RAKAN BLOG MASJID

13 January 2014

TAHUKAH BILA ALLAH PILIH KITA !

Allah Pilih Aku

"Jemput ke Masjid malam ni ada Qiamullail pimpinan Ust Hazri," begitulah sms yang di terima isteri saya daripada seorang kawan. Mesej itu isteri saya terbaca tika bangun solat subuh. Mesej berkenaan dihantar oleh kawan tadi pada pukul 3:20 pagi. 

Sebelumnya iaitu pada pukul 8:20 malam isteri saya telah mendapat sms, "Datanglah ke masjid, malam ni Ust Uda Kassim, best." Sms itu juga dihantar oleh kawan yang sama. Mungkin kawan isteri saya ini kehairanan kerana beberapa hari ini tidak melihat kelibat saya dan isteri di Masjid. 

Pagi ini setelah habis bersarapan saya berbual-bual santai dengan isteri. Kata saya, "Allah sebenarnya nak uji kita. Perasan tak beberapa hari ini walaupun niat di hati nak berkunjung ke Masjid saban malam seperti biasa tapi Allah telah memberikan beberapa halangan dan ujian kecil. Allah tidak memilih kita untuk ke rumah-Nya, menjadi tetamu-Nya." 

Hasilnya ialah kita telah gagal berkunjung ke Masjid. Allah tidak memilih kita untuk menjadi tetamu-Nya untuk beberapa malam ini. Mungkin untuk sedarkan balik bahawa mu pergi ke Masjid bukan sesuka hati mu saja tetapi mu telah di pilih. Maka setiap kali terpilih untuk ke Rumah Allah angkatlah tangan berdoa penuh kesyukuran, "Ya Allah, aku syukur Engkau telah memilih aku untuk ke Masjid pada kali ini, Amiiin."

Allah nak uji supaya perbetulkan niat. Aku ke Masjid ini bukan sebab aku balik awal dari ofis atau sebab aku suka Ustaz ini atau Ustaz itu. Aku bukan ke Masjid ini kerana aku ini kaki Masjid atau aku ini cinta ilmu. Bukan. Aku ke Masjid ini nawaitu kerana Allah.

Allah yang memilih aku untuk ke Masjid malam ini. Allah memilih aku. Aku yang terpilih berbanding dengan 30,520 umat Islam yang lain yang ada di khariah Masjid ini. Allah yang pilih aku. Bukan saja-saja aku mari ini. Allah yang gerakkan hati aku untuk mari. Allah yang bagi kelapangan, kesihatan, kemudahan untuk aku mari malam ini. Aku menjadi salah seorang daripada 82 orang yang berada dalam kuliah maghrib malam ini, Alhamdulillah.

Saya merenung kembali dialog dengan isteri malam tadi. "Pa, pergi masjid tak malam ni?" Saya sebenarnya sampai ke rumah sebelum maghrib dari ofis. Mengikut kebiasaannya ia memberi suasana yang kondusif dan ruang yang lapang untuk saya dan isteri sempat ke Masjid sebelum maghrib atau paling tidak pun berkunjung selepas menunaikan solat maghrib berjemaah di rumah dahulu.

Setelah berdiam diri seketika saya bersuara, "Tak kot Ma sebab kaki papa ni sakit lagi la." Tu dia alasan yang agak munasabah. "Ok," sampuk isteri saya mudah. Allah nak uji apakah aku ini sudah mantap iman dan kukuh akidah. Rupanya goyang dan mudah sangat goyahnya, bak pokok pisang di kocok angin, terhoyong-hayang menunggu rebah. Iman yang turun naik.

Kalau pada kebiasaan, isteri yang agak mantap pendiriannya untuk ke Masjid setiap malam kerana begitu teruja dengan majlis2 ilmu yang berlangsung dan pautan hatinya yang katanya begitu tenang dan damai tika berada di Rumah Allah, akan menafikan alasan yang saya beri untuk tidak ke Masjid malam ini. "Boleh tak mama pergi sendiri ke Masjid malam ni?" Respon sebegitu yang saya biasa dengar. Tapi malam ini rupanya Allah mahu uji. 

Nikmat ibadah yang Allah tarik balik untuk beberapa hari ini. "Ya Allah, menyesalnya mama dah beberapa hari tak dapat ke Masjid," keluh isteri saya menuju ke dapur tadi. Allah uji dengan kesibukan isteri saya masak dinner untuk anak2 kami yang balik dari UIA. Allah sibukkan dengan kerja2 rumah yang tak berkesudahan. Allah uji dengan suami yang tak berapa sihat.

Allah uji pula saya dengan beberapa ujian juga. Malam pertama hari tu tak sempat ke Masjid kerana balik lambat kerana urusan anak di UIA dan beli netbook anak. Malam kedua, balik lambat sebab ada urusan kerja. Malam kedua di timpa masalah demam dan terpaksa menelan ubat dan berselimut di katil. Malam ketiga pula di uji dengan sakit kaki. Malam keempat, walaupun balik awal tapi di uji lagi dengan kepenatan dan rasa tidak sihat. Semuanya Allah nak uji.

Maka benarlah aku ini terpilih untuk ke Masjid. Ia bukan berlaku secara gitu2 saja. Siapa yang pilih? Allah. Ibarat kita tidak akan sembarangan menerima orang asing untuk menjadi tetamu di rumah kita. Allah akan memilih siapa yang Dia ingini untuk menjadi tetamu di rumah-Nya.

Saya dan isteri bukan tiada niat untuk ke Masjid. Memang dah niat. Memang dah rancang. Tapi asbab sedikit ujian yang Allah berikan, segala hajat itu gagal terlaksana. Betapa mudah goyahnya. Ingatkan sudah utuh dipasak hingga tertegak sebagai binaan yang kukuh. Rupanya tanggapan yang meleset sama sekali. Allah hanya uji sedikit sahaja, berkecai runtuhnya.

"Ya Allah, pilihlah aku untuk menjadi tetamu-Mu. Ya Allah, kurniakan kami taufiq dan hidayah-Mu." Apakah itu taufiq? taufiq itu ialah kekuatan untuk melaksanakan hidayah Allah. Allah dah bagi hidayah untuk pergi ke Rumah Allah, mengerjakan solat2 sunat, mengerjakan solat fardhu berjemaah, dan duduk di majlis ilmu tetapi kekuatan dan iltizam untuk melakukannya tiada atau diberi sedikit ujian, maka gagal juga. Justru itulah taufiq sangat utama. Mesti di pohon berpasangan dengan memohon hidayah Allah.

Sebagai konklusi usahlah dibangga aku ini kaki masjid atau pencinta majlis ilmu. Semua milik Allah. Allah bisa membolak-balik hati seseorang dalam split second. Usah bangga diri apatah lagi riak. Usah fikir aku ke Masjid ini sebab aku kaki masjid. Atau aku ke masjid ini sebab aku cinta ilmu.

Aku ke Masjid ini kerana Allah. Aku taat pada Allah. Aku mencari redha Allah. Aku ke Masjid kerana tiada sebab lain. Aku ke Masjid bukan kerana makhluk. Bersihkan hati ini. Kosongkan hati ini. Isikan dengan Allah semata. "Ya Allah, kembalikan nikmat ke Masjid ini. Janganlah engkau tarik balik nikmat ini."

08 January 2014

KAKI MASJID ?

Orang beriman yang cinta masjid ibarat ikan masuk ke air, kerana nalurinya ke situ, ingatannya sentiasa untuk ke Rumah Allah. Hatinya lega dan seronok setiap kali dapat duduk di masjid, dapat niat iktikaf, dapat mendirikan solat2 sunat, dapat zikrullah dan membaca al-Qur'an. Pernah lihat ikan bila di lepaskan ke dalam air kolam? Gembira dia tidak terkata.


Bersiap siaga untuk ke masjid walaupun saban hari mungkin sampai hampir senja ke rumah dari tempat kerja. Hatinya terikat di masjid. Terasa rugi benar jika tidak menghadiri kuliah2 maghrib yang diadakan setiap malam di masjid. Segala ilmu yang dia dapat di catit, di pahat di dada, di amalkan dan disebarkan. 

Teruja sungguh dia menatap jadual kuliah dengan slot2 ceramah penuh setiap bulan tertampal di papan kenyataan masjid. Sibuk dia menyemak ustaz mana yang tertera namanya di situ. Tenang jiwanya.

Nama2 regular seperti Ust Hafizi Hussen, Ust Kamal Azhari, Ust Irwan Syah, Ust Fazlur Rahimi, Ust Zahidi Abdullah, Ust Hazri Hashim, Ust Sidek Nor dan Ust Wan Shamsuddin, semuanya menjadi pencerah penyuluh jalan belaka dengan ilmu tasauf, tauhid, feqah, tafsir, hadith dan sirah. Pelajaran dan pengajian ilmu yang percuma. Kenapa tidak menyahut nya? Rugi Tuan2. Jadilah kaki masjid bukan kaki botol atau kaki bangku.

Syukur benar dia bila dipilih Allah untuk dapat mendirikan solat2 fardu secara berjemaah di masjid. Itulah ibaratnya seorang hamba Allah yang beriman dan bertaqwa untuk sentiasa taat kepada Allah. 

Begitu teruja dia untuk ke rumah Allah menyambut pelawaan Allah bertandan pada setiap kesempatan masa yang ada. Tika laungan iqamat keluar dari celah bibir muazzin maka dia terus bersegera untuk memenuhi sof pertama kerana faham sangat dia akan fadhilat berdiri di sof pertama pada setiap perlakuan solat berjemaah itu. Ibarat ikan puyu masuk ke air. 

Tambahan lagi dia tidak kedekut untuk menyebarkan salam dan mengukirkan senyuman kepada setiap tetamu Allah bila bertentang mata atau berselisih bahu. Begitu juga ringan tangannya bersedekah memperuntukkan sejumlah wang pada setiap malam untuk di masukkan ke dalam tabung bergerak masjid. Atau peluang khidmat pada setiap kesempatan yang ada. Bahagia nya dia seperti ikan pulang ke air atau sireh pulang ke ganggang.

Berbeza pula dengan orang yang munafik atau tiada keikhlasan di hati. Datang dia ke masjid itu boleh diumpamakan sebagai burung masuk ke sangkar. Terasa terpenjara jiwa, hati berkecamuk, minda tidak tenang dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk membebaskan diri dari sangkar yang mencengkam itu. Sekejap berlunjur, sekejap berpusing, kerap ke bilik air, sekejap menguap, acap kali tertidur. Keluh kesah dia. Mata menyudut pada kelemahan dan kekurangan.

Pantang ada sebutan daripada Ustaz yang berceramah yang terkena batang hidungnya atau menyentuh soal2 kebenaran walaupun pahit maka punggungnya terasa panas macam duduk atas bara api dan cuping telinganya terasa pedih dan dia pun tidak segan untuk bangun berlalu pergi dan terus keluar dari masjid. Ada makhluk sebegini. Rajinlah memerhati. Yang sedihnya ramai dari kelompok ini ialah golongan veteran yang rumah kata pergi kubur kata mari, namun hidayah masih terhijab untuknya.

Ada pula ramai jemaah yang usai solat terus bangkit macam kuih bangkit pergi entah kemana terutamanya tika solat jumaat. Begitu sombong dengan Allah hingga kan tiada kesempatan untuk zikrullah barang sebaris dua atau menadah tangan untuk berdoa bergantung harap pada Yang Esa? Sibuk sangatkah? Hingga masa 24 jam yang Allah bagi ini tidak cukup buatmu? Janganlah jadi manusia jahil yang tidak kenal diri. Begitu banyak nikmat yang Allah bagi dengan percuma, tapi engkau jadi angkuh, sombong dan lupa diri.

Ada juga manusia yang tidak ikhlas untuk beribadah di rumah Allah. Pergi ke masjid membawa nawaitu yang tidak jelas. Apakah kerana jawatan aku sebagai AJK, atau kerana menghabiskan masa lapangku, atau untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Wallahu'alam. 

Ketidakikhlasan ini kadang2 terserlah jua dengan izin Allah. Pelbagai penyakit hati menguasai dirinya. Maka tergolonglah mereka di kalangan orang2 yang rugi. Kenapa rugi? Kerana segala amal ibadahnya tadi tiada nilaian walau sekupang di sisi Allah SWT. Kekedang tu dia jadi asing atau segan untuk ke masjid kerana sifat dendam kesumat atau rasa tidak puas hati yang terbuku di hati.

Sebagai konklusi pilihlah untuk berada dalam kategori mana. Janganlah di sia2kan masa yang ada. Usahlah lagi dibazirkan baki usia yang tinggal ini. Ya Allah berkati sisa2 usia ku ini. Aku kah ikan yang terjun ke air itu atau aku kah burung yang terperangkap dalam sangkar emas? Tepuk dada tanya iman. Tuan suluh diri Tuan, saya suluh diri saya. Ya Allah, pilihlah aku jadi Kaki Masjid yang tegar, tidak mudah goyah.

07 January 2014

BANYAKKAN SELAWAT AGAR PEROLEH SYAFAAT RASULULLAH !

Semoga kita tergolong di kalangan orang yg mendapat syafaat Baginda Nabi Muhammad SAW...Amin...

=Perbanyakkan selawat untuk Baginda Nabi=
Saat-saat kewafatan Nabi Shallallah 'alaih wa sallam.

Pagi itu, nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan sesuatu di telinga Fatimah Radiallahu ‘anhu. Fatimah menangis mendengarnya. Kemudian nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam memanggil puterinya sekali lagi, lalu berbisik. Kali ini Fatimah ketawa keriangan.

Aisyah Radiallahu ‘anha dan isteri yang lain kehairanan lalu bertanya kepada Fatimah Radiallahu ‘anha. Dia menjawab:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan kepada ku bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang dihadapinya, lantas aku pun menangis. Kemudian baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan kepada ku bahawa akulah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepasnya, aku pun ketawa.
____________

Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam berada dalam pelukan isteri tercinta, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu. Saudara lelaki ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu, Abdul Rahman bin Abu Bakar muncul sambil membawa sebatang kayu sugi.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam memandang ke arah Abdul Rahman. Si isteri tercinta memahami isi hati suaminya. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu tahu nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam ingin kan kayu sugi tersebut.

‘Aisyah Radiallahu ‘anhu bersuara:

“Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam menganggukkan kepala setuju.

‘Aisyah Radiallahu ‘anhu mengambil kayu sugi, lalu menghulurkannya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu menyedari kayu sugi itu terlalu keras, lalu dia mengambilnya kembali.

Dia bertanya lagi:

“Mahukah jika aku lembutkannya untuk mu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam mengangguk tanda bersetuju.

Lalu, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu melembutkan kayu sugi itu dengan menggigit-gigit hujungnya. Lalu ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu memggosokkan giri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam dengan kayu tersebut.
Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam wafat atas pangkuan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu, dengan bersatunya air liur ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam.
_________

Akhirnya 12 Rabi’ul Awal tahun 11 Hijrah, hari Isnin, perginya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam meninggalkan umatnya.
_________
Pemergian Rasulullah ditangisi oleh para sahabat, kita pula menyambutnya dengan gembira.

*Kisah ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.
(Ringkasan dari Rahiq al-Makhtum)

MARI IKUTI MAKANAN KEGEMARAN RASLULLAH

ANTARA MAKANAN KEGEMARAN RASULULLAH S.A.W:

1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup / air minuman.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah seperti rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi perwatakkan dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan. Menguatkan belakang,memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

-

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."