RAKAN BLOG MASJID

01 September 2011

KEJUJURAN ALI , KETAATAN FATIMAH DAN REZEKI BUAH DELIMA


Pada suatu hari Ali R.A. berjumpa dengan Umar R.A. untuk meminjam duit RM10 untuk membeli buah delima yang diminta isterinya Fatimah R.A. yang sedang sakit. Umar berkata, "Aku rasa RM10 tidak cukup, nah ambillah RM20 buat membeli keperluanmu". Maka Ali R.A. pun berkunjung ke pasar dan membeli sebiji delima buat isterinya. Buah delima itu di selitkan ke dalam jubahnya. Dalam perjalanan pulang itu dia terserempak dengan seorang tua yang sedang terbaring di kaki lima.

Orang tua itu segera menyapa, "Dari mana Ali?" "Dari pasar", jawab Ali R.A. lembut. "Aku ini sudah 3 hari tidak makan dan tiada tenaga untuk bangun dari pembaringanku ini", kata orang tua yang uzur itu tanpa diminta. "Apa yang kau beli dari pasar hai Ali?" tanya si Tua tadi. Ali menjadi serba salah namun menjawab, "Buah delima buat isteriku yang sakit di rumah." "Kalaulah engkau dapat memberikan aku sedikit dari buah itu, mungkin aku akan mendapat tenaga untuk bangun", sambung si Tua itu. Ali R.A. tidak sampai hati melihat Pakcik tua yang keuzuran itu, lalu memotong buah delima dan memberikan separuh kepada pakcik itu. Maka Alhamdulillah setelah memakan buah itu, Pakcik tadi mendapat tenaga yang diperlukan untuk bangun berdiri. Namun dia berkata kepada Ali R.A., "Kalaulah engkau dapat memberikan separuh lagi buah tadi, mungkin aku akan ada cukup tenaga untuk berjalan pulang berjumpa anak isteri yang sudah 3 hari aku tinggalkan".

Ali R.A. terkenangkan isterinya yang terlantar sakit di rumah yang begitu mengharap untuk memakan buah itu. Dia berbisik dalam hatinya, "Habislah aku kali ini akan dimarahi Fatimah". Dia tidak sampai hati pula untuk menghampakan Pakcik tua yang uzur itu lalu diberikan separuh lagi buah delima itu. Ditakdirkan memang benarlah hasilnya Pakcik tadi mendapat kekuatan untuk dapat berjalan pulang. "Wahai Ali, engkaulah sebaik-baik manusia. Aku doakan agar Allah membalas 10 biji delima buatmu," bisik Pakcik tadi sebelum berlalu pergi.

Apabila Ali R.A. sampai di perkarangan rumahnya dia merasa serba tak kena dan berselindung di balik pokok tamar dan tidak terus masuk ke rumahnya. Kelihatan Fatimah R.A. sedang menyapu di laman depan rumahnya. Fatimah menyapa suaminya yang sedang berselindung di balik pokok itu. "Aku sudah sihat," jelas Fatimah R.A. "Atas kebaikan yang engkau lakukan Allah SWT telah memulihkan kesihatanku." Ali R.A. pun menerangkan apa yang berlaku. Fatimah R.A. memahami dan redha pada penjelasan Ali R.A. Kedua-dua mereka adalah insan terpilih dan wali Allah.

Seketika kemudian terdengar bunyi larian kuda menuju ke rumah mereka. Rupanya Salman al-Farisi yang datang. "Assalamualaikum hai Ali dan Fatimah, ini ada Rasulullah kirimkan satu bungkusan berisi 9 buah delima buat kamu berdua." "Alhamdulillah," jawab Ali R.A, "Namun aku tidak akan menerima bungkusan ini kerana Allah telah menjanjikan 10 bukan 9," jawab Ali R.A. Salman al-Farisi dengan tersengeh-sengeh mengeluarkan sebiji lagi buah delima yang disorokkan dalam jubahnya. Maka sesungguhnya janji Allah itu benar. Doa Pakcik tua tadi dimakbulkan Allah secara tunai.

Bulan Ramadan adalah bulan mendidik. Ramadan mendidik kita jadi baik. Ringan tangan untuk menolong, bersedekah dan membuat kebajikan. Ramadan mengajar kita untuk bergantung harap pada Allah dan berdoa memohon keampunan dan segala hajat dan keperluan kepada-Nya. Segala amal kebaikan di bulan Ramadan ini akan diberi balasan pahala yang berganda-ganda oleh Allah SWT yang Maha Kaya.

Sahabat yang baik juga sedia memenuhi keperluan seorang sahabat malah lebih lagi. Keikhlasan adalah ujian daripada Allah SWT dan ramai yang kecundang malah terserlah kecundangan itu tanpa boleh disembunyi lagi. Sahabat yang sekadar kenalan di jalanan yang tidak mahu berkongsi susah payah bersama.

Pada sebuah tazkirah baru2 ini Ustaz memerli para jemaah, "Saya bengang betul melihat orang selalu dok sedekah pisang kat masjid, apa dia ingat orang yang datang masjid tu beruk ke asyik2 nak makan pisang." Dia kata itu bukan dia kata tapi seorang ustaz yang terkenal kata.

Bagi saya, tahap ilmu dan hemah para Ustaz juga memainkan peranan penting terutamanya pada ahli jemaah yang baru berjinak-jinak datang ke masjid. Sepanjang Ramadan ini tazkirah di adakan setiap malam di Masjid as-Salam. Ramai Ustaz2 berilmu dan bijaksana dalam penyampaian mengambil giliran atas jemputan pihak masjid yang begitu aktif menyediakan ruang menuntut ilmu untuk para ahli khariah. Aura penyampaian ilmu masing2 berbeza dan unik. Namun ada juga bagi saya yang kurang bijak atau sekadar syok sendiri termasuklah ustaz dengan cerita beruk di atas.

Mari kita muhasabah diri dan salah satu topik dalam buku RAMADAN TERAKHIR karya saya ada menceritakan perihal ini iaitu mana yang lebih baik seorang yang bersedekah pisang ke masjid atau seorang yang tak pernah sedekah pisang ke masjid? Jawab jangan tak jawab. Usahlah kita sibuk bertanya apa orang lain buat, kita tanyalah apa yang kita buat. Bersedekah itu adalah lebih baik jika niatnya kerana Allah walaupun sesikat pisang ataupun sekadar RM1 yang dimasukkan ke dalam tabung masjid. Semoga Ustaz ini diberi kesedaran dan hidayah oleh Allah SWT.

Ramadan mengajar orang kedekut jadi pemurah. Orang jahat jadi baik. Orang yang jarang ke masjid berubah setiap malam datang masjid. Orang yang malas baca Qur'an kini rajin baca Qur'an. Orang yang jarang ke majlis ilmu kini dihidangkan dengan majlis ilmu setiap malam dan mendirikan solat2 sunat berpuluh-puluh rakaat termasuklah solat terawih dan witir. Manfaatkan secara optimum Ramadan yang berbaki dua hari lagi ini. Alhamdulillah.

Posted by School Of Tots

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."