RAKAN BLOG MASJID

05 December 2013

PESANAN SAIDINA ALI TEKNIK MENDIDIK ANAK!

PESAN SAIDINA ALI :CARA MENDIDIK ANAK

Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereka dengan kelembutan dan rasa cinta.(Umur & tahun dan ke bawah)

7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.(Umur dari 7 tahun hingga 14 tahun )

7 tahun ketiga dan seterusnya, berkawanlah dengan mereka, di saat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh merosakkan akhlaknya.(Umur dari 14 tahun hingga 21 tahun dan seterusnya)


LARANGAN MELINTAS DEPAN ORANG YANG SEDANG SOLAT


Masih ramai orang Islam terutama jemaah samada dari ahli kariah atau penduduk sekitar masjid yang tidak ambil peduli tentang perkara ini,Perlu ditegaskan,Islam melarang keras umatnya melintas dichadapan orang solat.
Info Sempadan orang solat ialah dari tempat sujud sehingga tumit belakang kakinya dan kalau ramai dalam saf itu maka makin panjanglah sempadannya. Biasanya penanda seperti menggunakan sejadah atau meletakkan kayu ,kain atau lain untuk menunjukkan orang lain boleh melintas selepas tempat sujud atau penanda tsb)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (mafhumnya):

“Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan ia tanggung, nescaya ia berdiri selama empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.”

Abu an-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 510. Muslim, no. 507)

Ibnu Khuzaimah turut meriwayatkan hadis ini dan meletakkannya dalam bab:

“Ancaman keras melintas di hadapan orang yang sedang solat, dan merupakan dalil berdiri lama menunggu ucapan salam seseorang yang sedang solat itu lebih baik daripada melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/14)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

“Makna hadis ini, sekiranya ia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat sebagai akibat perbuatan melintas di hadapan orang solat.” (Syarah Shahih Muslim, 4/225)

Larangan ini merujuk kepada perbuatan melintasi kawasan depan orang yang sedang solat. Sekiranya dia mengenakan sutrah, maka dibolehkan melintas di sebalik sutrah yang dikenakan. Dan tidak boleh melintas di dalam lingkungan kawasan antara sutrah dengan orang solat yang mengenakannya.

03 December 2013

SUBHANALLAH ! SENI POLITIK NABI YUSUF A.S

Buku Belajar Seni Politik Nabi Yusuf

Buku setebal 345 mukasurat ini telah selamat saya khatamkan semalam. Buku ini karya Amru Khalid terbitan Syabab Book Link cetakan 2012. Penulis telah memaparkan kisah Nabi Yusuf AS dengan sederhana sebagai teladan dan iktibar. 

Pelbagai hikmah dan pengajaran berdasarkan Surah Yusuf dihuraikan bagi manfaat umat. Juga untuk menggerakkan minda dan hati kita agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Penulis juga mengharapkan para pembaca dapat mencontohi akhlak dan teladan Nabi Yusuf yang cekal menghadapi pelbagai ujian. Juga supaya dihilangkan segala kegelisahan dan kesedihan di hati kita. 

Antara dugaan yang dihadapi oleh Nabi Yusuf ialah menjadi sasaran kedengkian adik-beradiknya, terpisah dari  keluarga, dicampakkan ke dalam perigi, menjadi hamba sahaya, digoda dan dirayu wanita, dituduh memperkosa, dipenjarakan, memperoleh kekayaan dan kenikmatan yang banyak, memaafkan saudara-saudaranya, dan menghadapi ujian yang berterusan.

Di mukasurat 201 diceritakan Nabi Yusuf dan kaedah berdakwahnya. Antara ciri utama  dalam berdakwah ialah akhlak yang terpuji, penampilan yang menarik, memanfaatkan potensi dan bakat, yakin kepada diri sendiri, menyayangi manusia lain dengan sepenuh hati iaitu berdakwah dengan kasih sayang sepenuh hati demi untuk mengajak manusia taat kepada Allah dan mencapai redha Allah. 

Kesediaan menyelesaikan masalah orang lain, sikap tidak memaksa, mudah didekati dan kemampuan menarik perhatian (emosi) orang, sering memperingatkan mengenai nikmat Allah, serta kepakaran dan pengetahuan untuk bercakap mengenai sesuatu dengan adab yang baik.

Di mukasurat 277, dinyatakan dua kriteria utama yang perlu dimiliki oleh seorang petugas atau pemimpin yang dimanahkan terhadap sesuatu tanggungjawab iaitu sifat amanah dan mempunyai pengetahuan yang tinggi. 

Sekiranya ia silap memilih pemimpin yang tidak mempunyai kedua-dua ciri tadi maka tugas yang hendak dipertanggungjawabkan itu akan menemui kegagalan dan tidak menepati sasaran yang diinginkan. 

Raja Mesir talah melantik Nabi Yusuf menjadi Menteri Kewangan untuk menjaga perbendaharaan dan hasil bumi Mesir.

"Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa." (Yusuf:56-57)

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."