RAKAN BLOG MASJID

30 January 2014

ISTIMEWA JUMAAT HARI INI !

                                        USTAZ ANAS MALIK AL-HAFIZ

28 January 2014

KAMU RUGI ?

Rukun iman ada enam. Yang pertama ialah percaya kepada Allah. Percaya kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Siapa Allah? Dia Tuhan semesta alam. Allah hanya Allah, tidak boleh sama dengan yang lain. Allah bersifat Esa. Allah adalah nama khas untuk Allah. Kalau diterjemah kalimah Allah kepada kalimah lain seperti God atau Tuhan, maka ia tidak sama.

Kalimah Allah itu unik dalam bahasa arab dulu kini dan selamanya. Tidak boleh diterjemah ke bahasa lain. Kalimah Allah layak di guna oleh sesiapa pun. Yang pelik bin ajaib bila nama Allah dijaga, tapi hukum Allah tidak dijaga?

Junjung segala perintah Allah. Tinggal segala larangan-Nya. Politik adalah bahagian dalam agama. Bila bicara soal politik di masjid, orang bising, ada yang komplen. Sedangkan yang dibicara ialah hukum Allah, perintah Allah. Mana boleh pilih2 hukum Allah. Beriman macamana kita ini kalau tidak ada ilmu? Percaya tapi tidak tahu. Kena tahu. Maka kena belajar. Kena cari ilmu supaya tahu. Sebab itulah hukum menuntut ilmu agama ini wajib. Percaya dalam kedaaan tidak tahu ialah tidak waras. Atau bahasa kasarnya bengong. Mesti kena belajar, taa'lum, kena mengaji. 

Menuntut ilmu agama itu fardu ain iaitu wajib bagi setiap lelaki dan wanita Islam. Wajib ini pada pandangan feqah buat dapat pahala, tinggal dapat dosa. Pada pandangan aqidah pun sama. Fardu pula pada sudut feqah sama dengan wajib iaitu buat dapat pahala tinggal dapat dosa. Namun berlainan pada sudut aqidah, Fardu itu bila buat dapat pahala, bila tinggal boleh rusak aqidah. Berat tu.

Pernah terjadi satu kes dulu, seorang pesalah minum arak di hukum sebat 40 sebatan oleh mahkamah syariah. Setelah mendapat pelbagai rayuan dan tekanan maka hukuman itu dikurangkan kepada 6 sebatan. Kemudian kes itu telah di tutup pabila si pesalah mendapat keampunan daripada pemerintah. Kes tinggalkan hukum Allah kerana tiada ilmu. Mana mampu seorang manusia mengampunkan dosa orang dengan Allah? Undang2 sivil dapat mencabar undang2 syariah? Yang parah lagi bila mahkamah syariah yang ada tidak mengikut syariah pun. Rusak aqidah bila tinggalkan hukum kerana tiada ilmu. 

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr: 1-3)

Surah yang pendek namun maknanya terlalu dalam. Allah bersumpah demi masa. Kenapa Allah bersumpah? Kerana ia sangat penting. Ia membicara perkara kehidupan hingga ke Akhirat. Manusia dalam kerugian. 

Digunakan kalimah insan. Dalam al-Qur'an biasa digunakan dua kalimah untuk membawa maksud manusia iaitu samada Insan atau An-Nas. Pada surah Al-'Asr ini Allah menggunakan kalimah Insan. Apa bezanya antara dua kalimah ini? Kalimah An-Nas ini digunakan sebanyak kurang lebih 100x dalam al-Qur'an manakala kalimah Insan pula digunakan kurang daripada 50x. An-Nas ialah mewakili semua manusia. Manakala Insan pula ialah mewakili orang2 yang beriman dan beramal dengan amalan soleh. 

Maka surah Al-'Asr ini menyatakan hai kamu orang2 beriman, semua kamu ini berada dalam kerugian. Apatah lagi seluruh manusia yang lain, lebih2 lagilah mereka itu dalam kerugian. Jelas? 

Rugi di sisi Allah bukan macam rugi yang selalu kita bicara iaitu macam rugi dalam berniaga keropok lekor dan sebagainya. Rugi di sisi Allah membawa begitu besar implikasinya yang tidak dapat di gostan iaitu kamu akan dihumban ke dalam bakaran api Neraka Allah. Itulah rugi di sisi Allah.

Jadi bila Allah bersumpah bahawa kamu semua orang2 beriman yang melakukan amalan soleh sekelian, kamu semua dalam kerugian. Tentunya bakal dihumban ke dalam api Neraka Allah. Ini perkara serius bukan perkara main2. Yang rugi ke Neraka. Yang untung ke Syurga. Sebab itulah kena ada ilmu supaya dapat memahami dan menjiwai al-Qur'an, baru boleh rasa terkesan dan sedar dari alpa yang lama.

Ada kisah seorang sufi, sedang dia membaca al-Qur'an tiba2 mati dia. Isterinya pergi mengadu hal kepada jirannya yang juga seorang sufi. Maka jirannya tadi bertanya surah apakah yang sedang dibacakan oleh suaminya tadi? Setelah diberitahu maka jirannya tadi pun turut membacakan, tiba2 dia juga turut gugur dan mati. Sufi mati baca al-Qur'an. Kita pula mati2 tak baca al-Qur'an. Itu beza orang yang bisa menjiwai al-Qur'an, gementar dan gerun dia akan segala ancaman dan larangan Allah.

Kamu semua dalam kerugian (kelompok manusia yang sudah ditapis tadi). Kecuali ada empat golongan yang tidak rugi. Empat golongan yang untung. Siapa mereka ini?

  1. Orang yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya iaitu dengan iktikad yang jazam (mati). Bukan sekadar mempertahan kalimah Allah tetapi mempertahankan segala hukum Allah dan perintah Allah.
  2. Orang yang beramal dengan segala amalan yang soleh iaitu semua amalan yang mengikut perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  3. Orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran iaitu menyampaikan yang haq walaupun pahit hatta boleh mengancam keselamatan diri, menyatakan yang haq itu haq dan yang bathil itu bathil kepada seluruh manusia tidak kira siapa pun dia.
  4. Orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran, iaitu orang yang menyampaikan kalimah Allah,  menyeru kepada Islam dan iman untuk kembali taat pada Allah dengan penuh sabar tanpa putus asa atau rasa jemu walaupun di halangi oleh pelbagai dugaan dan halangan.


Sudah tentulah lebih afdal untuk kita membaca dan mengaji dengan ulama' beriman akan tafsir surah Al-'Asr ini bagi kemantapan ilmu yang hakiki. Agar apa yang kita iktikad tidak lagi samar atau masih belum jelas sejelas-jelasnya. 

Ya Allah, masukkan kami ke dalam kelompok yang sedikit itu, kelompok manusia beriman yang beruntung di sisi Mu, walaupun mungkin rugi di sisi makhluk di dunia yang fana ini. Jadikan kami ini termasuk dalm kelompok umat Nabi SAW yang untung di Akhirat nanti, bukan kelompok yang rugi.

25 January 2014

HAKIKATNYA ALLAH YANG GERAKKAN LANGKAH KITA

Kaki Melangkah

Kaki ini melangkah namun hakikatnya Allah yg menggerakkan kaki ini untuk melangkah. Kita lahir dulu bergelumang najis, hidup kini pun membawa najis ibarat lori tank Indah Water, mati besok pun jadi bangkai tak ada nilai (lembu lagi bernilai sebab matinya disembelih dan boleh di jual).


Hakikatnya begitulah kita ini. Tidak punya apa2. Hina, lemah dan tiada daya upaya. Semuanya milik Allah. Justru renung dan fikir akan kekayaan & kebesaran Allah, barulah kita sedar siapa kita ini. Allah yang angkat kita menjadi semulia-mulia kejadian. Harapnya aku ini layak bergelar Hamba Allah, yg patuh pada Allah.

Kenal diri maka baru dapat kenal Allah. 40 tahun dulu tika aku lahir, aku ini tak tahu apa2. Allah pinjamkan akal, Allah bagi ilmu, Allah bagi kekuatan, Allah bagi pancaindera, Allah bagi udara, bagi air, bagi makanan, maka membesar aku hingga dewasa kini. Kenal diri bahawa aku ini hina, lemah, tiada upaya melainkan semuanya milik Allah belaka.

Beramal itu wajib, namun bergantung kepada amal itu tidak boleh. Mesti bergantung kepada Allah. Yang menghasilkan amal itu Allah. Bergantung kepada usha, tak boleh. Kita beramal dan berusha tetapi yang sampaikan ialah Allah. Bergantung kepada Allah. Apa pun kita buat, pergantungan hati mestilah kepada Allah. 

Kena kenal siapa diri kita? Kamu itu fakir di sisi Allah. Allah yang bagi kita tidur. Ada orang yang tak boleh tidur. Boleh mari masjid tak tanpa hidayah Allah? Tidak. Semua Allah sudah susun elok. Sentiasa kita berhajat kepada Allah. Seorang Hamba Allah tidak akan nampak apa pun yang boleh menolongnya melainkan Allah. Kena rasa diri ini fakir dan dhoif. Fakir itu terlajak miskin. Dhoif itu terlampau lemah. 

Orang kaya jangan sombong kerana Allah boleh bagi kamu miskin dalam sekelip mata. Orang miskin jangan putus asa kerana Allah boleh mengubah nasib kamu dalam sedetik waktu. Allah itu kamalat iaitu penuh kesempurnaan. Kenal diri kita yang kita yang penuh kelecehan ini, baru boleh kenal Allah yang Maha Sempurna itu. Tak nampak kaya dia kerana tenggelam dek kaya Allah. Tak nampak hebat dia kerana tenggelam dek hebatnya Allah. 

Semua barang ada tarikh luputnya. Takkan kita tiada tarikh luput? Manusia pun ada tarikh luput iaitu kematian. Semua yang kita miliki ini ialah barang pinjam. Ibarat pakai kereta pinjam, maka sekejap ada sekejap tiada. Maka jangan ada sifat aku punya, usha aku, milik aku, kerana semua milik Allah. Bila mati semua terpaksa ditinggalkan. Buang semua sifat keakuan itu.

Apa yang kita boleh buat? Boleh buat sebijik beras? Boleh buat seekor nyamuk? Tawadduk ini ialah merendah diri. Belajarlah jadi orang yang tawadduk. Beras itu dari padi yang di mesin, buat tepung beras, campur air buat tempe.  Tapi boleh tak manusia buat sebijik beras? Jawabnya tak boleh. 

Tiada yang kuasa melainkan kuasa Allah. Allah yang menentukan takdir. Takdir ini ada dua jenis iaitu bersifat qadim (tetap sejak azali) atau baharu. Jika bersifat baharu yang tidak bertentangan dengan syarak maka bolehlah diteruskan.  Yang ada pada Allah itu bersifat qadim iaitu kekal. Yang berlaku itu bersifat baharu.

Contohnya berlaku seorang pemuda yang pergi ke masjid. Maka kita redha kerana ia satu perbuatan baik. Satu lagi contoh orang buat tok kong hindu. Adakah ikut syarak? Tidak. Maka adakah kita kena redha? Sudah tentu tidak. Sesuatu yang berlaku yang bersifat baharu ini, jika tidak menepati syarak dan berbentuk maksiat maka wajib kita tidak terimanya. Jangan cebderung kepada orang zalim kerana nantinya kamu akan disambar api neraka.

Imam Nawawi menentang hasrat kutipan cukai oleh raja di zamannya. Katanya jual dulu harta raja dan sekiranya masih tidak cukup maka barulah boleh dikenakan cukai itu pada rakyat. Apa yang berlaku hari ini ialah cukai dikenakan kepada rakyat sedangkan para pemerintah masih menjalani kehidupan mewah mereka seperti biasa. Maka janganlah disokong pemerintah yang zalim sebegini.

Redha dengan Allah dengan cara beriman dan mentaati Allah. Jangan redha kepada zalim, maksiat dan kufur. Mohonlah makrifat Allah iaitu anugerah Allah. Nak tuang apa-apa ke dalam gelas mestilah dipastikan gelas itu bersih dahulu. Allah sudah tuang dalam hati ini pelbagai anugerahnya. Dia pilih hati yang bersih. Sentiasa bersihkan hati kita. Allah kasih orang yang bertaubat. Allah campakkan taat buat nya, syukur. Dapat buat taat, syukur. 

Bila dapat bala dan ujian, sabar. Kekadang apa yang kamu benci itu baik untuk kamu. Dan apa yang kamu suka itu, kekadang mudarat buat mu. Orang yang buat maksiat tapi menyesal dan bertaubat itu lebih baik sebenarnya daripada orang yang taat tapi sombong. 

Bersihkan hati dan sentiasa berharap kepada Allah. Amalkan doa muaz mohon kekuatan untuk taat, syukur dan meningkatkan ibadah kita. 

Doa Muaz:                  

اللهُمَّ أَعِنِي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan beribadat dengan baik kepada Mu
(Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa’i)

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."