RAKAN BLOG MASJID
26 January 2012
CINTA RASULULLAH
"Apabila tiba bulan Rabi’ul-awwal, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran insan mulia, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Apabila tiba bulan Rabi’ul-awwal, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran insan mulia, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ berkenaan tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, namun rata-rata masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi’ul-awwal merupakan tarikh lahirnya Baginda ke dunia ini. Kelahiran Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam membawa bersamanya rahmat ke seluruh alam.
Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ’alaihi wasallam adalah pada hari Isnin, 9 Rabi’ul-awwal tahun pertama peristiwa gajah. Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).
Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan bahawa menyambut maulid ar-Rasul hukumnya harus, ada yang kata sunnat dan malah ada juga yang mengatakan ia bid’ah. Saya secara peribadi lebih cenderung untuk tidak meraikannya kerana Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita menyambutnya, dan malah para Sahabat Baginda radhiAllahu ‘anhum ajmain juga tidak meraikannya, sedangkan merekalah insan-insan yang tersangat cinta dan malah sanggup berkorban nyawa dan harta untuk perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Namun, jika masyarakat sekitar meraikannya dengan mengadakan ceramah dan kuliah maulidurRasul, saya juga turut hadir untuk mendapat peluangrefresh sejarah kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Pada waktu inilah, kebanyakan masjid dan surau akan mengadakan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah bagi mengajak ummat ISLAM mengenang kembali perjuangan Nabi dan mengambil pengajaran daripadanya. Selagi tidak berlebih-lebihan dan membazir, insyaALLAH ia program yang makruf. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada sambutan maulidurRasul yang disambut, insyaALLAH.
Perkara yang lebih utama dari menyambut hari kelahiran Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam sebenarnya ialah untuk kita menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Perkara inilah yang lebih penting. Bahkan, syarak telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian daripada kewajipan seorang muslim.
Anas bin Malik radhAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dipilih ALLAH subhanahu wata’ala sebagai Pesuruh dan KekasihNYA. Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling dicintai dan diredhai ALLAH. Inilah peringkat cinta yang tertinggi di kalangan makhluq.
Betapa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah banyak berkorban dan menghadapi pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN yang kita perolehi saat ini.
Baginda pernah dipukul, disakiti, dicela, dimaki dan dipulaukan oleh orang yang paling hampir dengannya. Namun, Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam tetap tidak berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada ummatnya.
Sanggupkah kita melalui perkara yang sama seperti Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam? Banyak benar telah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam lakukan untuk kita. Oh, Rasulullah… kami cinta padamu!!!
Ungkapan cinta tidak memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda. Malah cinta sahaja tidak mencukupi. Kita mesti menerapkan al-hubbu wa ittiba’ iaitu cinta dan ikut. Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam perlu disertai dengan ikut sunnah yang Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam tinggalkan.
Jika kita sekadar cinta tetapi tidak ikut, seakan samalah kita seperti Abu Talib yang mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi yang banyak berjasa kepada Baginda. Tetapi sayang sekali, seruan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak mahu diterimanya. Sikap seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat. Mereka mempunyai rasa cinta kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mereka marah dan berang apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji dan memperlekehkan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Tetapi yang sedihnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula menurut perintah-perintah ALLAH melalui seruan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Cinta sebegini tidak diterima sebagai cintakan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Jika sekadar ikut dan tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqun yang berlegar-legar di sekeliling Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mereka ikut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah melakukan beberapa sunnah, tetapi di dalam hati mereka tidak mencintai pun Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah mempunyai niat buruk kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Perbuatan seperti ini juga tertolak.
Seorang muslim mesti mempunyai kedua-duanya. Iaitu cinta dan ikut sunnah (al-hubbu wa ittiba’ as-sunnah).
Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?
1. Kenali Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
Kisah-kisah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang kita pelajari sejak di bangku sekolah sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Daripada kisah-kisah tersebut, banyak yang telah kita ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH subhanahu wata’ala sangat berat dan besar jasanya kepada kita semua.
Dengan mengenali kisah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, pasti akan terbit rasa cinta. Orang kata, “Tak kenal, maka tak cinta”. Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta, kita perlu menyelidiki sifat peribadi dan sejarah kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. InsyaALLAH, melalui buku-buku, ceramah, kuliah dan lain-lain sumber banyak boleh didapati akan mengenalkan kita kepada insan yang mulia ini. Dalam ceramah-ceramah maulidurRasul juga dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang ‘alim, insyaALLAH.
2. Bersolawat
Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” – al-Ahzab: 56.
"Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan berselawat keatasnya 10 kali ganda" (HR Muslim)
Sentiasalah bersolawat ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Tatkala lapang atau sibuk, getarkanlah lidah kita dengan bersolawat ke atas Baginda. Solawat iaitu do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Solawat Ibrahimiyyah iaitu seperti solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat disarankan membacanya kerana ia telah diajarkan oleh Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan dikatakan ia adalah ungkapan solawat yang disukai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
3. Menghidupkan sunnah.
Hendaklah kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam samada dari segi perkataan mahupun amalan. Apa yang disuruh Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam hendaklah kita sungguh-sungguh cuba melaksanakannya.
Pada susuk tubuh dan akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam terdapat banyak tauladan dan kebaikan yang boleh kita ambil. Firman ALLAH yang maksudnya:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah al-Ahzab: 21.
Hendaklah kita pegang sungguh-sungguh akan sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam dan menjadikan ia sebagai pedoman dalam menghadapi cabaran kehidupan. InsyaALLAH, dengan mengikuti sunnah kita akan selamat. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu kitabullah dan sunnah NabiNYA.” (Disahihkan oleh Al-Hakim)
“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)
“Aku berwasiat kepadamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wajalla, agar mendengar, taat dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak. Barangsiapa hidup panjang umur dari kamu maka dia akan melihat banyak silang-sengketa. Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru. Sesungguhnya tiap bid’ah mengandung kesesatan.” (HR. Tirmidzi)
Segala pesanan dan perintah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam wajib untuk kita ta’at dan amalkan. Perintah, pesanan dan nasihat Baginda s.a.w boleh kita ikuti melalui pembacaan buku-buku hadith yang banyak di pasaran. Cara Baginda s.a.w bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian, berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan sebagainya wajar diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.
Nescaya, hidup kita akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam diamalkan dalam kehidupan seharian.
Mudah-mudahan MaulidurRasul yang ramai di kalangan kita raikan ini dapat membuka minda dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan ummat Baginda s.a.w yang beruntung dan diberi syafaat di akhirat kelak, amin.
Shahmuzir Nordzahir,
muzir.wordpress.com
*SUMBER: http://muzir.wordpress.com "
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERINGATAN BAGI LELAKI !
Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
No comments:
Post a Comment