatkan kaki ini merungut kononnya masyarakat sudah tidak lagi mengamalkan sunnah dalam meluruskan saf hanya kerana mereka tidak 'melekatkan' kaki. Ya, memang sunnah meluruskan dan membetulkan saf, tapi adakah cara 'melekatkan' itu sunnah?

11-Bagi mereka yang bertemu dengan mereka yang berpegang dengan pandangan 'melekatkan' ini pula hendaklah menasihat dengan baik dan gunakanlah penerangan ringkas saya ini sekadar untuk memulakan perbincangan.

Untuk lebih lanjut, insya Allah saya akan berusaha untuk mengadakan diskusi berkaitan topik ini jika diberikan kesempatan dan peluang.

wallahu a'lam
Posted by Detektif Tajdid

TAHNIAH BILAL DAN SIAK DI PULAU PINANG !

Kira-kira 800 bilal dan siak di negeri ini akan menerima kenaikan elaun sebanyak 80 peratus mulai 1 Jun 2011 ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau berkata dengan kenaikan itu, kira-kira 400 bilal yang ketika ini menerima elaun sebanyak RM180 sebulan akan menerima RM324 sebulan, manakala elaun bagi kira-kira 400 siak akan dinaikkan kepada RM360 sebulan daripada RM200 sebulan.

"Keputusan untuk menaikkan elaun bilal dan siak ini dibuat pada mesyuarat MAIPP dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahagian agama Islam minggu lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Mansor berkata kerajaan negeri akan menanggung 70 peratus daripada perbelanjaan berkenaan yang berjumlah kira-kira RM2.3 juta manakala MAIPP pula menanggung 30 peratus kos terbabit, berjumlah hampir RM985,000

02 May 2011

JOM KETEMU TUAN SYEIKH !



Ingat pada 4 jamadil Akhir, 1432/ 8 Mei 2011 di Masjid As-Salam !
Ahli Kariah Masjid As-Salam Bukit Sentosa dan sekitar Bukit Beruntung dan umumnya DUN Batangkali di jemput hadir Qiamulail dan kuliah subuh dengan Tuan syeikh Nuruddin Al-Banjari yang memang penuh jadualnya. sedemikian , kita jangan lepaskan peluang datang beramai-ramai, insyallah ada juadah istimewa pagi selepas kuliah.

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."