30 July 2012
IBADAH BERTADARUS MASIH DITERUS !
Pengertian bertadarus
Bertadarus ertinya membaca Al-Quran secara beramai-ramai sehingga tamat (khatam) terutamanya di dalam bulan Ramadan. Hukumnya adalah sunat. Keutamaan bertadarus ialah:
1. Setiap huruf daripada ayat Al-Quran yang dibaca, Allah beri satu kebajikan.
2. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak berisi ayat memohon keampunan, memohon kebajikan, memohon dijauhi seksaan Neraka dan sebagainya. Dengan membaca Al-Quran, secara tidak langsung kita berdoa dan memohon dari Allah. Allah akan memberikan sebaik-baik pemberian kepada orang-orang yang memohon kepadaNya.
3. Orang yang berpuasa dan bertadarus, mendapat syafaat dari puasa dan Al-Quran.
29 July 2012
KULIAH SUBUH USTAZ NOR AZLI YANG BEGINI KITA CARI !
Kisah ngeri rakyat Islam dibunuh lebih 50,000 nyawa hilang dalam masa 6 minggu disampaikan oleh Ustaz NorAzli.
Bantuan diperlukan untuk barangan makanan dan penghantaran yang sukar tapi wajib diusahakan.
Ramainya jemaah dituntut dan sekirannya solat subuh mendapat makmum seramai solat Jumaat mak tidak mustahil negara itu akan dikuasai Islam dari segi ekonomi dan pentadbiran, Allahhuakbar.
26 July 2012
25 July 2012
JAUHI PEMBAZIRAN YANG AKAN CACATKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN
Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.
Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.
Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar Ramadan secara yang berlebihan.
Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.
Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.
Rasulullah saw bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah, katanya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari ).
Jelasnya, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Tabiat merokok umpamanya merupakan salah satu pembaziran yang wajib ditinggalkan. Moga bulan Ramadhan tahun ini dapat mendidik jiwa perokok ke arah meninggalkan tabiat merokok agar pembaziran dapat dibasmi sama sekali
Oleh Ustaz Shauqi Othman
23 July 2012
QIAMULAIL RAMADAN DI ASSALAM BERSAMA IMAM 2
Alhamdulillah festival ibadah di Masjid Assalam Bukit Sentosa sangat meriah bilamana pada malam Ramadan kedua diteruskan oleh Ustaz Haqimudin Imam II Masjid Assalam yang masih muda tetapi mantap mengetuai jemaah dalam ibadah bagai Ustaz yang sangat matang.
Alhamdulillah Tarawikh di ceriakan ilmu dengan tazkirah yang disampaikan Ustaz jemputan Ustaz Ghazali Omar.
Seterusnya solat Witir dan tahlil arwah . Alhamdulillah jemaah disediakan moreh berupa sedikit juadah kuih dan air panas bagi sesiapa yang ingin penyegar bagi meneruskan ibadah tadarus.
Jam 4 pagi Ibadah Qiamulail (Bangun malam beribadah) dipenuhi dengan solat tahajuj, hajat dan witir yang dibawa penuh syahdu dan tawaduk oleh Imam II dan tazkirah dihangatkan dengan membaca surah kekayaan iaitu surah Waqiah berramai-ramai selepas solat subuh. Bagaimanpun pengurusan masjid Assalam tidak lupa menyediakan makanan sahur selepas melakukan qiam tersebut.Insyallah , qiam akan di teruskan di malam Sabtu dan Ahad dan sepuluh malam terakhir.Sedemikian , marilah sama-sama kita melakukan bersama dan menghayatinya sehingga selepas Ramadan.
22 July 2012
SEJARAH SOLAT TARAWIH
SEJARAH TARAWIH...
Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah saw melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].
Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.
Abi Zar t meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi saw bersabda:
((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyamsemalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” [HR At-Tirmizi, sahih].
Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.
Khalifah Umar bin Al-Khatab ra ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab ra.
Solat terawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.
Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.
Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Menurut imam Al Ghazali rh walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.
Bilangan Rakaat Solat Terawih.
Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?
Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.
Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:
صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya: “Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat” [HR: Bukhari].
Rasulullah saw tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie: “Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).”
Katanya lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”
Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh jalan.
Antara Kualiti dan Kuantiti.
Persoalan yang lebih penting dalam solat terawih ialah cara melaksanakannya. 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan dibaca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan toma’ninah dalam solat, jadi yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:
1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4]
2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
3. Mengabaikan toma’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya.
Pernah seorang lelaki bersolat tanpa toma’ninah pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan toma’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” [HR Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan perbincangan di atas, sama-samalah kita jadikan solat terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.
Diceduk dari Kasih Islam
RAMADAN UMPAMA FESTIVAL IBADAH : USTAZ HAZRI
Satu Ramadan (kredit pada Blog School Of Tots)
Malam tadi Alhamdulillah saya sekeluarga beribadah di Masjid as-Salam. Tika sampai muazzin sedang mengalunkan azan Isyak. Tu dia parking penuh sesak, melimpah hingga ke seberang jalan. Melangkah kaki ke dalam masjid, teruja sungguh melihat jamaah penuh umpama jamaah solat jumaat. Memang hebat penangan malam pertama. Semangatnya luar biasa.
Solat teraweh 4 rakaat kemudian diselangi dengan tazkirah pendek. Seterusnya sambung 4 rakaat lagi, diikuti solat witir 3 rakaat. Kemudian disusuli tahlil ringkas. Seterusnya bacaan surah al-Mulk sebagai kesenambungan aktiviti rutin selepas isyak yang bermula sebelum Ramadan lagi di masjid ini. Akhirnya ibadah tadarus Qur'an. Sebanyak empat kumpulan tadarus berjaya dibentuk dengan 8 org ahli setiap satu kumpulan. Juzuk pertama berjaya di habiskan menjelang pukul 11:30mlm.
Antara poin yang dapat saya petik daripada tazkirah yang disampaikan oleh Ust Hazri Hashim ialah betapa Ramadan ini umpama festival ibadah dengan pelbagai tawaran menarik, cabutan bertuah, dan bonus hebat. Manusia patuh dan taat kepada Allah. Semua makhluk bergembira menyambut ketibaan Ramadan. Nasi gembira kerana dimakan oleh orang yang beribadah. Bumi gembira melihat ketaatan manusia kepada Allah.
Kesan utama ibadah puasa di bulan Ramadan ini ialah melahirkan Taqwa. Kenapa? Kerana ia mencerminkan kehambaan kita kepada Allah. Hanya Allah yang mengetahui nilai ibadah puasa seseorang. Apakah mata sudah berpuasa? Apakah telinga berpuasa? Apakah hati ini berpuasa? Allah sahajalah yang bisa menilainya, dan sesungguhnya nilaian Allah itu Maha Adil. Tarbiyah Ramadan selama 30 hari ini jika dilalui dengan penuh sungguh2 maka insyaAllah di penghujungnya nanti harapannya maqam Taqwa itu tercapai.
Allah sentiasa memerhati segala prilaku kita. Pada Ramadan ini ibadah solat teraweh, tahajjud, dhuha, dan solat2 sunat yang lain dapat dilakukan dengan mudah. Kenapa? Kerana syaitan telah dibelenggu. Mudah untuk kita infaq harta benda insyaAllah. Mudah untuk zikrullah, mengaji al-Qur'an dan iktikaf di masjid. Musuh dalam diri ialah nafsu. Nafsu yang gagal dijinakkan dengan pelbagai azab dan siksaan namun nafsu berjaya diluntur dan dipatahkan dengan ibadah puasa, insyaAllah. Maka sebab itulah kita rasa hebat dengan suasana Ramadan yang penuh berokah ini.
Infaq ke jalan Allah walaupun sedikit sebenarnya sangat besar nilainya. Contohnya kita derma untuk pembinaan masjid, walaupun dengan sumbangan kita ini hanya mampu membeli beberapa ketul bata sahaja, tetapi dengannya kita telah menyumbang untuk terdirinya sebuah masjid yang dapat diguna pakai oleh ahli ibadat untuk berkurun lamanya. Nampak tak? Jangan diperlekeh ibadah amal jariah ini, yang pahalanya berterusan walaupun kita sudah berada di alam barzakh.
Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa maka dia akan mendapat pahala ibadah puasa orang berkenaan, tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu. Puasa yang baik ialah berpada-pada dengan yang halal. Jangan puasa seperti ular sawa yang tak perlu makan untuk berminggu-minggu tapi sekali makan tak dapat bergerak berminggu-minggu kerana terlalu pelahapnya. Jangan juga puasa unta yang tidak minum berbulan lamanya, tapi sekali dia minum habis satu kolam.
Ibadah puasa ini antara hikmahnya ialah untuk kita merasa jerih payah orang susah, kena rasa macam mana pedih perut sebab lapar, rasa lapar yang hilang tenaga. Maka faham kita begini rasanya penderitaan saudara kita di tempat susah. Begini rasanya jerih payah Rasulullah menahan lapar hingga terpaksa mengikat batu di perut. Begini penderitaanmu ya Rasulullah menyampaikan dakwah hingga kita di sini mendapat cahaya iman yang dibawa.
Madrasah Ramadan mestilah kita berjuang bersungguh-sungguh supaya hati terpaut dengan Allah. Untuk tidak lupa walau sedetik pada Allah. Ibadah yang penuh ikhlas bukan takut neraka atau nak syurga tetapi semata-mata kerana mengharap redha Allah. Maka buatlah ibadah yang berat2 di bulan Ramadan ini seperti iktikaf, tadarus, dan qiyamullail. Perjuangan baru bermula.
@@@
Posted by School Of Tots at 3:13 PM
20 July 2012
19 July 2012
FADHILAT BACA QURAN
Kelebihan Membaca Al Quran :
Al Quran menjadi pelindung kepada kita di akhirat kelak.
Pembaca & Pendengar ayat-ayat suci Al Quran,Allah akan memudahkan segala urusannya didunia dan akhirat.
Allah memudahkan segala urusan pembaca & penghafal Al Quran didunia & akhirat.
Segala urusan akan menjadi lancar dan mendapat ketenangan hati setiap masa.
Rezeki tidak putus-putus selagi mana mengamalkan membaca kitab Al Quran.
Barang siapa yang mendengar ayat-ayat suci Al Quran akan mendapat 1 kebajikan dan pembaca Al Quran akan mendapat 100 kebajikan.
Sesiapa yang membaca surah yasin dipagi hari,segala hajatnya akan dihajati.
Wajahnya akan berseri seri seperti cahaya,cahaya itulah cahaya Al Quran.
Sesiapa yang menghafal dan mengamalkan surah Al Mulk,nesacaya akan terhindar dari seksa kubur dan perbuatan sihir.
Kerugian yang tidak membaca Al Quran!
Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.
3 hari tidak membaca Al Quran,akan ada satu titik hitam dalam hati.
Tidak mendapat syafaat daripada Al Quran di akhirat kelak.
Orang yang rugi adalah orang yang tidak mahu membaca dan mendengar ayat-ayat suci Al Quran Al Karim kerana Al Quran akan menjadi pelindung kepada umat Nabi s.a.w di kubur & akhirat kelak kerana salah satu soalan dalam kubur adalah Apakah Kitabmu?Hanya pembaca & pendengar yang akan dapat jawab Al Quran KitabKu! Allahualam..
-masih ada yang tidak tahu bila Al Quran diturunkan-
"Aku Beriman Dengan Al Quran"
Dicatat oleh Wan Farhan di
18 July 2012
Ustaz Fazlul Rahimi Maarof (July 2011)
Al Kuliah 4 All: Ustaz Fazlul Rahimi Maarof (July 2011): " Tanda Kiamat Akhir Zaman "
VAN BARU SUMBANGAN LEMBAGA ZAKAT SELANGOR
Kelihatan Van Jenazah baru disebelah kiri dan Van Jenazah lama disebelah kanan.
Inilah Van Jenazah yang baru.
Sumbangan adalah dari Lembaga Zakat Selangor melalu MAIS (Majlis Islam Selangor)
Alhamdulillah masjid Assalam menerima sumbangan dan juga menjadi tanggungjawab Masjid Assalam menguruskan dengan sebaik mungkin.
17 July 2012
ALHAMDULILLAH , RAMADHAN EROPAH BERUBAH !
Perbezaan yang memulakan bulan suci Ramadhan memaksa minoriti Muslim di seluruh Eropah beralih ke astronomi moden untuk membantu menentukan hari pertama bulan puasa.
"Dalam dunia moden, terutama di Barat, orang tidak boleh memutuskan dengan cepat untuk memulakan atau mengakhiri bulan suci pada pukul 10 malam, pada malam sebelumnya," kata Nidhal Guessoum, astrofisik kelahiran Algeria.
Sejumlah kelompok Muslimin sering menghadapi perbezaan dalam menentukan awal dan akhir bulan Ramadhan. Salah satu perbezaannya adalah, menentukan waktu jatuhnya bulan hijriah sesuai dengan tempat / negara mereka, sementara yang lain mengikuti pendapat untuk menyesuaikan dengan kalendar yang ditetapkan oleh Arab Saudi, di mana Makkah sebagai bandar suci dan bandar pusat Islam.
Hal ini biasanya menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam, khususnya di negara barat. Kecewa dengan masalah ini, para pemimpin Muslim di seluruh Eropah semakin beralih ke astronomi moden untuk membantu menyelesaikan masalah. Ahli Astrofisik seperti Guessoum, seorang profesor fizik di American University of Sharjah, mengatakan bahawa kini boleh mengukur dengan tepat ketika bulan baru akan muncul di langit di seluruh dunia. Menurutnya, kaedah ini membantu kerana keadaan awan yang menghalang cahaya mahupun penampakan palsu yang sukar dibezakan di langit.
Bulan ini, bulan Ramadhan yang pertama akan terlihat di Amerika Selatan pada 19 Julai lalu di sebahagian besar wilayah kecuali bahagian utara Eropah dan Kanada pada tarikh 20 dan akhirnya hampir semua tempat pada tarikh 21. Kerana kelewatan ini, Guessoum akan membahagi dunia menjadi Timur, di mana kebanyakkannya negara-negara Muslim, dan Barat, khususnya wilayah Amerika. Melalui perhitungan atau ilmu hisab, Turki menyatakan 20 Julai merupakan awal Ramadhan. Perancis, yang mempunyai minoriti Muslim terbesar di Eropah dengan merujuk pada negara-negara Arab-Afrika utara, biasanya mengikuti keputusan Arab Saudi.
Tahun ini, Persekutuan Organisasi Islam di Eropah dan Dewan Fatwa dan Penyelidikan Eropah meningkatkan kempen untuk menggunakan perhitungan astronomi dalam menentukan awal Ramadhan dan `Aidil Fitri. Dewan Fatwa menyatakan minggu lalu bahawa perhitungan ilmiah sepenuhnya diterima di bawah Syariah Islam dan mengumumkan pada Isnin bahawa Ramadhan akan bermula pada tarikh 20 Julai pada tahun ini.
Mohammed Moussaoui, presiden Dewan Muslim Perancis (CFCM), mengatakan organisasi Muslim Perancis kemungkinan besar akan bersetuju kaedah ini diguna sehingga akhir tahun ini dan menerapkannya tahun 2013.
Ada saranan di Perancis bahawa beberapa hari cuti Kristian secara umum boleh diganti dengan hari raya Islam mahupun Yahudi bagi setiap umat, namun kerajaan di pejabat di Paris perlu tarikh yang tepat untuk menentukan waktu cutinya.
Menurut hadis, baik awal dan akhir Ramadan ditentukan dengan melihat bulan baru atau bulan sabit. Bila bulan sabit tidak kelihatan maka bilangan bulan digenapkan menjadi 30.
16 July 2012
11 July 2012
08 July 2012
MENANTI TETAMU ISTIMEWA DENGAN IBADAH SEDEKAH !
Antara amalan kebaikan yang sangat tinggi nilaiannya ialah bersedekah. Jika dilakukan sedekah maka duit atau wang sedekah atau derma itu insyallah kekal menjadi milik kita serta akan mengeluarkan dividen keuntungan saban masa walaupun jasad sudah tertanam di lubang kubur. Kita perlu sedar duit yang dalam poket atau dalam bank belum tentu milik kita kerana semuanya milik Allah. Ia boleh jadi milik sesiapa sahaja dengan kuasa Allah yang pemurah lagi penyanyang. Menyedari hakikat itu maka jangan kedekut untuk berderma, bersedekah dan infaq di jalan Allah. Sedekah dulu baru mohon pertolongan. Kenduri dulu baru minta hajat.
Insyallah Masjid Assalam Bukit Sentosa, Rawang menjelang kehadiran tetamu Allah yang sangat istimewa 1433Hijriah ini iaitu bulan Ramadhan kareem atau Ramadhan al-mubarak maka mulakan dengan membuat ibadah sedekah samada dalam bentuk membiayai buka puasa, moreh, membantu sekolah pembangunan sekolah agama rendah dan menegah, membiayai imam al-hafiz dari sekolah tahfiz atau sumbangan untuk pembangunan masjid ataupun pembinaan masjid sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung seperti Pembinaan Masjid Bukit Sentosa 2 di tapak Surau Saidina Ali di Anggerik 5 dan pembinaan surau al-Faizien di Prima Beruntung.
عن أبي ذر أن أناسا من أصحاب رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) قالوا للنبي ( صلى الله عليه وسلم ) ذهب أهل الدثور بالأجر يصلون كما نصلي ويصومون كما نصوم ويتصدقون بفضول اموالهم قال أوليس قد جعل لكم ما يتصدقون كل تسبيحة صدقة وكل تكبيرة صدقة وكل تحميدة صدقة وكل تهليلة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة زاد أحمد بن علي وفي بضع أحدكم صدقة قالوا يا رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) أيأتي أحدنا شهوته ويكون له فيها أجر قال ارأيتم لو وضعها في الحرام أكان عليه فيها وزر قالوا نعم قال فكذلك إذا وضعها في الحلال كان له فيها أجر.
Maksudnya
Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan):
"Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnya pun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala".
(Hadis riwayat al-lmam Muslim).
Pengajaran hadis:
(1) Para sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu teladan yang baik di mana mereka sering berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan.
(2) Setiap amalan soleh mempunyai nilaiannya yang tersendiri di sisi Allah SWT dan ia tidak akan dipersia-siakan sama sekali.
(3) Banyak amalan soleh yang boleh dilakukan bagi menambahkan pahala kebajikan seperti bertasbih iaitu mengucap ( سبحان الله ), bertahmid iaitu mengucap (الحمد لله), bertahlil iaitu mengucap ( لا إله إلا الله) menyuruh orang berbuat ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Semuanya diberikan pahala sedekah sehinggakan melakukan hubungan sekspun dianggap sedekah! Kerana kalau dia berzina, dia dianggap berdosa dan akan menerima azab. Alangkah indahnya ajaran lslam.
(4) Bagi orang-orang kaya yang mempunyai lebihan harta, mereka hendaklah selalu bersedekah, lebih-lebih lagi kalau mereka terlalu sibuk dengan urusan harta sehingga kurang masa untuk melakukan amal ibadat sunat yang lain.
(5) Seorang kaya yang suka bersedekah dan rajin pula melakukan ibadat sunat seperti berzikir yang dianjurkan dalam hadis ini, dia sudah tentu akan mendapat ganjaran dan darjat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.
Dari Nazir , pegawai dan ajk Masjid AsSlam Bukit Sentosa mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Kareem semoga kita sama-sama melayani tetamu kita ini dengan syariat yang betul dan beristiqamah.Wallahualam.
05 July 2012
03 July 2012
ASTAGFIRULLAH ! JANGANLAH MENGHINA PELAKU MAKSIAT
JANGANLAH KITA MENGHINA PELAKU MAKSIAT
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut" - (Riwayat al-Tirmizi).
Diceritakan bahawa suatu ketika nabi Isa a.s. sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba - tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang. Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian. Lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, Janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini".
Nabi Isa a.s. tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, " Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku".
Kita sememangnya membenci perbuatan maksiat. Namun kebencian kita kepada maksiat tidak bererti membenci dan menghina orang yang melakukannya. Siapa kita untuk menghukumnya sekiranya Allah telah menerima taubat si pelaku maksiat itu....
Sering kali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. Sebaiknya, kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya lebih berkesan dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan.
BY. Ahmad Furqan
02 July 2012
PERISTIWA PENTING BULAN SYAKBAN
Antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Syaaban ialah :
1. Malam Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah iaitu hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja) dan15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis. Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Zat Al-Riqa
Peristiwa peperangan Zat Al-Riqa tercetus akibat pengkhianatan di kalangan kabilah-kabilah Nadj terhadap kaum Muslimin. Tragedi ini telah mengorbankan sehingga 70 orang kaum muslimin.Peperangan ini dinamakan Zat Al-Riqa (peperangan yang bertampung) oleh kerana tentera Islam pada ketika itu ramai yang telah pecah tapak kaki ketika dalam perjalanan.
Daripada Abi Musa Al-Asya’ari R.A katanya : “Kami telah keluar bersama-sama Rasulullah S.A.W di satu peperangan kami berenam orang bergilir-gilir menunggang seekor unta”. Tambanya lagi “Kami berjalan hingga pecah tapak kaki kami. Tapakku sendiri pun pecah, kukuku luruh, kami membalut kaki kami dengan kain buruk. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
01 July 2012
JUTAWAN TAWADUK SAHABAT NABI !
Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan memiliki karismatik yang berkualiti.
Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha.
Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi'
Sebelum Islam
Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar.
Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah.
Selepas Islam
Orang yang kelapan memeluk agama Islam.
Menyertai program perkaderan di Darul Arqam.
Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah.
Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah
Jati Diri Yang Kental
Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.
Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih.
Berdikari
Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw. buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang.
Sabda Rasulullah saw.:
"Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari
Amanah
Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah.
Rasulullah saw. pernah menyebut:
"Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi."
Taat
Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw dengan sabdanya:
"Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya."
Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan
Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya:
"Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw. setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya."
Dermawan
Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92)
Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim.
"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 38)
Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan ekonomi ummah.
Membelanjakan Harta Demi Keredhoan Allah
Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta."
Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha. berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata: Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri.
Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah.
Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan beliau daripada mengingati Allah swt.
Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar – benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah.
Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan)
Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata.
Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat.
Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka, malah mereka dimurkai oleh Allah swt.
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Surah Yunus 7–8)
Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani:
Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji.
Material (Kebendaan) Menurut Perspektif Islam
Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan, malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin Auf mencari harta dan memiliki kekayaan.
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10)
Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi.
Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita, bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya, iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan.
Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa ummat Islam keperingkat ego dan bongkak.
Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya.
Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis.
Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?"
Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan yang terdiri dari roti gandum."
Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita.
(Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.)
Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau. Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw.
- Artikel iluvislam.com
Biodata Kolumnis
Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang. Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.