RAKAN BLOG MASJID

18 January 2012

NIKMAT MANAFAAT MASA AKAN CEMERLANG DI DUNIA DAN DI AKHIRAT

Manfaat nikmat masa strategi cemerlang dunia, akhirat

SUNGGUH pantas masa berlalu, sudah seminggu kita berada pada 2012. Ini amat dirasakan terutama dalam kesibukan mengurus rutin baru khasnya bagi mereka yang mempunyai anak menjejaki alam persekolahan selain kesibukan merancang sasaran bagi tahun ini.

Kedatangan tahun baru perlu difahami bukan sekadar pusingan waktu tetapi nikmat keemasan yang wajar direbut bagi membuktikan kesyukuran kepada-Nya. Justeru, Allah mengingatkan hamba-Nya supaya tidak membiarkan masa berlalu begitu saja.

Masa adalah tanggungjawab kita. Untuk merancang, mengatur dan mengubah nasib dengan pelaksanaannya seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri yang mengubahnya.” (Surah al-Ra’du, ayat 11)

Umat Islam diseru merebut peluang dikurniakan Allah dengan lima anugerah kenikmatan iaitu masa sihat, senang, muda, lapang dan ketika hidup.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara; masa sihat sebelum sakit, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, hidup sebelum datangnya mati.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi memastikan tahun baru ini tidak sia-sia atau tidak dapat dimanfaatkan secara optimum, ia perlu dirancang dengan baik dan berstrategi. Pendekatan sabda Rasulullah SAW memberikan kita ilmu merancang secara strategik.
Merancang berdasarkan lima nikmat masa serta sebelum datang lima masa yang boleh menghilangkan nikmat itu. Kaedah merancang berdasarkan waktu melakukan sesuatu kerja antara strateginya.

Dalam merancang kejayaan, pastikan ia ditentukan anggaran masa. Ini sekali gus menjurus perancangan mengambil kira faktor sumber dan keupayaan organisasi supaya segala perancangan dicapai dalam tempoh munasabah.

Sabda Baginda meliputi perancangan terhadap sumber utama dianugerahkan kepada manusia iaitu usia, harta kekayaan, kesihatan, kelapangan dan kehidupan.

Perancangan sumber asas ini penting supaya dimanfaatkan secara optimum dan sebagai persediaan berhadapan kemungkinan ia menjadi susut nilai, kuantiti dan kualitinya pada masa akan datang.

Rasulullah SAW juga mengajar kita merancang sumber berdasarkan tempoh masa bagi menghadapi akhirat. Gaya perancangan Rasulullah ini strategik kerana bersifat menyeluruh serta memberikan pulangan baik dalam pencapaian individu di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah merenungi setiap diri apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Di sini letaknya keunikan sistem perancangan dalam Islam yang menekankan pencapaian individu dalam dua alam seperti mutiara kata Imam al-Ghazzali manusia dengan amal kebaikannya ibarat jala.

Apabila kematian menjemput, kebaikan dinilai dan jasad manusia akan tinggal dimamah bumi. Ibarat jala dan hasilnya. Hasil akan dimanfaat dan jala ditinggalkan.

Perancangan mengatur strategi dan usaha menghadapi tahun baru ini hendaklah dengan matlamat baik, betul dan bermanfaat untuk mencapai kejayaan maksimum atau kemudaratan seminimumnya.

Perancangan baik mampu meningkatkan pencapaian organisasi, melonjakkan kualiti perkhidmatan dan mengelak kerugian, jangan sampai penat bekerja tetapi tidak mendatangkan hasil kerana gagal merancang dengan strategik.

Tetapi, sering kita menyedari perlunya merancang dengan baik apabila sudah tidak boleh merancang sama ada kerana kesuntukan masa, sudah berada di hujung tahun, kehabisan wang dan mengalami masalah kesakitan.

Akibatnya, ada menyalahgunakan sumber bagi merealisasikan matlamat pada akhir tahun seperti menghabiskan bajet jabatan dengan program makan malam di hotel mewah, membeli peralatan tidak diperlukan atau melaksanakan kerja hingga menjejaskan kualiti.

Kita perlu mengambil peluang keemasan pada awal tahun ini dengan muhasabah pencapaian diri dan organisasi pada tahun lepas bagi mengatur perancangan lebih strategik supaya membuahkan kejayaan berganda di dunia dan akhirat

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."