Sedarlah kita bahawa umat Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan (kita maklum 1 bulan 30 hari dan kalau dapalm tahun ialah lebihkurang 83 tahun punya ibadah) Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).
Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.
Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”
Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.
Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.
Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.
Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.
Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.
Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.
Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.
Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat
al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”
Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.
Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang
menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari
No comments:
Post a Comment