Budaya kebersihan dalam kehidupan
MENJAGA kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum.
Dalam konteks kebersihan diri, bukan hanya setakat kebersihan luaran, tetapi merangkumi kebersihan hati nurani daripada kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa termasuk perbuatan mensyirikkan Allah.
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah mengabdikan diri kepadaNya dengan mengerjakan segala perkara selagi tidak bercanggah dan mendatangkan kemudaratan. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah, ayat 222)
Membudayakan amalan kebersihan, bermakna kita sentiasa mengambil berat aspek kebersihan dan memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan.
Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit seperti kolera, cirit-birit, denggi dan keracunan makanan.
Untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkara berikut perlulah kita hayati bersama:
Kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.
Setiap individu daripada semua kalangan sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat.
Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang mementingkan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera dan selesa.
Mempertingkatkan amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan tidak merebak penyakit berjangkit.
Kebersihan itu melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah. Suatu amalan lain yang pada masa sama akan berlaku ketika sama-sama menjaga kebersihan di persekitaran ialah semangat gotong-royong yang menjadi lambang kesepakatan.
Usah mengharapkan pihak berkuasa tempatan atau pihak tertentu melakukannya kerana sebagai pengguna dan warganegara yang baik kita juga perlu memainkan peranan membudayakan kebersihan dalam kehidupan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong menolong melakukan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maa’idah, ayat 2)
Langkah kerajaan menganjurkan kempen kebersihan turut memberi ruang kepada semua pihak membantu kebersihan dan keselesaan di persekitaran hidup kita.
Amat rugi jika kita tidak menggunakan kesempatan ini untuk sama berbakti di samping mengharapkan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment